Askar bongkar kisah pegawai tembak budak perempuan 20 das


Baitul Muqoddis, Rabu, 13/10/2004 – Pendakwa raya kanan tentera Israel memulakan siasatan terhadap seorang komander platun yang melepaskan hampir 20 das
tembakan bagi memastikan seorang budak perempuan Palestin berusia 13
tahun benar-benar mati.

Menurut laporan Irish Examiner kelmarin, askar dipetik sebagai
berkata, komander berkenaan menghampiri mangsa yang sudah ditembak
dan dipercayai mati sebelum menembaknya berkali-kali walaupun dirayu
supaya berhenti.

Dalam satu tindakan luar biasa, pendakwa raya kanan tentera itu, Brig
Jen Avichai Mandelbleet mengarahkan siasatan terhadap kejadian itu
sebelum askar menyiapkan siasatan dalaman, menurut jurucakap askar.

Katanya, sebagai tambahan, komander batalion dan bahagian juga
menjalankan siasatan sendiri malah akan menyerahkan hasilnya kepada
Panglima Tentera Lt Jen Moshe Yaalon.

“”Dia (komander itu) sudah lama teringin menembak pengganas dan dengan
menembak budak perempuan berkenaan, seakan-akan melepaskan tekanan,”
kata askar terbabit.”

Peristiwa ngeri mula mendapat perhatian apabila kumpulan askar di
bawah pemerintahan komander platun yang namanya tidak diketahui itu
mendedahkan kejadian berkenaan kepada media Israel.

Mangsa, Iyman Hams, 13, ditembak sehingga mati pada 5 Oktober lalu.

Pada awalnya, tentera mendakwa anggotanya menembak dan membunuh Hams
kerana dia meletakkan sebutir bom dekat sebuah pos kawalan askar di
selatan Gaza.

Bagaimanapun, berikutan askar memberikan versi berbeza mengenai
kejadian berkenaan kepada media, pemerintahan Israel memulakan
siasatan.

Sementara itu, beberapa askar memberitahu mereka kesal kerana
komander platun terbabit belum digantung kerja.

Mereka ketika menceritakan semula kejadian itu kepada stesen
televisyen Israel malam kelmarin berkata, komander platun terbabit
melepaskan dua tembakan pada jarak dekat terhadap gadis itu yang
sudah pun mati akibat ditembak.

Dua askar yang menyaksikan peristiwa ngeri itu mendakwa, komander
berkenaan kembali semula ke situ sebelum melepaskan tembakan
menggunakan senjata automatik secara bertalu-talu.

“Jangan tembak. Dia hanya budak kecil!” kata askar berkenaan melalui
radio dua haluan sebelum komander itu menembak mangsa.

“Kami lihat mangsa dari kira-kira 70 meter. Dia ditembak dari pos
kawalan luar. Dia melarikan diri selepas tercedera. Saya rasa dia
sudah mati. Komander platun kemudian datang dekat padanya,
menembaknya dua kali, kembali ke pos, pusing semula ke mangsa,
mengubah senjata kepada fungsi automatik dan mengosongkan seluruh
klip peluru.

“Dia terus menghujani budak itu dengan peluru. Kami amat terkejut
sehingga terkedu. Kami tidak percaya apa yang dia lakukan.

“Kami rasa sedih dengan kematiannya. Dia hanya budak berusia 13
tahun. Mengapa dia sanggup melepaskan tembakan pada seorang budak
pada jarak dekat?

“Dia (komander itu) sudah lama teringin menembak pengganas dan dengan
menembak budak perempuan berkenaan, seakan-akan melepaskan tekanan,”
kata askar terbabit.

Sementara itu, Pengarah Hospital di Rafah, Dr Ali Musa berkata, Hams
ditembak sekurang-kurangnya 15 butir peluru yang semuanya di bahagian
atas badan.

Menurut abang mangsa, Ihab Samir Hams, adiknya itu dalam perjalanan
ke sekolah apabila ditembak.

Katanya, askar tidak membenarkan ambulans ke tempat kejadian selama 70 minit.

“Luka akibat peluru ada pada kepala, dada, kaki..semua tempat,”katanya yang menolak usaha siasatan itu.

“Adakah ia mampu mengembalikannya? Adakah dia akan kembali ke rumah?
Adakah luka kami akan semudah itu sembuh?
“Mereka pembunuh dan mereka mencabut nyawanya tanpa belas kasihan,”
katanya.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.