Pemuda PAS Kedah edar risalah sempena Hari Al Quds


Alor Star,Isnin,25/10/2004- Atas rasa simpati dengan penderitaan Umat Islam Palestine serta lainnya di seluruh dunia, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menerbitkan risalah mengenai sambutan Hari Quds.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd. Nasir Mustafa, risalah itu bakal diedarkan semasa sambutan Hari Al Quds pada hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan.

“Pada hari Quds, umat Islam seluruhnya dianjurkan untuk berdoa serta menyatakan kebenciannya terhadap apa saja tindakan jahat, busuk serta bacul yang dilakukan puak Yahudi serta sekutunya terhadap umat Islam,” ujar beliau.

Tambah beliau, ia juga adalah satu usaha bagi mengembalikan hak Islam di Palestine, termasuk sama-sama berdoa serta berusaha bagi membebaskan kembali Masjid Al-Aqsa yang sekarang sedang dihina serta dipersendakan puak Zionis di sana.

Katanya lagi, Quds mula diperkenalkan oleh Imam Khomeini pada tahun 1979 lalu dan ia mendapat sambutan hebat termasuk di kalangan panganut agama Kristian di kota London, Amerika Syarikat dan negara-negara barat yang lain.

Sehubungan itu jelasnya, seluruh pemuda PAS di Kedah akan mengedarkan risalah mengenai Quds pada 29 Ramadhan 1425 (12 November) ini ke seluruh negeri Kedah, sebagai tanda cintanya kita kepada saudara seagama di Palestine serta tempat lain yang turut dizalimi rejim Zionis ini.

Menurutnya lagi, risalah empat muka berukuran A4 itu memuatkan pelbagai kejahatan serta penindasan Zionis di Palestine, sejarah pencerobohan Israel di Palestine, fatwa ulama’ dunia mengenai insiden pengebom berani mati serta beberapa topik yang lain.

Selain itu ujarnya, melalui risalah tersebut juga, satu kempen SMS turut diadakan yang akan bermula serentak pada sambutan hari Quds berbunyi,”Sempena Ramadhan, bersama kita doakan keselamatan Umat Islam Palestine dan Umat Islam yang tertindas di seluruh dunia”.

“Semoga dengan keberkatan yang dilimpahkan oleh Allah SWT disepanjang Ramadhan ini, doa-doa kita di Malaysia ini yang bencikan kezaliman yang dilakukan oleh yahudi serta sekutu mereka di seluruh dunia ini akan dimakbulkan oleh Allah dan setiap amalan menentang yahudi ini bakal dipilih sebagai amal soleh di sisi Allah,” ujar Mohd. Nasir lagi.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.