Internasionalisasi agenda kerajaan Palestin halang capai persetujuan putus.

Isnin,  06/04/2009 – Ali Barakat, timbalan wakil HAMAS di Syria menegaskan apa yang dinamakan sebagai tindakan menginternasionalisasi beberapa agenda politik dalam kerajaan Palestin akan datang merupakan halangan utama untuk mencapai persepakatan nasional dalam rundingan di Kaherah. Walau bagaimanapun, beliau juga menjelaskan HAMAS dan Fatah telah mencapai persetujuan untuk memulakan semula dialog nasional pada 26 April ini di ibunegara Mesir, Kaherah.

Beliau berkata dalam satu kenyataan khas kepada Pusat Media Palestin pada Ahad (5/4), “isu internasionalisasi dan yang seumpamanya, antaranya tekanan Fatah agar kerajaan Palestin yang akan ditubuhkan memberikan komitmen kepada syarat-syarat jawatankuasa kuartet, merupakan halangan utama yang membantutkan perdamaian dan persepakatan putus dicapai.”

Beliau juga menegaskan keperluan untuk mencari jalan keluar dari sudut politik terhadap semua isu yang tergantung, terutamanya agenda kerajaan kesatuan nasional yang akan ditubuhkan. Beliau berkata, “mesti ada jalan keluar yang disepakati sekitar isu agenda kerajaan dan pembentukan terma rujukan tertinggi bagi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), begitu juga bagi rakyat Palestin. Persetujuan juga hendaklah dicapai tentang mekanisme pembentukan semula pasukan keamanan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza berdasarkan profesionalisme dan semangat nasionalisme. Begitu juga, persetujuan hendaklah dicapai berkenaan dengan undang-undang dan peraturan pilihanraya Dewan Perundangan Palestin.”

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir