Isu Palestin topik utama meja bulat Aman Malaysia-NAM – Ustaz Nasharuddin


Putrajaya, Rabu , 13/10/2004 – Penindasan rejim Israel ke atas rakyat Palestin adalah antara topik utama dibincangkan dalam persidangan meja bulat Sekretariat Aman Malaysia dengan Tan Sri Hasmy Agam yang mewakili Pergerakan Berkecuali (NAM) di sini.


Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, beliau difahamkan bahawa kira-kira 31 pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik dijemput Sekretariat Aman Malaysia-NAM bagi membincangkan hala tuju dan agenda antarbangsa terutamanya krisis yang melanda Palestin akhir-akhir ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily pagi tadi sebelum Persidangan Meja Bulat Aman Malaysia-NAM di Dewan Trinity, Wisma Putra, Putrajaya di sini.

(gambar kanan) Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Presiden Just, Dr Chandra Muzaffar bersama beberapa perwakilan NGO dan parti politik masuk ke Persidangan Meja Bulat Sekretariat Aman Malaysia dan NAM. Persidangan diadakan di Dewan Trinity, Wisma Putra, Putrajaya semalam(12/10/2004)

Antara perwakilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang hadir ialah, Setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabkhi Yusof; Penyelaras Aman Malaysia, Zulkifli Alwi; wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) dan Presiden Just, Dr Chandra Muzaffar.

Persidangan tersebut turut dihadiri Menteri Luar, Dato’ Seri Syed Hamid Jaafar Albar sebagai perasmi program anjuran Aman Malaysia itu.

Menurut Ustaz Nasharuddin, perbincangan tersebut menyentuh sejauh mana peranan yang boleh dimainkan Aman Malaysia dalam membantu NAM mengutarakan suara dan cadangan berhubung isu penindasan ke atas rakyat Palestin dan isu keamanan serantau.

Ujar beliau lagi, persidangan tersebut juga bertujuan merealisasikan NAM sebagai pertubuhan yang mampu membawa cadangan kepada badan dunia dalam menyelesaikan isu penindasan di Palestin.

Justeru katanya, persidangan tersebut diharap dapat memberi impak kepada Aman Malaysia dan NAM dalam menyuarakan kebebasan rakyat Palestin yang dizalimi Israel sejak berpuluh tahun lamanya.

Israel mengganas lagi

Berhubung sengketa di Palestin, semalam seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sebuah pesawat udara Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke arah sekumpulan lelaki bersenjata di kem pelarian Jabaliya, Semenanjung Gaza.

Serangan udara itu adalah kali kedua semalam dalam operasi besar-besaran yang dijalankan tentera Israel sejak hampir dua minggu lalu.

Pasukan keselamatan Palestin berkata, sasaran serangan peluru berpandu itu ialah ke atas sekumpulan lelaki bersenjata yang merancang untuk menyerang askar Israel.

Mereka mengenal pasti lelaki yang terkorban sebagai seorang pejuang berusia 20 tahun daripada Briged Syahid Al-Aqsa.

Tentera Israel menyatakan serangan udara itu ditujukan ke atas kumpulan pejuang Palestin yang cuba meletupkan bom.

Askar dan kereta kebal Israel menjalankan operasi besar-besaran di Gaza dalam usaha untuk menghalang pejuang Palestin daripada melancarkan roket Qassam ke bandar-bandar Israel bersempadan dengan Gaza.

Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon berjanji untuk mengundurkan askar dan pendatang haram Yahudi dari Gaza tahun depan tetapi beliau menghadapi tentangan keras daripada pembangkang dan pemberontak daripada dalam parti beliau sendiri.

Parlimen bersidang semula hari ini untuk sesi yang dijangka hangat dan boleh menyebabkan kerajaan minoriti Sharon terpaksa meletakkan jawatan.

sumber : harakahdaily.net

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.