Dialog Nasional Palestin ditangguh ke pertengahan bulan depan.

Rabu,  29/04/2009 – Beberapa sumber memaklumkan bahawa dialog nasional Palestin yang berlangsung di Kaherah dan telah berakhir semalam (Selasa) ditangguhkan ke pusingan kelima yang akan diadakan pada pertengahan bulan hadapan.

Sumber tersebut berkata dalam kenyataan khas kepada Pusat Media Palestin pada petang Selasa (28/4): “Pada pusingan keempat ini, beberapa isu telah dibincangkan. Antaranya pilihanraya, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), pasukan keselamatan dan lain-lain. Manakala perbincangan mengenai isu kerajaan Palestin akan datang serta agenda politiknya ditangguhkan kepada pusingan seterusnya, kerana dialog tersebut mengambil pendekatan membincangkan isu yang lebih mudah dahulu kemudian diikuti dengan isu yang lebih sukar dan sulit.”

Sumber tersebut juga menjelaskan bahawa semasa perbincangan tertutup itu berlangsung di antara kedua-dua pihak Palestin dan disertai oleh menteri Mesir Umar Sulaiman, satu terma rujukan sementara nasional bagi PLO turut dibentuk. Ia adalah sebuah jawatankuasa yang terbentuk daripada seluruh fraksi Palestin, beberapa individu bebas dan jawatankuasa eksekutif PLO. Ia bertugas mengawal selia pembinaan semula PLO dan menjadi rujukan nasional PLO sehingga pilihanraya Dewan Perundangan yang baru dan dalam masa yang sama, autoriti jawatankuasa eksekutif sekarang masih berterusan.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir