3 rakyat Palestin syahid di Gaza


Khamis, 7/10/2004 – Tiga rakyat Palestin syahid dan 12 yang lain cedera termasuk lapan kanak-kanak apabila kereta kebal Israel melancarkan serangan di utara Genting Gaza lewat malam tadi, menurut sumber hospital hari ini.

Sumber itu berkata, seorang lelaki dan anak lelakinya yang dikenali sebagai Hamdan, 58 dan Hamuda Obeid, 25, syahid apabila sebutir peluru kereta kebal meletup di kem pelarian Jabaliya di utara Genting Gaza.

Dua lagi rakyat Palestin mengalami kecederaan dalam letupan itu.

Para saksi menjelaskan bahawa tentera Israel telah menjalankan operasi di utara kawasan berkenaan dan berjaya mengekalkan kawalan di kebanyakan bangunan sekitar kem Jabaliya dan Beit Lahya.

Mereka menambah, pejuang Palestin dilihat meletupkan sebutir bom sebaik sahaja kenderaan yang digunakan oleh tentera Israel melalui Jabaliya.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel berkata, letupan terbabit adalah disebabkan oleh roket antikereta kebal yang dilancarkan dari sebuah rumah di kawasan tersebut terhadap kereta kebal Israel.

Kereta kebal itu tidak mengalami apa-apa kerosakan.

Tentera Israel kemudian bertindak membalas balik serangan,” tambahnya.

Sebelum itu, seorang remaja berusia 17 tahun, Attalah Qahman syahid dan 10 lagi rakyat Palestin termasuk lapan kanak-kanak cedera dalam serangan tentera Israel berdekatan dengan bandar Beit Lahya.

Serangan tersebut menjadikan jumlah rakyat Palestin yang syahid sejak Israel melancarkan serangan di Genting Gaza pada 28 September lalu, meningkat kepada 85 orang. – AFP

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.