HAMAS nafi beri cadangan baru damai dengan Zionis.

Khamis,  23/04/2009 – Anggota Biro Politik HAMAS, Muhamamd Nasr menafikan wujud cadangan baru mengenai perjanjian perdamaian yang telah dicapai di Kaherah baru-baru ini dengan pihak Zionis. Beliau juga menegaskan HAMAS tetap berpegang teguh dengan syarat-syaratnya yang telah dipersetujui sebelum ini dengan perantaraan Mesir.

Nasr menjelaskan dalam kenyataan kepada Agensi Quds Press pada hari Rabu (22/4) bahawa perbincangan mengenai perdamaian telah terhenti semenjak beberapa ketika. Beliau berkata: “Tiada siapa yang membentangkan idea baru kepada kami berkenaan dengan perdamaian. Dahulunya kita telah mempunyai persetujuan bertulis yang kita capai di Kaherah dengan perantaraan Mesir, tetapi pihak ‘Israel’ menarik balik persetujuan dan meletakkan syarat-syarat baru. Semenjak itu, perbincangan terhenti. Bagi kami, pendirian kami mengenai perdamaian dan komitmen terhadapnya tidak pernah berubah.”

Saluran 10 televisyen Zionis telah menyiarkan semalam (Rabu) tentang kewujudan beberapa siri komunikasi di antara Zionis dan Mesir bagi mencapai persetujuan baru dengan fraksi Palestin, untuk mewujudkan suasana tenang sepanjang sempadan dengan Semenanjung Gaza.

Saluran tersebut memetik daripada seorang pegawai atasan Kementerian Perang Zionis bahawa pihak kementerian terutamanya menteri Ehud Barak, berkeras untuk tidak mengiktiraf perjanjian perdamaian tersebut bahkan menganggapnya hanya sebagai perjanjian bagi menyusun sistem lalu lintas sahaja.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir