Cerita di sebalik budak berumur 13 tahun ditembak hampir 20 das.


Murid perempuan dipenuhi dengan peluru. Dan tiada siapa yang dipersalahkan. Persoalan berkekalan apabila seorang komander unit Israel dilepaskan daripada kesalahan membunuh murid.


Fakta-fakta yang tidak dapat disangkal adalah seperti berikut: ia berlaku di waktu siang, Iman al-Hams yang berumur 13 tahun memakai pakaian seragam sekolahnya, dan ketika dia melalui ?zon larangan? tentera Israel di hujung jalan yang dilaluinya, dia membawa beg sekolahnya. Beberapa minit kemudian, anak gadis yang pendek dan kecil itu dihujani dengan peluru. Doktor dapat menghitung sekurang-kurangnya 17 kesan luka dan mengatakan bahawa kebanyakan daripada kepalanya telah dihancurkan.

Selain daripada itu, amat sedikit sekali persamaan komen daripada golongan atasan pihak tentera dan saksi-saksi rakyat Palestin mengenai bagaimana Iman terkorban pada minggu lepas. Begitu juga halnya dikalangan ahli-ahli unit tentera yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan di kem pelarian Rafah tersebut.

Saksi-saksi dikalangan rakyat Palestin membayangkan pembunuhan tersebut sebagai sesuatu yang kejam. Mereka mengatakan bahawa tidak mungkin askar-askar terbabit tidak dapat melihat bahawa mereka sedang melepaskan tembakan ke arah seorang anak kecil, dan bahawa Iman telah dibunuh apabila dia sudahpun terlantar akibat kecederaannya, tidak bermaya.

?Beberapa orang askar meniarap di atas tanah dan melepaskan tembakan demi tembakan ke arahnya,? kata Basim Breaka, yang menyaksikan pembunuhan tersebut daripada ruang tamunya. ?Kemudian, salah seorang daripada askar tersebut berjalan ke arahnya dan menghabiskan bekas peluru ke atasnya. Sudah tentu dia telah mati pada peluru kedua atau ketiga. Saya dapat melihatnya terlantar di tanah, tidak bergerak. Saya tidak dapat memikirkan mengapa askar tersebut mahu menembaknya setelah dia sudah pun mati.?

Minggu ini, sebuah penyiasatan oleh pihak tentera telah melepaskan komander unit tersebut daripada sebarang tuduhan setelah sesetengah daripada askarnya sendiri menuduhnya memberikan arahan untuk menembak, walaupun mengetahui bahawa sasaran adalah seorang budak perempuan kecil, dan kemudiannya menghabiskan peluru senapang automatiknya ke atas Iman.

Pada hari dia dibunuh, Iman bertolak daripada rumah sebelum jam 7 pagi untuk perjalanan pendek ke sekolah di kawasan Tal al-Sultan di Rafah. Sekolah tersebut berhadapan dengan sempadan Mesir yang dikawal ketat oleh tentera, dan dibayangi pusat kawalan bersenjata Israel yang disamari.

(gambar kanan) Iman Hams, terbunuh dengan kejam setelah di tembak dengan 20 butir peluru oleh Rejim Zionis, ketika ia sedang menghampiri pos kawalan haram di Rafah pada awal Oktober. Pegawai yang melepaskan tembakan dibebaskan dari sebarang tuduhan.

Seperti kebanyakan bangunan di kawasan itu, sekolah Iman dipenuhi dengan kesan tembakan. Pada tahun lepas, seorang budak lelaki yang berumur 13 tahun telah ditembak mati oleh tentera di luar sekolah itu. Pada tahun ini pula, dua orang murid dan seorang guru telah tercedera akibat hujanan peluru di dalam kawasan sekolah.

Iman berjalan melepasi sekolahnya dengan beg sekolah di bahunya, melintasi jalan, dan menuruni sebuah tebing kecil berpasir ke arah sebuah kawasan yang dahulunya merupakan sebuah ladang buahan zaitun dan limau. Ia kini telah menjadi padang jarak padang tekukur akibat pihak tentera menjanamkan kesemuanya dengan jentera mereka. Iman telah memasuki kawasan ?terlarang?, bersebelahan dengan menara kawalan, dimana rakyat Palestin yang berada di sana menghadapi risiko ditembak.

Budak sekolah tersebut terus berjalan ke arah menara tersebut. Akan tetapi, beberapa ratus meter daripada menara tersebut, dua das tembakan telah terkena pada kakinya. Dia menjatuhkan begnya, berpaling, dan cuba untuk mengesotkan dirinya jauh daripada kawasan itu, dan terjatuh.

Empat atau lima orang tentera muncul daripada pos tentera itu dan menembak ke arahnya daripada jauh. Beberapa saksi rakyat Palestin dan tentera Israel menyatakan bahawa komander platun telah menghampiri Iman untuk melepaskan dua das tembakan ke arah kepalanya. Mereka menyatakan bahawa dia kemudiannya beredar meninggalkan Iman, berpaling dan menghujani badan Iman dengan peluru.

Mayat Iman dibawa ke hospital Rafah dan diperiksa oleh Dr. Mohammed al-Hams. Menurutnya, ?Dia mempunyai sekurang-kurangnya 17 peluru di beberapa bahagian badannya, di sekitar dada, tangan, lengan, kaki.? ?Peluru-peluru tersebut bersaiz besar dan ditembak daripada jarak yang dekat. Kecederaan paling serius adalah pada kepalanya. Dia mempunyai tiga butir peluru di dalam kepalanya. Sebutir peluru ditembak daripada bahagian kanan muka, bersebelahan telinganya. Ia mengakibatkan impak yang besar ke atas keseluruhan mukanya. Sebutir lagi peluru telah melalui tengkuk ke mukanya dan merosakkan kawasan di bawah mulutnya.?

Doktor menerangkan bahawa berpandukan kesan tembakan dan kecederaan yang dialami, Iman dijangka telah menghembuskan nafas terakhirnya terlebih dahulu sebelum beberapa butir peluru mengenainya. Dengan pantasnya, pihak tentera telah menyalahkan Iman ke atas kematiannya sendiri akibat dia memasuki kawasan larangan. Pada mulanya, pihak tentera menyatakan bahawa askar mengesyaki budak tersebut membawa bom di dalam beg sekolahnya. Apabila terbukti bahawa tiada bom di dalam begnya, mereka menyatakan pula bahawa pejuang-pejuang Palestin cuba untuk menggunakan Iman sebagai umpan untuk menarik keluar askar daripada pos kawalan mereka.

Namun demikian, beberapa orang askar daripada unit yang terlibat, Batalion Shaked, melahirkan rasa marah di atas apa yang mereka dakwa sebagai suatu penipuan. Seorang daripada mereka memberitahu suratkhabar Yedioth Ahronoth; seorang askar di menara kawalan tersebut telah memberitahu komander kompeni bahawa dia sedang mengacukan senjatanya ke arah seorang budak kecil: ?Jangan tembak, itu adalah seorang budak budak kecil?.

?Komander kompeni itu terus menghampirinya, menembak dua das tembakan padanya, berjalan ke arah menara kembali, berpaling semula ke arah budak itu, menetapkan pistolnya ke versi automatik, dan menghabiskan pelurunya pada budak itu. Kami terkejut dan tidak dapat mempercayai apa yang baru dilakukannya. Hati kami pilu. Ia hanya seorang budak perempuan berumur 13 tahun,? seorang askar memberitahu suratkhabar.

Askar-askar lain menyatakan bahawa sekiranya komander kompeni itu tidak digugurkan atau diberhentikan, mereka tidak akan berkhidmat di bawahnya: ?Ia adalah sesuatu yang memalukan, memandangkan dia masih memegang jawatannya. Kami mahukan dia ditendang.?

Pengakuan yang diberi oleh saksi-saksi rakyat Palestin menyokong dakwaan askar-askar yang membantah tersebut.

Ketika kejadian berlaku, Fuad Zourob sedang bekerja di sebuah kilang bata yang kecil, berhampiran kawasan di mana Iman ditembak. ?Anak gadis itu berjalan di atas pasir. Dia ditembak daripada pos tentera. Dia ditembak di kaki dan dia merangkak.?

?Kemudian dia berdiri dan mula mencuba untuk berlari dan kemudian terjatuh semula. Penembakan terus menerus berlaku. Askar-askar tiba. Seorang daripada mereka pergi berdekatan dengan gadis itu dan mula menembak. Dia berjalan untuk pergi, tetapi kemudian berpusing semula dan menembak gadis itu lagi,? katanya.

Yousef Breaka melihat kejadian itu daripada anjung rumah pangsanya di tingkat dua. Dia adalah pemilik kepada tanah seluas 12 ekar yang telah dimusnahkan, yang terletak bersebelahan bangunan yang dilintasi Iman beberapa minit sebelum dia ditembak.

?Tembakan pertama datang daripada pos tentera. Dia ditembak di kaki. Dia mula untuk berjalan tetapi terjatuh semula. Dia melepaskan beg sekolahnya. Mereka terus menghujankan tembakan demi tembakan. Saya pasti dia mati sebelum dua orang askar datang dan menembak begnya, diikuti badannya,? kata En. Breaka.

Ruang tamu En. Breaka dihiasi dengan lubang-lubang akibat 9 butir peluru yang ditembakkan daripada menara kawalan Israel itu, dua tahun lepas. Peluru yang kesepuluh telah membunuh Jindiya, ibunya yang berumur 80 tahun.

Tiada sesiapa, termasuklah bapa Iman, Samir al-Hams ataupun para saksi mengetahui mengapa gadis itu memasuki kawasan larangan.

?Saya tidak dapat menerangkan mengapa dia berada di sana. Saya telah bertanya kepada semua orang dan tiada sesiapa yang boleh menerangkannya. Mungkin dia hanya ingin berjalan di atas pasir, mungkin dia kebingungan. Saya tidak tahu,? kata En. Al-Hams.

En. Zourob terkejut melihat Iman berjalan di belakang kilangnya. ?Saya terperanjat. Saya tidak tahu mengapa dia berada di situ. Tiada sesiapa yang menuju ke kawasan itu. Dia bersendirian, tetapi beberapa orang murid sekolah memanggilnya: Iman, kenapa awak berada di situ?? katanya.

Menara kawalan tersebut terletak di atas sebuah bukit pasir yang besar. Ia dikelilingi oleh kawat berduri dan pertahanan lain. Tanpa sebarang kecederaan pun, ia akan memakan masa selama 10 minit untuk Iman menaiki bukit tersebut. Dengan kecederaan yang dialaminya, peluangnya sangat tipis untuk sampai ke menara kawalan.

Sekiranya dia membawa bom, ia hanya boleh membawa mudarat kepada askar-askar Israel jika dia dapat pergi hampir kepada mereka. Akan tetapi, setelah ditembak, Iman telah melepaskan beg sekolahnya.

Saksi-saksi Palestin mengatakan askar telah menghujani beg tersebut dengan tembakan demi tembakan. Lantas telah memastikan bahawa ia tidak mengandungi bom. Namun, mereka masih tetap menembak gadis itu.

Undang-undang konfrontasi tentera Israel membolehkan askar untuk mencederakan sesiapa yang memasuki zon keselamatan dan tidak menghiraukan tembakan amaran untuk beredar. Apabila seseorang itu telah dicederakan, askar hanya dibenarkan untuk membunuh sekiranya terdapat ancaman yang jelas ke atas nyawa mereka. Para saksi mengatakan bahawa Iman tidak terdaya dan tidak menimbulkan ancaman sebegitu.

Bapa Iman adalah seorang guru di sekolah rendah yang berjiran dengan sekolahnya sendiri. ?Pada hari Iman dibunuh, Guru Besar sekolahnya menelefon saya pada jam 8.15 dan bertanya mengapa dia tiada di sekolah. Saya katakan padanya yang saya tidak tahu,? katanya.

?Saya berlari ke sekolah Iman. Guru-guru dan Guru Besar memberitahu saya bahawa tentera telah menembak ke arah seorang budak perempuan, tetapi budak itu tidak apa-apa, jangan risau. Saya bertenang sedikit apabila saya mendengar berita itu dan terfikir bahawa mungkin tentera menembak ke arahnya untuk menakutkannya dan kemudian menahannya untuk soal siasat, dan mereka akhirnya akan membebaskannya. Akan tetapi, mereka kemudian mengisytiharkannya sebagai telah meninggal dunia. Itu merupakan detik terburuk dalam hidup saya.?

Pada minggu ini, pegawai yang bertanggungjawab ke atas Semenanjung Gaza, Major Jeneral Dan Harel, melengkapkan penyiasatannya dan mengisytiharkan bahawa komander kompeni yang terlibat itu tidak bertindak dengan tidak beradab di dalam kes pembunuhan Iman, tetapi tetap digantung kerana kehilangan kepercayaan askar-askar di bawah seliaannya.

Kepantasan penyiasatan yang dilakukan membayangkan sekali lagi sifat endah tidak endah tentera terhadap penyiasatan yang berkaitan kes sebegini. Penyiasatan yang lebih menyeluruh biasanya hanya akan dijalankan sekiranya terdapat tekanan daripada pihak luar, seperti yang terjadi ketika kes tiga orang Inggeris yang ditembak mati oleh askar-askar Israel sepanjang dua tahun yang lepas.

Pihak tentera telah dengan senyap-senyap menggugurkan penyiasatan berkenaan pembunuhan yang dilakukan oleh seorang penembak curi Israel ke atas dua orang adik-beradik di Rafah, kedua-duanya berumur belasan tahun, pada bulan Mei yang lepas. Pihak tentera telah menuduh bahawa kedua-duanya terbunuh akibat bom pihak Palestin. Perkara ini adalah tidak benar sama sekali. Penyiasatan hanya bermula apabila pemberita menjumpai mayat kedua-dua remaja tersebut dan melaporkan bahawa kedua-duanya terdapat hanya satu kesan tembakan pada kepala mereka.

Tekanan akibat pendedahan daripada askar-askar batalion Shaked telah menyebabkan polis tentera melancarkan penyiasatan yang berlainan ke atas pembunuhan Iman al-Hams. Askar-askar yang terlibat berkata bahawa mereka akan menegaskan bahawa penyiasatan tersebut dilengkapkan.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.