Peneroka Haram Yahudi Terus Cemari Masjid Al Aqsa Walaupun Dikenakan Sekatan Pergerakan

Isnin, 18-01-2021 – Pagi Khamis lalu, segerombolan peneroka haram Yahudi telah mencemari halaman Masjid Al Aqsa di bawah perlindungan pihak polis walaupun dikenakan perintah sekatan pergerakan yang dikenakan ke atas kota suci berkenaan serta penduduknya.

Menurut sumber tempatan, 14 peneroka haram telah memasuki Masjid melalui Gerbang al-Maghariba dan melawat halamannya di bawah pengawasan polis.

Para peneroka haram juga telah melakukan upacara keagamaan Yahudi semasa lawatan mereka di tempat suci Islam berkenaan.

Terdahulu di waktu pagi, berpuluh-puluh pasukan polis mencemari Masjid Al Aqsa dan meronda halamannya, tanpa sebab yang diketahui.

Sehubungan itu, aktivis Baitulmuqaddis Hinadi al-Halawani menyatakan kepercayaannya bahawa apa yang berlaku setiap hari di Masjid Al Aqsa mengesahkan bahawa perintah sekatan pergerakan itu hanya bertujuan untuk memenuhi perancangan rejim Zionis terhadap kawasan suci itu.

Halawani juga mengecam pihak berkuasa rejim Zionis di Baitulmaqdis kerana membenarkan peneroka Yahudi dan pelampau dari luar kota suci tersebut untuk mencemari Masjid sambil menghalang para jemaah Muslim, yang tinggal beberapa meter dari tempat suci Islam itu, dari sampai ke sana.

Pada pagi Rabu, juruukur Israel yang dikawal oleh pasukan polis telah mengukur halaman dan dataran tinggi Masjid Al Aqsa dengan menggunakan peralatan tinjauan tanah.

Ini adalah kali pertama rejim Zionis berani menghantar juru ukur ke Masjid Al Aqsa untuk memetakan halamannya.

Perkembangan tersebut berlaku setelah rejim Zionis baru-baru ini mengenakan perintah sekatan pergerakan di kota suci berkenaan atas alasan untuk mencegah penyebaran wabak coronavirus.

Walaupun para jamaah Muslim dihalang dari memasuki Masjid Al Aqsa, di masa yang sama polis Israel telah membantu peneroka haram Yahudi untuk masuk ke tempat suci itu sejak hari pertama perintah kawalan pergerakan.

Rejim Zionis juga baru-baru ini melakukan penggalian di Medan al-Buraq dan berhampiran pintu al-Maghariba di Masjid Al Aqsa.

Pentadbiran Awqaf Islam di Baitulmaqdis percaya bahawa rejim Zionis dan polisnya di Baitulmuqaddis telah menggunakan perintah kawalan pergerakan untuk menjalankan fait accompli baharu di kawasan Masjid Al Aqsa.

Selama bertahun-tahun, rejim Zionis terus menerus sedikit demi sedikit meluaskan kuasanya ke atas tapak suci Islam berkenaan, yang berada di bawah jagaan Hashemite Jordan.

Menurut undang-undang antarabangsa, Pentadbiran Urusan Masjid Awqaf dan Aqsa Jordan mempunyai bidang kuasa eksklusif terhadap pengurusan Masjid Al Aqsa yang merangkumi 144 dunum tanah, premis, halaman, tembok dan pintu gerbang.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul