Rejim Zionis Paksa Warga Palestin Musnahkan Tempat Ternakan di Baitulmaqdis

Selasa, 16-02-2021 – Rejim Zionis pada hari Sabtu lalu telah memaksa seorang rakyat Palestin untuk merobohkan kandang lembu serta telah memerintahkan sebuah keluarga untuk mengosongkan kediaman mereka di daerah Silwan, Baitulmaqdis timur.

Menurut Pusat Maklumat Wadi Hilweh, pihak perbandaran Israel memaksa Omar Siyam untuk merobohkan kandang ternakannya sendiri di Silwan dengan alasan bahawa bangunan tersebut dibina tanpa lesen.

Sebuah keluarga dari Baitulmaqdis juga telah menerima notis dari pihak perbandaran yang memerintahkan mereka untuk mengosongkan rumah kediaman mereka di kawasan Baten al-Hawa di Silwan.

Rejim Zionis sering mengancam pemilik rumah dengan kos dan denda yang melampau tinggi jika mereka datang untuk melakukan kerja-kerja perobohan, lantas memaksa pemilik rumah untuk merobohkan atau memusnahkan rumah mereka sendiri.

Penduduk Baitulmaqdis tidak mempunyai pilihan selain membina tanpa lesen kerana tidak ada pelan struktur yang selari dengan peningkatan semula jadi dalam jumlah penduduk, maka oleh sebab itu, mereka tidak diberikan permit untuk membina rumah.

Rejim Zionis juga mengenakan sekatan pembangunan bagi penduduk tempatan Palestin di Baitulmaqdis dan menyukarkan mereka untuk mendapatkan lesen pembinaan.

Perobohan kediaman Palestin secara sistematik oleh pihak Israel di Baitulmaqdis Yang Diduduki dipercayai bertujuan untuk menyerang kaum keluarga di Baitulmaqdis secara psikologi dalam usaha untuk memaksa mereka berpindah dari kota suci berkenaan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul