Suwaidan Seru Boikot Syarikat Arab Yang Ada Hubungan Dengan Israel

Khamis, 12-11-2020 – Cendikiawan Islam Kuwait, Tariq as-Suwaidan menyeru supaya syarikat-syarikat dan entiti-entiti komersil Arab yang menjalinkan hubungan dengan rejim Israel diboikot supaya mereka mengalami kerugian besar.

Ini telah disuarakan dalam simposium maya yang dianjurkan pada hari Isnin lalu oleh Liga Emirat Menentang Normalisasi dengan tajuk “Pentingnya memboikot produk entiti Zionis dan penyokongnya.”

Suwaidan menekankan pentingnya memboikot syarikat Arab yang kerajaannya menjalin hubungan dengan negara penjajah untuk membuktikan kepada mereka bahawa normalisasi akan menyebabkan kehancuran mereka.

Beliau menggesa agar diadakan senarai semua syarikat yang memiliki hubungan dengan Israel supaya mereka dapat diboikot, dengan menekankan bahawa negara-negara Islam mampu melakukan perubahan jika memiliki keazaman yang kuat.

Pemikir Kuwait itu juga menyarankan untuk menggunakan platform media sosial Arab untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya memboikot Israel dan penyokongnya, dan menganggap kempen boikot sebagai senjata paling kuat di tangan mereka yang menolak normalisasi.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul