Mereka Yang Dilupakan: Pelarian Palestin di Lubnan (Part 2)

Oleh Maszlee Malek(kolumnis Palestinkini)

Klik sini untuk baca Part #1

Ikuti sambungan analisis saudara Maszlee Malek , tentang nasib pelarian Palestin di Lubnan yang mana sempat diziarahi beliau baru2 ini.


(Gambar dilampirkan dibawah artikel)

Semenjak tahun 1948 sehingga kini, terdapat lebih kurang 1.3 juta penduduk Palestin yang dihalau dari tanah air mereka tinggal di dalam lebih kurang 59 buah kem-kem pelarian yang rasmi di Jordan, Lebanon, Syria, Tebing Barat dan juga Jalur Gaza. Bilangan keseluruhan rakyat Palestin di luar negara asal mereka pula keseluruhannya berjumlah 4,136,449 orang.

Seperti yang telah diceritakan pada bahagian pertama, penduduk Palestin yang dihalau dari kampung halaman mereka (kebanyakkannya dari utara Palestin yang kini dikuasai sepenuhnya oleh rejim Zionis Israel) oleh pihak rejim semenjak 1948 telah berhijrah ke Lubnan.

Kebanjiran pelarian Palestin yang majoritinya beragama Islam sunni dan segelintir kecilnya beragama Kristian tidak berapa disenangi oleh minoriti Kristian Lubnan (bilangannya 30% daripada keseluruhan rakyat Lubnan) dan juga kelompok Islam Syiah.

Sedari awal lagi para pelarian ini telah ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai kem-kem pelarian dan diselenggarakan oleh UNRWA (UN Relief and Works Agency). Pada asalnya, terdapat lebih kurang 16 kem pelarian rakyat Palestin yang rasmi telah dibina di Lubnan.

Selepas siri-siri keganasan rejim Israel dan juga peperangan saudara yang berlaku di Lubnan, kini hanya tinggal 12 sahaj kem pelarian yang masih berfungsi untuk menempatkan para pelarian Palestin yang sah dan mempunyai dokumen pelarian (Refugees Document (RD)) dan didaftarkan di bawah UNRWA. Empat buah kem pelarian telah dimusnahkan dan termusnah itu adalah Nabatieh di Selatan Lubnan, Dikwaneh dan Jisr al-Basha di dalam Beirut dan juga Gouraud di Baalbak (sebelah timur Lubnan).

Selepas kemusnahan Nabatieh, Dikwaneh dan Jisr al-Basha, lebih kurang 6,000 keluarga pelarian Palestin telah ditempatkan di seluruh kem-kem pelarian yang lain. Para pelarian dari kem Gouraud pula telah ditempatkan di kem Rashidieh di daerah Tyre, selatan Lubnan.

Kini, 12 kem pelarian yang masih lagi beroperasi itu menampung lebih kurang 223, 956 orang pelarian yang berdaftar dengan UNRWA dan lebih kurang puluhan ribuan yang lain yang tidak berdaftar sebagai pelarian kerana tidak mempunyai RD. Bilangan keseluruhan pelarian Palestin yang berdaftar di dalam dan di luar kem-kem pelarian berjumlah 394,532 sehingga 31 Disember 2003. Menurut Samir al-Zaban di dalam kertas kerjanya ?Awda? al-Laaji?in al-Filistiniyin fi Lubnan? (Situasi Pelarian Palestin Di Lubnan), jumlah sebenar rakyat Palestin di Lubnan adalah melebihi jumlah pelarian yang berdaftar dengan UNRWA.

Tiada sesiapa pun yang dapat memastikan jumlah sebenar itu kerana kesukaran mendapatkan maklumat tentang mereka.

Walau bagaimanapun menurut Samir terdapat lebih kurang setengah juta rakyat Palestin di Lubnan sehingga kini dan akan mencapai bilangan 533, 492 menjelang 2005 berdasarkan kajian Jabatan perangkaan Amerika berkaitan pelarian Palestin di Lubnan pada tahun 1995. Bilangan ini telah menjadikan bilangan rakyat Palestin di Lubnan melebihi 10% daripada bilangan keseluruhan rakyat Lubnan yang berjumlah 3,777,218 orang sehingga Julai 2004.

Di 12 kem pelarian ini, para pelarian Palestin menghadapi kehidupan yang amat sukar. Mereka dinafikan daripada menikmati hak-hak mereka yang asas seperti memiliki rumah dan tanah di luar kawasan kem pelarian, membangunkan infrastruktur dan meluaskan kawasan kem pelarian dan pelbagai kemudahan yang lain. Keadaan di dalam kem-kem pelarian, terutamanya di kawasan Shatila dan Ain Helweh amat dahsyat. Tiada sistem perparitan yang teratur, rumah-rumah yang asalnya adalah khemah-khemah pelarian semenjak 1948 tidak dibina dengan teratur.

Jarak di antara bangunan amat rapat sehinggakan lorong (zaurab) di antara sebuah rumah dengan rumah yang lain hanya pada jarak kurang dari 2 meter. Sistem bekalan air dan eletrik yang sempurna hampir tiada. Apa yang berlaku, para penduduk kem-kem tersebut membina sistem bekalan air dan eletrik mereka sendiri yang tidak teratur dan amat membahayakan keselamatan mereka sendiri.

Saiz demografi yang besar dan tidak sepadan dengan keluasan kem-kem tersebut telah menimbulkan banyak masalah lain. Antaranya masalah penempatan bertingkat yang tidak tersusun, masalah sampah (kerana tiada perkhidmatan perlupusan sampah yang teratur), masalah kesihatan dan masalah sosial yang semakin parah saban hari.

Para pelarian juga dinafikan dari bekerja di dalam lebih 73 jenis pekerjaan profesional seperti pensyarah, doktor, peguam dan yang seumpamanya dan juga pekerjaan-pekerjaan biasa seperti tukang gunting rambut dan pekerja perkhidmatan. Situasi ini telah mengundang masalah pengangguran, kemiskinan, kefakiran, malah masalah sosial seperti jenayah dan keruntuhan moral.

Menurut kajian Palestinian Diaspora & Refugee Centre (SHAML) yang berpusat di Beirut, Lubnan, sehingga tahun 2000 peratusan pengangguran di kalangan para pelarian telah mencapai angka 40%, manakala lebih 40,000 hidup di bawah paras kemiskinan.


Kem Shatila 2004


Sistem bekalan air di kem


Sistem bekalan eletrik yang tidak teratur di dalam kem


Generasi baru pelarian Palestin


Pembinaan bangunan yang tidak teratur di dalam kawasan kem


Lorong-lorong yang sempit di antara bangunan-bangunan (rumah)

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.