Isu Putera Mahkota Jordan: Isu baru yang lama

Oleh Maszlee Malek(kolumnis Palestinkini)
Jordan bukanlah sebuah negara pengeluar minyak yang penting di timur tengah seperti negara-negara teluk yang lain. Ianya juga bukanlah sebuah negara yang kuat dari segi ketenteraan di kawasan tersebut seperti Mesir, Iraq (dahulunya), malah Syria.

Ianya hanyalah negara yang kecil, yang masih baru berbanding dengan negara-negara Arab yang lain. Kecilnya saiz geografi Jordan walau bagaimanapun tidak menghalangnya untuk menjadi antara pemain penting di dalam pergolakan politik di timur tengah. Semenjak awal penubuhannya lagi Jordan tidak boleh dipisahkan dari konflik Israel-Palestin. Sehingga kini, samada secara langsung, ataupun tidak langsung, negara yang menempatkan lebih sejuta pelarian Palestin secara rasmi ini mempunyai peranannya sendiri di dalam percaturan masa depan konflik berkenaan.

Pada hari Ahad, 28 November 2004, seluruh rakyat Jordan, malah seluruh rakyat Arab di timur tengah dikejutkan dengan satu keputusan yang memeranjatkan dunia. Raja Abdullah, raja Jordan sekarang, telah mengikuti jejak langkah bapanya, Raja Hussein 1, memecat saudara sebapanya (anak kepada permaisuri Noor), Putera Hamzah daripada kedudukannya sebagai Putera Mahkota (Wali ?Ahd). Antara alasan yang dikemukan oleh Abdullah di dalam surat perlucutan jawatan kepada adiknya itu (dan disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen TV di Jordan) ialah untuk memberikan kebebasan yang lebih kepada adiknya. Tambah beliau, Hamzah memerlukan ruang kebebasan yang banyak untuk bergerak dan menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan kepadanya demi kebaikan negara Jordan. Hamzah yang hanya diamanahkan untuk menjaga institut pengkajian Al al-Bayt semenjak menjadi Putera Mahkota Jordan pada 5 tahun yang lalu (Mei,1999) kini berusia 24 tahun dan sedang menghabiskan pengajiannya di Britain. Beliau (Hamzah) semenjak menjadi Putera Mahkota tidak pernah pula diberikan apa-apa peranan di dalam kerajaan, dan tidak langsung terlibat dengan apa-apa aktiviti yang berkait dengan politik negara Jordan.

Walau bagaimanapun tindakan Abdullah bukanlah sesuatu yang baru dan pelik di dalam lipatan sejarah politik Jordan. Bapanya, Raja Hussein I, telah menaiki takhta sewaktu hanya berusia 18 tahun pada tahun 1952 menggantikan bapanya Talal Bin Abdullah. Antara alasan bapanya Talal, dilucutkan dari jawatan beliau sebagai raja Jordan ialah ketidak warasan akal beliau, walaupun telah menjadi raja menggantikan bapanya, Syarif Abdullah selama lebih daripada setahun setengah. Perlembagaan Jordan (Dustur) yang mengatakan seseorang yang layak menjawat jawatan raja hendaklah melepasi umur matang (rusyd), iaitu 18 tahun telah dipinda semula demi membolehkan Hussein menjadi raja ?remaja? bagi negara tersebut. Semenjak tarikh itu juga perlembagaan Jordan menjadi begitu elastik dan juga fleksibel, boleh diubah suai mengikut permintaan.

Pada tahun 1999, sekali lagi Hussein membuat kejutan. Ketika sedang menjalani rawatan rapi di Mayo Clinic, AS, beliau bergegas balik ke Jordan dengan memandu sendiri pesawat peribadi miliknya. Kepulangan beliau beberapa hari sebelum kematiannya itu semata-mata adalah untuk memecat adiknya Putera Hassan bin Talal dari jawatan Putera Mahkota dan melantik anaknya Abdullah bin Hussein sebagai Putera Mahkota yang baru. Abdullah yang amat kurang dikenali oleh rakyat Jordan itu merupakan anak sulung beliau yang beribukan seorang wanita kulit putih warga negara British. Abdullah yang telah menghabiskan sebilangan besar dari hayatnya di luar Jordan, terpaksa pulang ke Jordan untuk membuat persiapan menggantikan ayahnya yang sedang menghitung hari meninggalkan dunia sementara ini. Bagi Hassan yang telah menunggu semenjak berpuluh-puluh tahun untuk menggantikan abangnya terpaksa redha dan akur dengan keputusan yang telah dibuat. Persoalannya, mengapakah perubahan yang drastik itu dilakukan dalam keadaan yang begitu diselubungi misteri. Tiada siapa yang dapat mengagak tindakan Hussein itu. Yang pastinya tindakan dan polisi Abdullah terhadap Israel (baca: rejim Zionis Israel) selepas beberapa tahun menduduki takhta Jordan bagaikan jawapan yang paling tepat kepada persoalan yang berlegar-legar di benak pengamat politik timur tengah.

Jika dilihat daripada sudut perlembagaan, apa yang dilakukan oleh Abdullah adalah selari dengan perlembagaan. Artikel 28 (selepas perubahan pada tahun 1964) di dalam perlembagaan Jordan ada menyebutkan hak raja untuk melantik anaknya yang paling sulung ataupun mana-mana adik lelakinya sebagai Putera Mahkota di negara tersebut. Persoalannya anaknya, Hussein II baru berumur kurang dari 10 tahun, dan tidak layak untuk menjadi Putera Mahkota. Ini kerana jawatan Putera Mahkota menjadikan seseorang itu memangku tugas-tugas raja ketika ketiadaan beliau di dalam negara. Adakah beliau ingin melantik saudara kandungnya, Putera Faisal yang sekarang ini menjadi orang nombor dua di dalam hieraki angkatan tentera Jordan ?, ataupun ianya akan diberikan kepada saudara sebapanya (dari Permaisuri Alia) yang lain yang juga menjadi pilihan kebanyak rakyat Jordan iaitu Putera Ali , yang kini menjadi Pengarah kepada kumpulan pengawal di Raja ?

Yang pasti apa yang dilakukan oleh Abdullah bukanlah sesuatu yang baru, dia hanya mengulangi langkah-langkah yang diwariskan daripada bapanya dan yang pasti juga apa sahaja yang akan berlaku di masa akan datang adalah berkait rapat dengan polisi Jordan terhadap konflik Palestin-Israel.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.
One Comment

Comments are closed.