Israel perhebat operasi roboh kediaman

BANDAR GAZA 17 Mei – Israel meneruskan serangan ke atas kedudukan-kedudukan Palestin di Genting Gaza pada awal hari ini dengan memperhebatkan operasi merobohkan kediaman Palestin di kawasan berkenaan.


Sekurang-kurangnya dua helikopter penggempur Israel melancarkan lima peluru berpandu ke arah sebuah bangunan di Bandar Gaza dengan menyebabkan pejabat pergerakan Fatah pimpinan Yasser Arafat musnah sama sekali, kata saksi-saksi.

Serangan itu juga memusnahkan pejabat Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin, yang terletak di bangunan sama di kawasan penempatan Zeitoun, Bandar Gaza.

Kedua-dua pejabat berkenaan terletak di tingkat sama bangunan setinggi tiga tingkat itu.

Bahagian di tingkat bawah bangunan berkenaan pula mengalami kemusnahan yang teruk akibat serangan itu.

Laporan awal menyebut seorang cedera ringan dalam serangan tersebut.

Mahkamah Agung Israel semalam menolak rayuan penduduk Palestin yang membantah rancangan tentera untuk memusnahkan beratus-ratus lagi rumah di bandar Rafah, Genting Gaza.

Hakim memberi alasan bahawa tindakan tentera Yahudi itu wajar kerana sebab operasi dan bukannya tindakan hukuman secara besar-besaran.

Penduduk-penduduk Rafah berusaha supaya kempen meroboh rumah itu dibekukan.

Menurut Agensi Pekerjaan dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), kempen berkenaan menyebabkan lebih 1,000 orang hilang tempat tinggal sejak lewat minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, radio Israel melaporkan, askar-askar Israel membunuh empat rakyat Palestin semasa mereka cuba melintasi sempadan dari Genting Gaza malam tadi.

Sumber : Utusan Malaysia, Reuters

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.
One Comment

Comments are closed.