PBB: Siasat Penggunaan Kuasa Ketenteraan Ke Atas Kanak-kanak

Jumaat, 4-12-2020 – Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB telah meminta siasatan yang telus mengenai penggunaan kuasa tentera oleh Israel terhadap kanak-kanak Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB mengatakan bahawa pasukan Israel mencederakan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak dengan peluru hidup dan peluru logam bersalut getah dalam beberapa kejadian berasingan di Tebing Barat semenjak dua minggu yang lalu.

“Semua kecederaan adalah disebabkan oleh penggunaan kekerasan yang boleh membawa maut dalam keadaan di mana maklumat yang ada menunjukkan bahawa kanak-kanak tersebut tidak menimbulkan sebarang ancaman terhadap nyawa atau kecederaan serius ke atas tentera berkenaan mahupun ke atas orang lain.”

“Dengan demikian ternyata kekerasan yang digunakan tidak selari dengan undang-undang antarabangsa,” kata Pejabat Hak Asasi Manusia dalam sebuah kenyataan, sambil memberitahu bahawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 tahun telah cedera parah ditembak di dada di kota al-Bireh pada 29 November.

“Pada 27 November, semasa tunjuk perasaan di kampung Kafr Qaddum di utara Tebing Barat, pihak tentera menembak seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 tahun di kepala dengan peluru logam bersalut getah. Akibatnya, kanak-kanak itu jatuh dan telah dimasukkan ke hospital akibat tengkorak yang retak. “

“Pada 17 November, seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun yang dalam perjalanan pulang dari sekolah telah kehilangan mata kanan setelah terkena lantunan peluru di kem pelarian Qalandia di utara Baitulmaqdis. Walaupun ketika itu terdapat pertempuran antara tentera dan penduduk kem, tidak ada maklumat yang menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki itu menimbulkan ancaman kepada siapa pun ketika dia ditembak,” jelas pernyataan itu.

“Pejabat Hak Asasi Manusia PBB meminta Israel untuk dengan segera, telus dan berkecuali menyiasat semua kejadian di mana (tentera Israel) menggunakan kekerasan yang menyebabkan kematian atau kecederaan dan menggesa mereka untuk bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

“Selaras dengan undang-undang antarabangsa, penggunaan kekerasan yang membawa maut hanya dibolehkan sebagai langkah terakhir, sebagai tindak balas terhadap ancaman terhadap nyawa atau kecederaan serius. Melempar batu tidak nampak seperti ancaman sedemikian. Selain itu, kekerasan mesti sentiasa digunakan hanya dengan cara yang menyebabkan seminimum bahaya yang mungkin. Tembakan di kepala atau badan tidak nampak seperti memenuhi syarat ini. “

“Kanak-kanak mendapat perlindungan khas di bawah undang-undang antarabangsa dan mesti dilindungi dari keganasan pada setiap masa.”

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul