Hamas dan Jihad Islamiyy boikot pilihanraya presiden PA


Gaza, Jumaat, 3/12/2004 ? HAMAS melalui juru cakap mereka, Mahmoud Zahhar (gambar) telah menegaskan sekali pendirian mereka untuk tidak turut serta mengambil bahagian di dalam pilihan raya pemilihan presiden PA pada Januari tahun hadapan.

Zahhar yang ditemui selepas menghadiri pertemuan dengan para perwakilan PA untuk membincangkan persoalan memberhentikan serangan ke atas rejim Zionis menjelang pemilihan presiden itu telah menyatakan kesediaan HAMAS untuk komited dengan cdangan tersebut. Beliau telah hadir bersama Said Siyyam, salah seorang pemimpin HAMAS yang lain mewakili gerakan tersebut, manakala PA pula diwakili oleh Abu Mazen (Mahmoud Abbas), Zakaria Agha dan Sameer Masyharawi, kesemuanya dari gerakan Fatah.

Jurucakap HAMAS, Mahmoud Zahhar (kanan)

Beliau juga menegaskan pertemuan tersebut bukanlah tanda sokongan mereka kepada Abbas, tetapi lebih kepada rundingan untuk membincangkan keadaan rakyat Palestin sepanjang tempoh menjelang pilihanraya. Beliau menegaskan akan tetap memboikot pilihanraya tersebut kerana ianya masih di bawah bayangan Oslo 1993 yang ditentang oleh HAMAS semenjak awal lagi. Pendirian HAMAS ini turut disokong oleh gerakan Jihad Islamiyy yang juga menentang Oslo 1993.

Sehingga kini 10 orang calon yang akan bertanding merebut jawatan tersebut. Dua dari Fatah (Mahmoud Abbas dan Marwan Barghouti), seorang dari Parti Demokratik dan tujuh lagi merupakan calon bebas. Barghouti yang menimbulkan kontreversi di kalangan ahli Fatah tetap dengan pendiriannya untuk bertanding merebut jawatan tersebut walaupun dipujuk oleh ramai pemimpin Fatah yang lain untuk menarik diri. Pihak rejim juga menegaskan bahawa pencalonannya untuk bertanding jawatan tersebut bukanlah alasan untuk dia dibebaskan dari penjara.

Di antara 10 calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding, seorang calon pro-Islam dan juga pro-HAMAS telah menarik perhatian banyak pihak. Abdul Halim al-Asyqar, aktivis Islam yang hidup di dalam buangan di Amerika Syarikat telah mencalonkan dirinya untuk merebut jawatan tersebut dan berpandangan positif akan memenangi pilihanraya itu. Beliau berjanji akan memecahkan monopoli satu pihak sahaja (Fatah) di dalam struktur pemerintahan PA, memperjuangkan nasib rakyat Palestion, membatalkan Oslo dan juga memerangi rasuah yang berleluasa di kalangan pemimpin PA di bawah Arafat. Beliau juga yakin rakyat Palestin akan memberikan sokongan kepadanya kerana menurutnya mereka inginkan nafas baru di dalam pemerintahan PA dan juga mereka inginkan pemimpin yang mempunyai aspirasi penentangan. Beliau kini sedang menantikan keputusan mahkamah ke atasnya di atas pertuduhan ?bersekongkol dengan HAMAS untuk menggugat keselamatan rejim Zionis?.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.