Wawancara : Palestin selepas Arafat

Dr Azzam Tamimi , pengarah Institute of Islamic Political Thought (IIPT) di UK dan juga merupakan aktivis isu Palestin di eringkat antarabangsa telah datang ke Malaysia baru-baru ini di atas jemputan Citizen International dan juga Malaysian Sociological Research Institue (MSRI). Dalam kesempatan tersebut, beliau telah diwawancara oleh aktivis isu Palestin dan juga kolumnis laman web palestinkini.info, Maszlee Malik berkaitan perkembangan terkini isu Palestin. Berikut adalah butiran wawancara tersebut:


Maszlee Malik (MM): Selamat datang ke Malaysia Dr Azzam, dan saya yakin ini bukanlah kali pertama anda ke sini.

Dr Azzam Tamimi (AT): Terima Kasih, alhamdulillah Malaysia bukanlah negara yang asing bagi saya. Ini merupakan lawatan kesembilan saya ke bumi yang indah ini.

MM: Apakah pandangan anda tentang keadaan di Palestin selepas kematian Arafat?, memandangkan perjuangan isu Palestin selama ini lebih dibayangi dan diwarnai dengan keperibadian Arafat. Adakah dengan kematiannya, satu perubahan besar yang akan berlaku?

AT: Di antara kesilapan masyarakat dunia, dan juga kesilapan Arafat ialah apabila isu Palestin yang sepatutnya menjadi isu kemanusiaan yang global bertukar menjadi isu individu Arafat. Kita tidak nafikan jasa beliau di dalam Fatah, kemudiannya PLO dan terakhirnya di PA (Palestine Authority). Kerana itulah beliau menjadi Mr Palestine di kaca mata dunia. Malah beliaulah yang mengatakan bahawa isterinya adalah isu Palestin sebelum pernikahannya dengan Suha Tawil. Kita tidak menafikan itu semua, tetapi untuk mengecilkan perjuangan rakyat Palestin kepada jasad tubuh Muhammad Rauf Kudwah (Yasser Arafat) sahaja adalah keterlaluan.

Perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan rakyat dari pelbagai fraksi perjuangan. Gerakan Fatah, Berisan Demokratik, HAMAS, Jihad Islamiyy dan lain-lain lagi. Persoalannya mengapa hanya Arafat sahaja dikenali?, jawapannya amat mudah, kerana beliau mempunyai gaya diktator di dalam perjuangan. Sehinggakan selepas kematiannya belum nampak bayangan lagi siapakah yang akan menggantikannya secara de facto tanpa pemilihan di kalangan anggota Fatah. Di pihak media pula, beliau menjadi amat dikenali kerana kesudian beliau untuk berdamai dengan rejim Zionis Israel melalui Oslo 1993 dan yang telah menyebabkannya dianugerahkan hadiah nobel keamanan. Hanya selepas perundingan Camp David 2000 sahaja dia dicop sebagai pengganas kerana enggan berkompromi dengan Israel dalam isu hak rakyat Palestin untuk pulang dan juga isu Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.

Realiti juga menunjukkan bahawa bentuk perjuangan Palestin pasca Intifadah 2000 lebih dicorakkan oleh fraksi penentangan dan bukannya oleh PA mahupun Arafat. Maka kematian Arafat ataupun kewujudannya selepas Intifadah 2000 tidak memberikan kesan yang besar terhadap perjuangan rakyat Palestin.

MM: Adakah anda mengatakan Arafat tidak mempunyai apa-apa saham di dalam kebangkitan Intifadah 2000?

AT: Arafat mempunyai peranannya yang tersendiri selepas terletusnya Intifadah 2000. Keengganannya untuk menangkap para pejuang HAMAS dan jihad Islamiyy yang merupakan pemain utama di dalam Intifadah 2000 merupakan satu jasa beliau yang patut dikenang. Kedegilannya di dalam mempertahankan dua isu yang telah disebutkan sebelum ini juga merupakan jasa beliau yang perlu dihargai. Kedegilan itulah yang telah membuatkan beliau dikurung di dalam kediamannya di Ramallah sehinggalah beliau dibawa ke Paris untuk menjalani rawatan pada bulan November. Walau bagaimanapun semua ini tidak menunjukkan kematian beliau akan merubah bentuk perjuangan rakyat Palestin. Ini kerana pendirian yang diambil oleh beliau adalah kerana arus dan ?public opinion? rakyat Palestin yang begitu ketara pada waktu tersebut dan sehingga kini.

MM: Apakah pula peranan Fatah lewat Intifadah 2000?

AT: Gerakan Fatah yang diketuai oleh Yaser Arafat sendiri telah mengubah cara pendekatan mereka. Jika selepas Oslo, Fatah yang menjadi tunjang PLO lebih bersikap lunak dan bermesra dengan rejim Zionis, tetapi selepas terletusnya Intifadah 2000 mereka telah menjadi lebih agresif, terutamanya sayap pemuda mereka. Briged al-Aqsa merupakan sayap ketenteraan Fatah, Suqur al-Fatah merupakan sayap yang lain pula. Secara kasarnya, Intifadah 2000 telah berjaya memugarkan semula semangat perlawanan di dalam gerakan Fatah yang dulunya menjadi lambang mereka. Yang lebih penting, jika selepas Oslo 1993 Fatah menjadi musuh kepada HAMAS dan Jihad Islamiyy dan juga menjadi agen rejim Zionis untuk memenjarakan para pejuang Palestin, namun selepas Intifadah 2000 mereka kembali menjadi rakan seperjuangan pula.

MM: Anda mengatakan, selepas Oslo, Fatah telah menjadi agen Israel untuk memenjarakan para pejuang Palestin dari HAMAS dan Jihad Islamiyy, mengapa?

AT: Ini merupakan sebahagian daripada ?Part and Parcle? daripada perjanjian Oslo itu sendiri. Rejim Zionis telah memberikan kuasa terhad kepada PA yang dianggotai kebanyakkannya oleh ahlli gerakan Fatah, iaitu untuk menjaga keselamtan dalaman (pasukan polis keselamatan) di Gaza dan Tebing Barat. Sebab itu di Gaza sahaja, Muhammad Dahlan, ketua bahagian keselamatan di Gaza telah membina lebih 35 buah penjara untuk memenjarakan para pejuang Palestin. Oslo benar-benar telah menguntungkan pihak Zionis. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah memburu para pejuang Palestin kerana PA telah melakukannya untuk mereka.

MM: Agak hairan, mengapa tiada peperangan saudara di antara kumpulan PA atau gerakan Fatah dengan HAMAS, jika perkara yang sedemikian berlaku?

AT: Ini merupakan langkah kebijakan HAMAS. Mereka telah berikrar tidak akan menumpahkan darah rakyat Palestin dan tidak akan mengangkat senjata ke atas saudara senegara mereka kecuali mereka-mereka yang menjadi agen Mossad. Jika PA menyerang, menangkap ataupun menzalimi mereka, kebiasaannya mereka akan membalas serangan tersebut ke atas tentera Israel dan bukannya kepada PA mahupun Fatah. Di atas dasar inilah selepas Intifadah 2000 ramai di kalangan anggota Fatah yang mula bersimpati kepada HAMAS dan merubah cara perjuangan mereka untuk bersama HAMAS.

MM: Mengapa HAMAS menolak Oslo?

AT: Kerana Oslo merupakan satu penipuan. Golongan Zionislah yang mendapat keuntungan yang tidak terhingga daripada Oslo 1993. Yang pertamanya, mereka (Zionis) telah dilucutkan dari label pertubuhan keganasan dan perkauman sebaris dengan pendokong dasar Apartheid di Afrika Selatan daripada PBB setelah menyandangnya semenjak berpuluh-puluh tahun. Yang keduanya, Israel telah diiktiraf menjadi sebuah negara yang berdaulat oleh rakyat Palestin sendiri melalui PA di kaca mata antarabangsa. Ketiganya, PA yang diberikan kuasa autonomi itu hanya mempunyai keuasaan yang terhad dan tidak bernilai. Mereka hanya dibenarkan untuk mengadakan pilihanraya untuk memilih wakil mereka untuk berunding dengan Israel, mereka diberikan pasukan keselamatan yang bertugas untuk menangkap saudara mara mereka yang berjuang menentang rejim Zionis, mereka diberikan stesen TV penyiaran yang ditugaskan untuk menyebar luaskan propaganda pro perdamaian di antara rejim tersebut dengan PA dan bermacam-macam lagi. Keempatnya, PA tidak berkuasa untuk menentang rejim Zionis yang telah dianggap sebagai sebuah negara yang berdaulat. Mereka juga tidak dibenarkan masuk campur di atas urusan sempadan Gaza dan Tebing Barat, dan ini merupakan sebodoh-bodoh syarat yang diterima oleh Arafat. Mereka (PA) juga tiada kuasa ke atas penempatan Yahudi di Gaza dan Tebing Barat, mereka bebas untuk membina penempatan mereka di mana-mana kawasan yang mereka suka di kedua-dua tempat tersebut. Yang menyedihkan lagi Oslo telah mendorong beberapa pemimpin Arab yang tidak berguna sesen pun untuk berdamai, mengiktiraf Israel malah sehingga ada yang mengadakan hubungan dagang dengan Israel. Jelasnya, Oslo merupakan satu pengkhianatan ke atas rakyat Palestin!

MM: Tidakkah anda merasakan Oslo merupakan satu perubahan strategi. Jika selama ini, semenjak 1948 lagi umat Arab menggunakan wasilah konfrontasi bersenjata, dan ternyata tidak ke mana-mana. Mengapa tidak kita memberikan peluang kepada rundingan damai, diplomasi dan juga melalui wadah politik?

AT: Mereka yang mengatakan kita hendaklah melakukan perdamaian dengan rejim Zionis yang telah merampas tanah umat Islam, membunuh wanita, orang tua dan kanak-kanak mereka, memusnahkan masjid-masjid mereka dan juga mencabuli maruah umat adalah seperti dia mengatakan kepada seorang wanita yang sedang dirogol agar tidak melawan, tetapi hendaklah dia mencium mulut perogolnya itu!

Kegagalan umat Arab, malah rakyat Palestin melalui PLO untuk menanggani isu ini bukan kerana wasilah yang mereka gunakan, tetapi kerana sikap mereka sendiri. Semenjak bilakah Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa menjadi milik orang Arab sahaja!, semenjak bilakah ianya menjadi milik rakyat Palestin sahaja?, semenjak bilakah ia menjadi milik PLO sahaja? Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa adalah milik kaum muslimin. Ia milik setiap individu muslim walau di mana sahaja mereka berada. Samada mereka di Mesir, Jordan, Malaysia, UK, Afrika, Indonesia, malah di China, ianya tetap menjadi milik mereka dan mereka akan dipersoalkan di hari kiamat tentang apakah yang telah mereka lakukan untuk menyelamatkan bumi Palestin, Masjid al-Aqsa dan juga Baitul Maqdis.

Kewajipan untuk membebaskannya ada di bahu setiap umat Islam, tetapi bilaman umat Islam membiarkannya hanya menjadi isu umat Arab, kemudiannya orang Palestin dan akhirnya PLO dan Yasser Arafat, maka timbullah persoalan kononnya uslub penentangan tidak relevan, dan kita perlu berdamai dan pelbagai cadangan yang memualkan dan jauh daripada realiti sebenar isu tersebut. Islam mewajibkan setiap umat Islam untuk berjihad membebaskan tanah air mereka dari penjajahan, walaupun ianya hanya kadar sejengkal. Apatah lagi ianya adalah bumi suci dan juga bumi Isra dan Mikraj mereka!

MM: Apakah pandangan anda mengenai pilihanraya yang bakal menjelang?

AT: Ianya tidak penting.

MM: Bukankah ianya merupakan jalan untuk memilih pemimpin baru bagi rakyat Palestin menggantikan mendiang presiden mereka, Yasser Arafat?

AT: Pemimpin sebenar rakyat Palestin adalah HAMAS dan bukannya Arafat atau Fatah atau PLO mahupun PA.

MM: Apakah asas anda mengatakan demikian?

AT: Jika anda ke Gaza dan Tebing Barat anda akan mengetahuinya.

MM: Bagaimana?

AT: Lihat sahaja kepada simpati rakyat kepada HAMAS, terutamanya selepas Intifadah 2000. Hatta gerakan Fatah pun sudah mula mencontohi HAMAS melalui briged al-Aqsa mereka dan juga briged al-Suqur. Bukan sekadar itu, malah mereka juga sering bersama-sama dengan HAMAS untuk melakukan operasi-operasi ketenteraan melawan tentera-tentera Zionis. Lihat juga kepada sokongan rakyat kepada HAMAS yang telah banyak membantu rakyat Palestin melalui usaha-usaha kebajikan mereka. Sebab itulah di Universiti-universiti, pelajar-pelajar pro HAMAS kebiasaannya yang akan menyapu bersih kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihanraya-pilihanraya kampus. Kesilapan besar media antarabangsa adalah apabila mereka menggambarkan HAMAS hanyalah sebuah gerakan yang agresif dan militan. Hakikatnya gerakan militan HAMAS hanya dilakukan oleh sayap ketenteraan mereka sahaja, iaitu Briged al-Qassam. HAMAS pada realitinya adalah sebuah badan politik, badan kemanusiaan, badan kebajikan, pertubuhan sukan, badan belia dan 1001 gaya bentuk amal yang dilakukan. Oleh kerana itulah kita dapati pengaruh HAMAS lebih kuat dari pengaruh fraksi-fraksi lain di Gaza dan Tebing Barat.

MM:Jika yang demikian, mengapa HAMAS tidak bertanding pilihanraya untuk pemilihan presiden. Bukankah HAMAS akan menang mudah dan berpeluang untuk menerajui kuasa autonomi rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat?

AT: Yang pertamanya, HAMAS memboikot pilihanraya bukan kerana HAMAS mengatakan pilihanraya adalah satu perbuatan yang haram seperti sesetengah golongan mengatakannya. HAMAS menolak untuk bertanding dalam pilihanraya presiden kerana ianya dijalankan di bawah naungan Oslo. Presiden yang dipilih adalah untuk mereka meneruskan usaha perdamaian Oslo dan hanya menjadi pak turut dan Pak sanggup kepada rejim Zionis. Lagi pula HAMAS bukannya ingin berkuasa di Gaza dan Tebing Barat dengan kuasa autonomi yang terhad, HAMAS inginkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan juga memastikan tiada lagi penjajah di bumi Palestin.

MM: Pada pandangan anda siapakah yang akan memenangi pilihanraya pada 9 Januari itu nanti?

AT: Mereka yang bersetuju untuk mengatakan ya kepada Israel dan juga ya kepada rakyat Palestin.


MM: Maksudnya?

AT: Mereka yang boleh menjadi munafik. Iaitu mereka yang boleh menerima arahan Israel dan bersetuju dengan apa sahaja kehendak mereka. Calon seperti ini amat-amat diharapkan oleh rejim Zionis dan juga Amerika Syarikat. Tidak mustahil calon yang mempunyai karakter seperti ini akan dibantu dari segi kewangan oleh Zionis dan juga AS. Walau bagaimanapun beliau juga mestilah pandai bermanis mulut dengan rakyat Palestin agar mereka mempercayainya, dan merasakan apa sahaja tidakannya adalah untuk kemaslahatan mereka dan Palestin.

MM: Siapakah di antara mereka yang bertanding yang akan menjadi presiden?

AT: Sesiapa yang menang nanti.

MM: Bagaimana dengan Mahmud Abbas?

AT: Dia seorang yang korupsi, bercita-cita tinggi dan juga sememangnya mengimpikan kerusi presiden PA. Kegelojohannya untuk mendapatkan jawatan tersebut dapat dilihat daripada lobinya ke seluruh negara-negara Arab dan juga kepada Israel dan AS. Belumpun dia menjawat jawatan tersebut, awal-awal lagi beliau telah mengisytiharkan gencatan senjata yang tidak dipersetujui oleh semua hatta oleh gerakan Fatah sendiri. Jelasnya, dia dikenali oleh dunia sebagai pro-perdamaian dengan Israel menurut syarat-syarat Israel dan juga anti Intifadah. Tidak mustahil beliau akan menang melalui sokongan pihak-pihak tertentu yang inginkan supaya penentangan rakyat Palestin dihentikan segera. Walau bagaimanapun operasi bersama HAMAS dan Fatah pada 12 Disember 2004 merupakan satu signal kepada Mahmud Abbas bahawa rakyat tidak bersamanya.

MM:Apakah dia akan menang pilihanraya dan seterusnya menjadi presiden?

AT:Tidak mustahil, kecuali jika Marwan al-Barghuti bertanding, sayangnya beliau telahpun menggugurkan pencalonannya.

MM: Apakah pandangan anda tentang Marwan al-Barghuti?

AT: Dia merupakan suara baru Fatah. Dia membawa aspirasi baru di dalam Fatah. Bukan rahsia lagi keterlibatannya lewat Intifadah 2000 yang telah membawa kepada hukuman penjara seumur hidup 5 kali ke atasnya oleh mahkamah tentera rejim Zionis.

MM: Bagaimana pula dengan Mustafa al-Barghuti yang telah disebut oleh mendiang Edward Said sebagai calon yang paling layak untuk memimpin rakyat Palestin?

AT: Dia tiada pengaruh di kalangan rakyat Palestin seperti mana-mana pemimpin Fatah. Dia juga tidaklah sehebat yang digambarkan oleh Edward Said, malah terkenal sebagai seorang yang korup juga di kalangan rakyat Palestin.

Ikuti wawancara seterusnya bersama Azzam Tamimi berkaitan isu-isu kontemporari berkait konflik Palestin ? Zionis di siri-siri seterusnya.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.