Sheikh Bakirat: Pintu Aqsa Tetap Dibuka Sepanjang Ramadan

Selasa, 06-04-2021 – Sheikh Najeh Bakirat, timbalan pengarah Awqaf Islam di Baitulmaqdis dan ketua Akademi Sains dan Warisan al-Aqsa, telah menegaskan bahawa Pentadbiran Awqaf Islam tidak akan menutup pintu Masjid Al-Aqsa pada bulan suci Ramadan walaupun dalam keadaan terjajah dan adanya polisi-polisi berkenaannya.

“Mana-mana rakyat Palestin yang akan tiba di pintu masjid mempunyai hak untuk masuk dan beribadat di dalamnya,” kata Sheikh Bakirat, sambil mengecam cubaan Israel untuk memaksa penguasaannya ke atas lokasi suci Islam tersebut.

Dia memberi amaran mengenai percubaan berulang kali oleh pemerintah Israel untuk mengambil alih secara paksa pentadbiran urusan Masjid.

Pegawai Awqaf itu mengaitkan kesungguhan Israel untuk campur tangan urusan Masjid dengan persengkokolan beberapa negara Arab dan sokongan AS terhadap pemerintah Israel yang memberi bantuan kepada rumah-rumah ibadat Yahudi dan memudahkan kegiatan mereka.

Dia menuduh pemerintah Israel sedang berusaha untuk mengehadkan jumlah penganut Islam yang tiba di Masjid dengan mengenakan sekatan di Tebing Barat dan Kota Lama Baitulmaqdis.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul