Dosa-dosa Arafat

Oleh Maszlee Malek (kolumnis Palestinkini)

Menafikan jasa mendiang Arafat (1939-2004) kepada rakyat Palestin dan juga bumi Palestin adalah umpama menafikan fakta bahawa Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya dikenali sebagai Malaysia) yang pertama.

Menidakkan pengorbanan Arafat ataupun nama glamour beliau Abu Ammar terhadap isu Palestin adalah umpama menafikan jasa Ghandi dalam membebaskan India dari penjajah British. Pendekata Arafat adalah ikon perjuangan rakyat Palestin di mata masyarakat dunia. Selepas kematian beliau tanggal 11 November 2004, portal-portal berita, siaran-siaran berita dan dada-dada akhbar di serata dunia memaparkan jasa-jasa dan juga sirah perjuangannya di dalam mendapatkan kemerdekaan buat negara Palestin yang berdaulat dan juga kebebasan buat rakyatnya.

Sayangnya jasa-jasa beliau yang telah diwar-warkan itu telah menutup dan sekaligus menguburkan dosa-dosa beliau terhadap rakyat Palestin dan juga perjuangan mereka.

Edward Said, di dalam tulisan beliau di akhbar al-Hayat, bertarikh 27 Julai 1996 telah sedikit sebanyak mendedahkan dosa-dosa Arafat terhadap rakyat Palestin. Ketika membandingkan di antara Arafat dengan Mandela, beliau membawa beberapa persamaan dan perbezaan di antara kedua-dua tokoh pejuang kemerdekaan tersebut. Antara persamaan yang menarik di antara kedua-dua tokoh itu adalah wasilah yang mereka ambil untuk mencapai matlamat mereka.

African National Congress (ANC) yang dikepalai oleh Mandela, walaupun terkenal dengan perjuangan mereka yang suci murni menentang rajim dan dasar Apartheid, namun terkenal di mata dunia sebagai satu institusi yang dianggotai oleh mereka-mereka yang korupsi, rasuah, kronisme dan melakukan 1001 lagi jenayah politik. Ianya adalah rahsia yang terbuka. Begitu juga halnya dengan Arafat.

Gerakan Fatah dan kemudiannya pentadbiran Palestine National Authority (PA) yang diterajuinya dikenali dunia sebagai badan yang penuh dengan penyelewengan kuasa, pecah amanah, rasuah, kronisme dan juga 1001 jenayah yang melibatkan kewangan dan kuasa. Sayangnya, dengan kenderaan tersebut mereka berdua berjaya menempa nama yang harum di serata dunia, kecuali bagi Margaret Treacher yang memandang ANC dan Mandela sebagai pengganas, dan juga bagi Sharon dan seluruh rakyat rejim Zionis Israel yang memandang Arafat sebagai pengganas Arab.

Sayangnya kedua-duanya berbeza di dalam persoalan prinsip. Mandela adalah seorang yang kuat berpegang dengan prinsip. Di dalam mencapai matlamat perjuangannya, Mandela tidak pernah menggadaikan prinsipnya sehingga membuatkan beliau terperosok di dalam penjara rejim Apartheid buat suatu tempoh yang amat lama.

Berbeza dengan Arafat, di kaca mata Said dan seluruh pengamat isu Palestin dan mereka-mereka yang mencintakan kedamaian dan kebebasan dalam erti kata yang sebenarnya. Oslo, 1993, sebagai contohnya telah menyaksikan bagaimana Arafat yang sepanjang tiga dekad sebelum itu telah menyebabkan kehilangan nyawa ramai rakyat Palestin di atas nama perjuangan kemerdekaan Palestin telah bersekongkol dengan Israel untuk terus menghina rakyat Palestin. Bukan sahaja mengiktiraf kewujudan negara haram Israel, malah menerima keangkuhan rejim tersebut di dalam menafikan hak setiap individu Palestin di bumi Palestin yang dijajah (baca: Israel).

Pemerintahan autonomi yang telah dihadiahkan kepadanya adalah satu penghinaan yang terang!, mana tidaknya, walaupun mereka dibenarkan memiliki pasukan keselamtan mereka yang sendiri, tetapi mereka tidak berhak untuk mempertahankan diri dari ancaman luar (iaitu Israel sendiri), dan terhad untuk menghadapi ancaman dari unsur Arab sendiri dan tiada kuasa terhadap penduduk-penduduk Yahudi di Gaza dan Tebing Barat.

Perjanjian Oslo itu juga dengan jelas menyebutkan bahawa pemerintah tempatan Palestin (PA) tidak mempunyai kuasa ke atas penempatan kaum Yahudi di kedua-dua wilayah autonomi itu. Hasilnya, apakah yang dilakukan oleh pasukan keselamatan PA?, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menangkap dan mengekang rakyat Palestin sendiri yang dilihat sebagai pengancam kepada perjanjian damai (baca:gadai) tersebut. Adalah sesuatu yang pelik bin ajaib apabila kita mendapati di Gaza yang mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi di dunia (72,000 nyawa per kilometer persegi) mempunyai 35 buah penjara yang dibina untuk memenjarakan para pejuang Palestin sendiri, samada dari fraksi HAMAS, Jihad Islamiyy, malah dari gerakan Fatah sendiri!

Rakyat Palestin tidak akan mudah melupakan Muhammad Dahlan, pemuda yang telah menjawat jawatan sebagai ketua pasukan keselamtan dalam negeri di wilayah Gaza pada usia 33 tahun dan merupakan ayam tambatan Arafat telah memenjarakan, menyiksa malah dalam banyak keadaan membunuh para tahanan pejuang Palestin sendiri bagi pihak rejim Zionis Israel di atas nama perjanjian damai Oslo.

Rakyat juga tidak mudah melupakan bagaimana deraan ke atas para tahanan dan dilakukan oleh saudara sebangsa dengan mereka sendiri yang merupakan orang-orang PA. Rakyat juga tidak mudah melupakan aksi-aksi di luar perbicaraan (extra judicial) yang diambil oleh pihak PA ke atas para pejuang Palestin di antara tempoh 1993 sehingga tahun 2000.

Jika tidak kerana konsisten pihak HAMAS (yang merupakan pemerintah de facto di Gaza) yang tidak mahu wujud perpecahan di kalangan rakyat Palestin, sudah tentu telah lama berlaku pertumpahan darah di dalam wilayah Gaza kerana peperangan saudara di antara pihak HAMAS dengan pihak PA. Kesimpulannya, apa yang berlaku adalah semasa Arafat menjadi Presiden PA dan di bawah administrasi beliau pada waktu tersebut.

Media yang dikuasai sepenuhnya oleh Arafat juga di dalam tempoh tersebut juga telah digunakan untuk berkempen bagi pihaknya. Jika sebelum Oslo, bahasa-bahasa yang digunakan ke atas rejim Zionis adalah bahasa yang keras, kini selepas Oslo, semuanya telah berubah. Yang sering dipamerkan sebagai musuh bukan lagi rejim Zionis Israel, namun fraksi-fraksi penentangan dari kalangan rakyat Palestin.

HAMAS sering dipamerkan sebagai pengancam keamanan, pengganas dan juga pengkhianat rakyat Palestin oleh media yang dimiliki oleh PA. Arafat pula yang diketahui umum perihal korupsi yang dilakukan oleh beliau dan konco-konconya di dalam PA sering dicanangkan sebagai wira Palestin dan juga ?Messiah? mereka.

Lebih menarik lagi menurut Said, sepanjang pemerintahan Arafat, kuasa yang dimilikinya adalah melampaui kuasa legislatif yang telah diwujudkan oleh PA sendiri. Undang-undang di wilayah autonomi adalah undang-undang yang dicipta oleh Arafat. Kebanyakan undang-undang itu pula adalah lebih memihak kepada maslahat pihak rejim dan lebih dicipta untuk mengekang perjuangan rakyat Palestin. Lebih menarik lagi, di dalam Undang-undang dasar (Basic Law) ataupun perlembagaan PA tidak langsung disebutkan penghadan tempoh kuasa presiden.

Ternyata muslihat itu ada rahsianya, ianya adalah untuk menyediakan dasar agar Arafat dapat menjadi presiden PA seumur hidup. Dan beliau telah berjaya mencapai mimpinya itu….

Suha al-Tawil, isteri Arafat telah berjaya mendedahkan kebobrokan pentadbiran Arafat lagi. Ketika jasad Arafat yang hanya bergantung kepada ?Life support machine? dan sebenarnya telah mati secara klinikal, menantikan perisytiharan ?kematian?nya secara rasmi, Suha telah membuat beberapa pendedahan. Antara pendedahan yang paling bahaya ialah perihal berjuta-juta Dollar (malah ada yang mengatakan bilion) di dalam akaun rahsia Arafat di Eropah yang menjadi rebutan di antara beliau sebagai isteri Arafat yang sah dengan para pemimpin PA yang kononnya mendakwa duit itu adalah milik rakyat Palestin dan mesti diuruskan oleh mereka.

Akhirnya, seperti yang telah dilaporkan oleh Filistin Press (portal berita), selepas satu persepakatan di antara Suha dan pemimpin-pemimpin PA untuk membahagi-bahagikan harta tersebut barulah Suha bersetuju untuk mengisytiharkan ?kematian? Arafat. Kesengsaraan rakyat Palestin yang mendapat simpati dunia dan diterjemahkan kepada bantuan-bantuan kewangan telah di?sapu? oleh insan bernama Arafat. Bukan hanya dia seorang, malah konco-konconya di PA pun telah maklum di kalangan masyarakat dunia perihal.

Dahlan dengan hotel lima bintang dan akaun peribadinya yang diisikan dengan hasil cukai Gaza yang sepatutnya diagih-agihkan untuk pembangunan Gaza. Al-Tarifi, mantan menteri hubungan luar PA yang juga merupakan penghubung di antara PA dengan Israel juga tidak kurang hebatnya. Di kala masyarakat dunia mengutuk tembok pemisah di Tebing Barat melalui Majlis Umum PBB (UN General Assembley) dan juga Mahkamah Dunia (ICJ), al-Tarifi pula membekalkan rejim Zionis Israel dengan simen untuk pembinaan tembok tersebut.

Simen-simen yang dibawa masuk dari Mesir sepatutnya digunkan untuk membina perumahan rakyat Palestin yang telah dirobohkan oleh pihyak rejim telah di?samun? oleh beliau dan dijualkan kepada pihak rejim untuk membina tembok pemisah tersebut. Rakyat Palestin juga maklum tentang hubungan al-Tarifi dengan Arafat…

Dari segi penggadaian tanah dan kehormatan bumi Palestin pula, jasa atau pengkhianatan Arafat tiada tolok bandingannya. Selain daripada natijah perjanjian Oslo yang telah secara rasmi menggadaikan 77% daripada bumi Palestin secara tunai dan juga 23% yang lain (Gaza dan Tebing Barat) secara sewa beli, beliau juga telah mengiktiraf hak Israel ke atas kota Baitul Maqdis. Perkara yang serupa juga diaplikasikan kepada Masjid Ibrahimi (Hebron), di mana terdapat di situ makam Nabi Ibrahim A.S., selepas peristiwa penyembelihan jamaah solat subuh oleh pengganas Zionis Baruch Goldstein pada 25 Februari 1994. Selepas peristiwa tersebut, pihak rejim Zionis Israel telah berkuasa penuh ke atas masjid tersebut dengan izin Arafat!.

Lebih menyedihkan lagi, Natshe, Datuk Bandar Hebron yang berbangsa Yahudi sendiri telah meminta Arafat agar tidak bersetuju dengan perjanjian Taba, yang ditandatangani bersama PA-Israel yang telah menyerahkan kepada pihak rejim kuasa yang tiada sempadan ke atas bumi Hebron. Hasilnya, bukan hanya sekadar masjid Ibrahimi dikuasai penuh oleh rejim, malah 120,000 rakyat Palestin di wilayah tersebut bertambah sukar dan sentiasa terdedah kepada kurungan, sekatan jalan, siasatan, tangkapan dan juga pelbagai pencabulan hak asasi yang lain dari pihak rejim Zionis Israel. Mengapa tiada akhbar dan media yang ingin mendedahkan perkara ini semua???

Dosa-dosa tersebut mungkin sesuatu yang jelas dan nampak nyata, terutamanya selepas Oslo. Bagaimana pula dengan dosa-dosa beliau sebelum Oslo, adakah beliau seorang yang maksum dan ?wira? yang sebenarnya sebelum Oslo?, jawapannya ialah tidak!. Lihatlah kedegilannya yang telah membawa perselisihan pandangan di antaranya dengan mendiang Raja Husein di Jordan yang telah membawa kepada peristiwa Black September 1970 di Jordan.

Peristiwa hitam yang telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat Palestin dan juga rakyat Jordan, tidak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja oleh rakyat Palestin, kecuali oleh pengikut-pengikut Arafat yang taksub dan bebal. Dosa yang serupa juga beliau lakukan sewaktu beliau berada di Lubnan. Kebebalannya telah membuatkan perselisihan di antara rakyat Lubnan dengan para pejuang PLO, di antara rakyat Palestin dengan tentera Syria, di antara rakyat Palestin dengan puak Kristian Maronites, di antara rakyat Palestin sesama mereka, malah juga mengundang tentera rejim Zionis Israel menawan Lubnan, membunuh ribuan rakyat Palestin, tetapi beliau bersenang lenang sahaja dan kemudiannya meninggalkan bumi Lubnan. Peninggalan beliau telah membawa rahmat kepada pelarian Palestin di Lubnan, kerana selepas itu barulah konflik-konflik reda dan tidak tercetus lagi.

Dosa beliau di dalam mengekang kebangkitan rakyat Palestin di dalam Intifada 1987 juga bukan rahsia lagi. Perjanjian-perjanjian damai di antara beliau mewakili PA, rejim Zionis Israel dan juga AS adalah semata-mata bertujuan untuk mengekang kebangkitan tersebut. Mengapa?, kerana beliau takutkan kemunculan pemimpin-pemimpin baru yang akan menggantikan beliau secara de jure, sekaligus akan mencabar kedudukannya dan seterusnya mendedahkan skandal-skandal beliau.

Hasilnya, beliau dan kebanyakan pengikut-pengikutnya menerima habuan harta yang berlimpah ruah dengan menjadi agen dan juga balachi rejim Zionis Israel untuk membantai rakyat Palestin sendiri. Kebebalan seperti ini juga dapat dilihat sewaktu beliau menyokong Saddam Hussin secara terbuka lewat Perang Teluk yang pertama. Hasilnya, negara-negara yang memusuhi Iraq berhenti menghulurkan bantuan kepada para pelarian Palestin, samada di Gaza dan Tebing Barat, mahupun yang berada di luar, seperti di Lubnan dan Jordan.

Siri-siri kebebalan Arafat juga dapat dilihat apabila beliau mengecilkan perjuangan pembebasan Palestin kepada rakyat Palestin, malah PLO ataupun Fatah sahaja. Idea nasionalis ini dengan sendirinya telah menjayakan projek Zionis yang inginkan dunia melihat isu ini sebagai isu Palestin dan bukannya sebagai isu umat Islam dan juga umat Arab secara keseluruhannya. Banyak lagi pengkhianatan dan dosa-dosa Arafat jika mahu dipaparkan di sini dan di mana-mana sahaja, namun itu bukanlah sesuatu yang adil.

Cukuplah apa yang dipamerkan ini sekadar menmbuka mata para pembaca untuk mengenali siapa sebenarnya Arafat dan dosa-dosa beliau terhadap rakyat Palestin, perjuangan mereka dan juga terhadap bumi Palestin itu sendiri.

Semoga apa yang beliau lakukan di penghujung nyawanya dengan sokongan terhadap Intifada kedua pada tahun 2000, perjuangan beliau untuk memaksa rejim Zionis Israel tunduk kepada hak pelarian Palestin untuk pulang ke Palestin selaras dengan ketetapan 242 Majlis Umum PBB, memperjuangkan hak umat Islam ke atas Masjid al-Aqsa, keengganan beliau menanda tangani perjanjian Camp David dengan Barak dan Clintondan juga pembebasan para pejuang Palestin dari penjara-penjara PA di Gaza dan juga persetujuannya untuk bersama-sama dengan HAMAS dan juga fraksi-fraksi lain untuk bersatu menghadapi ?musuh? mereka yang satu iaitu rejim Zionis dapat menjadi ?kafarah? terhadap dosa-dosanya yang lalu. Semoga istiqamahnya di dalam ketegasannya untuk terus hidup dalam tahanan dalam rumah selama 3 tahun dan juga wasiatnya agar separuh daripada hartanya kepada rakyat Palestin akan dapat menjadi bekalannya untuk bertemu dengan Tuhan di padang Mahsyar nanti…al-Fatehah.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.