500 sertai himpunan bantah kekejaman Israel ke atas Palestin di KL semalam.

Rabu ,31/12/2008 –Kira-kira 500 aktivis dari pelbagai NGO dan parti politik menyertai himpunan aman membantah kekejaman rejim Israel ke atas Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat semalam.

Himpunan yang dikepalai Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu itu bermula pada jam 11.30 pagi dengan peserta berhimpun di hadapan Bangunan Tabung Haji.

Turut hadir ialah, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali; wakil Jemaah Islah Malaysia (JIM); wakil mahasiswa Islam dan beberapa NGO tempatan.

Tepat jam 12.00, wakil himpunan, Mohamad Sabu telah menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Amerika yang hanya menerima memorandum tersebut di luar bangunan kedutaan.

Jurucakap himpunan, Dr syed Azman yang membacakan memorandum menyatakan NGO dan parti-parti politik di negara ini mahu Amerika mengarahkan sekutunya (Israel) menghormati ketetapan yang telah dibuat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengenai kebebasan wilayah Gaza bagi rakyat Palestin.