Mereka Yang Dilupakan: Pelarian Palestin di Lubnan (Part 1)


oleh Maszlee Malik (kolumnis Palestinkini)
Satu analisa yang menarik tentang bagaimana nasib kehidupan pelarian Palestin di Lubnan.

Pengenalan
Lubnan merupakan salah sebuah daripada negara di Timur Tengah yang tidak sunyi dari pergolakan dalamannya di dalam lembaran sejarah dunia semenjak sekurun yang lalu. Ianya terletak di bahagian timur pantai Mediterranean dan mempunyai keluasan lebih kurang 10,000 kilometer persegi. Lubnan bersempadan dengan Syria di utara dan timur, Palestin (yang dikenali sebagai Israel kini) di selatan.

Bentuk muka buminya amat menarik, di kawasan baratnya di kelilingi dataran pantai Mediterranean yang terdapat padanya beebrapa buah bandar pantai (termasuk ibu negaranya, Beirut). Di kawasan timurnya pula kawasan pergunungan dan bukit bukau.

Bentuk fizikal ini telah menjadikan Lubnan sebuah kawasan yang catik secara semula jadinya dan menjadi salah sebuah tempat pelancungan terkemuka di Timur Tengah semenjak dari dahulu lagi. Antara kawasan pelancongan utama di Lubnan ialah Bati Roche di Beirut, Baalbak, pesisiran Tripoli dan lain-lain lagi.

Keunikan Lubnan
Satu fenomena yang unik di Lubnan berbanding dengan negara-negara Arab di Timur Tengah yang lain ialah kepelbagaian dalam masyarakatnya. Jika Iraq dan juga beberapa negara teluk yang lain diwarnai dengan kewujudan dua mazhab utama Islam, iaitu Sunni dan Syiah, di Lubnan pula bukan hanya sekadar mazhab, malah agama dan kepuakan.

Majoriti rakyatnya yang beragama Kristian terbahagi kepada beberapa mazhab dan kepuakan seperti Maronite, Ortodoks Greek dan Katolik Greek. Bagi masyarakat Islam pula mereka terbahagi kepada Syiah (Pro Hizbullah di selatan dan Pro Amal di Beirut), Sunni dan juga Druze. Bagi para pendatang ke negara ini pula, rakyat Palestin merupakan pendatang terbesar di Lubnan semenjak tahun 1948 dan juga segelintir golongan Armenia menambahkan lagi kepelbagaian dalam corak komuniti rakyat Lubnan.
(gambar kanan) Peta Lubnan dan juga khemah-khemah pelarian Palestin di Lubnan (warna merah)

Kepelbagaian agama, puak dan golongan ini bukanlah sesuatu yang indah seperti yang berlaku di mana-mana negara lain di dunia ini. Tahun-tahun 1975 sehingga tahun 1990 telah menyaksikan pergolakan dalaman Lubnan yang melibatkan pertelingkahan antara puak, antara mazhab dan juga di antara agama. Lebih kurang 800,000 penduduk Lubnan terperangkap dalam situasi yang memusnahkan struktur sosial kawasan kampung dan bandar.

Keadaan ini telah menyebabkan sebahagian besar penduduk hidup terpinggir secara berterusan manakala sebahagian lagi terpaksa meninggalkan negara mereka buat selama-lamanya. Tidak peliklah jika kita dapati ramai rakyat berbangsa Lubnan di negara-negara barat, Amerika Selatan dan di benua Australia.

Sejarah Masyarakat Lubnan
Pluralisme dalam struktur masyarakat Lubnan ini sebenarnya bermula semenjak akhir kurun ke-19 lagi. Ianya bukan berlaku secara spontan, tetapi hasil dari beberapa peristiwa dan acara penting di dalam sejarah Timur Tengah yang melibatkan kawasan berkenaan.

Ianya bermula apabila persidangan wakil kuasa-kuasa Eropah dengan Turki di atas usaha Perancis untuk mempertimbangkan pelarasan semula pentadbiran kawasan Gunug Lubnan. Hasilnya termetrailah Reglement Organique 1861 (disemak pada tahun 1864) yang menetapkan Gunung Lubnan sebagai sebuah sanjak (kawasan yang ditadbir) Empayar Uthmaniyyah yang mempunyai hak istimewa dan dijamin oleh pihak antara bangsa.

Kawasan sanjak atau juga dikenali sebagai Mutesarrifate ini disayaratkan agar diletakkan di bawah bidang kuasa Mutasarrif, iaitu seorang Gabenor Kristian Turki yang dilantik dan dihantar dari Istanbul dengan persetujuan dan jaminan kuasa-kuasa Eropah. Keadaan ini berterusan sehingga tahun 1915 selepas Peperangan Dunia Pertama.

Melalui perjanjian Sykes-Picott pada 1916, Lubnan telah diletakkan di bawah kekuasaan Perancis. Pada tahun 1920, Perancis telah bertindak memberikan Gunung Lubnan dan juga wilayah-wilayah lain bersekitarannya kepada golongan Kristian Maronites. Dengan demikian terhasillah sebuah Negara Lubnan yang Besar , dalam lingkungan sempadannya yang wujud pada hari ini.
Pada tahun 1926, Negara Lubnan Besar ini telah disusun semula menjadi Republik Lubnan.

Golongan Kristian Maronites yang menguasai Republik Lubnan ini tidak sekali-kali ingin berkongsi kuasa dengan saudara Arab mereka yang beragama Islam. Mereka juga tidak rela menerima ideologi Pan-Arabisme yang menyeru kepada nasionalisme Arab.

Sebagai reaksinya, mereka berjaya mewujudkan semangat Lubnanisme di kalangan golongan Kristian Lubnan yang menganggap diri mereka sebagai bangsa Lubnan dan bukannya Arab. Sentimen keagamaan di kalangan Maronites ini bukanlah baru, tetapi merupakan sesuatu yang diwarisi semenjak zaman-berzaman, malah semenjak awal kedatangan Islam ke bumi Lubnan. Sejarah juga telah menyaksikan bagaimana mereka telah bersatu dengan Tentera Salib sewaktu Tentera Salib dari Eropah menyerang kawasan tersebut yang mana pada asalnya merupakan sebahagian dari wilayah Syria.
(gambar kiri) Penulis bersama anak-anak pelarian Palestin di kem Burj al-Barajneh

Fakta sejarah ini mungkin pada sesetengah orang tiada relevannya dengan tajuk artikel ini, namun sebagai latar belakang kepada sejarah Lubnan ianya amat signifikan. Ini akan lebih ketara apabila kita menyaksikan segala konflik di Lubnan, termasuklah segala yang berkaitan dengan isu pelarian Palestin berkait rapat dengan sejarah sosio masyarakat Lubnan itu sendiri.

Pelarian Palestin
Penghijrahan pelarian Palestin di Lubnan bermula semenjak tahun 1947 lagi. Ianya merupakan natijah daripada perluasan kuasa rejim Zionis ke atas tanah Palestin. Lebih malang lagi resolusi 181 PBB pada tahun 1947 telah memasukkan sebilangan besar wilayah sebelah utara bumi Palestin ke dalam negara Yahudi yang dicadangkan oleh mereka.

Penubuhan Negara Haram Israel pada 1948 merupakan titik hitam bagi rakyat Palestin yang mendiami kawasan utara negara tersebut. Sejarah telah menyaksikan bagaimana mereka telah dipaksa dan terpaksa keluar meninggalkan negara mereka dan berhijrah menuju ke Lubnan yang diharap dapat menerima mereka sebagai saudara seArab mereka. Apabila mereka berada di sana, yang berlaku tidaklah seperti yang diharapkan.

Para pelarian Palestin yang berhijrah ke Lubnan pada sekitar tahun 1947 sehingga 1949 sahaja dianggap sebagai penduduk sah Lubnan dengan diberikan Dokumen Pelarian (Refugee Document atau RD) yang disediakan oleh Liga Arab (Arab League) dan tidak langsung diberikan kerakyatan (mereka hanya menjadi penduduk tetap (Permenant resident atau PR) sahaja).

Sehingga kini generasi ketiga pelarian Palestin masih lagi memegang taraf pelarian (refugee) dan memiliki RD tanpa diberikan peluang untuk menjadi rakyat Lubnan. Bagi rakyat Paelstin yang berhijrah ke Lubnan selepas perang 1967 pula atau selepas pertikaian PLO-Jordan pada tahun 1970-71 tidak langsung diberikan dokumen pengenalan diri dan sentiasa menerima ancaman untuk diusir keluar dari Lubnan.

Sebagai rakyat yang bertaraf pelarian di sesebuah negara dan bukannya warga negara, sudah tentulah banyak sekali keistimewaan seorang warga negara tidak dapat mereka kecapi. Ini bermakna banyak pulalah kesengsaraan yang mereka hadapi.

Antara kepayahan dan kesengsaraan yang mereka hadapi ialah kepayahan untuk bergerak ke negara selain Lubnan. Mereka terpaksa mendapatkan dokumen perjalanan (laissez passer) yang sah bagi tempoh setahun. Mereka juga tidak dibenarkan memiliki hartanah di Lubnan, dan majoriti mereka masih lagi tinggal di kawasan perkhemahan pelarian (Mukhayyamat) di serata Lubnan.

Sehingga kini terdapat lebih kurang 12 khemah pelarian yang masih beroperasi dan menempatkan lebih 394,532 penduduk bertaraf pelarian di bawah UNHCR (statistik 2003). Mereka juga dilarang dari bekerja dari lebih 70 jenis pekerjaan, daripada kerja yang rendah seperti tukang gunting rambut sehinggalah ke profesion yang liberal seperti doktor, peguam dan lain-lain lagi.

Bagi pekerjaan yang dibenarkan pula, mereka hendaklah mendapatkan permit kerja dan tidak diberikan faedah sosial dari pekerjaan tersebut seperti warga negara Lubnan yang lain. Kebanyakan kerja-kerja yang dibenarkan adalah kerja-kerja yang kasar dan bertaraf buruh sahaja.

Pada Disember 1992, peraturan baru yang lebih ketat diperkenalkan untuk menyempitkan lagi peluang pekerjaan bagi rakyat Palestin. Perkara ini telah menyebabkan rakyat Palestin bekerja secara haram atau bekerja dalam sektor-sektor yang tidak diiktiraf dan terus dinafikan hak mereka untuk menikmati jawatan-jawatan yang lumayan.

Para pelarian Palestin ini juga dihimpit dengan masalah sosial akibat dari pengangguran, ketinggalan pelajaran dan juga ketiadaan perancangan penstrukturan sosial terhadap mereka. Hal ini menyumbang kepada peningkatan jenayah yang melibatkan para pelarian tersebut, terutamanya dari kalangan generasi muda mereka yang berada di Beirut.

Artikel-artikel yang mendatang akan membicarakan persoalan pelarian Palestin di bumi Lubnan dengan lebih intensif dan juga akan membawakan 1001 fakta yang pelik, ganjil dan tidak logik yang berlaku kepada para pelarian Palestin di sebuah negara bernama Lubnan.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.