Tahun Ayam dan masa depan Palestin


Oleh Maszlee Malek

Apakah kaitan tahun ayam dengan masa depan Palestin ? Adakah artikel saudara Maszlee Malek kali ini terpengaruh dengan lakonan P_Ramlee dalam “Nujum Pak Belalang” ? Sama2 kita lihat …

Menurut perkiraan kalendar lunar kaum Cina, tahun ini jatuh pada tahun ayam. Menurut kepercayaan dan tilikan Xi Fu-Xi Fu Feng Shui, tahun ayam tidak menjanjikan ?ong? dan Feng Shui yang baik. Bagi umat Islam, kepercayaan seumpama ini merupakah khurafat dan juga sesuatu yang syirik. Umat Islam dilarang daripada mempercayai tilik nasib dan juga petanda-petanda buruk. Ini bertentangan dengan aqidah ?Tauhid Rububiyyah? mereka yang meyakini hanya Allah sahaja yang tahu buruk baik dan qada qadar. Umat Islam juga dilarang daripada mempercayai keburukan yang disandarkan kepada hari-hari, tahun-tahun ataupun tarikh-tarikh tertentu.

Artikel ini bukan hendak membicarakan persoalan tahun ayam dan juga pendirian Islam mengenainya, tetapi kita ingin meminjam tilikan Xi Fu-Xi Fu tersebut tentang apa yang berlaku di Palestin. Sepatutnya Lilian Too ataupun Xi Fu-Xi Fu yang lain dihantarkan ke Sharm al-Syeikh, Mesir sebelum 8 Februari yang lalu (2005). Sepatutnya mereka dihantar untuk bertemu dengan presiden Palestinian Authority (PA) yang baru, Mahmoud Abbas untuk menasihatinya tentang masa depan ?perjanjian damai? yang telah ditandatangani antara beliau dengan Perdana Menteri rejim Zionis, ?The Sabra and Shatilla butcher? Ariel Sharon. Mereka juga sepatutnya dihantar untuk menasihati Presiden Hosni Mubarak yang menjadi hos kepada perjanjian itu, dan juga Raja Abdullah dari Jordan yang menjadi penggiat utama inisiatif ?perdamaian? tersebut. Sepatutnya mereka semua mendengar ramalan dan tilikan pakar-pakar Feng Shui ini tentang petanda buruk dan tiada ?Ong?nya berdamai dengan rejim Zionis Israel di waktu ini.

Amat pelik, di kala rejim tersebut berada di dalam keadaan yang paling parah dari segi dalaman, Mahmoud Abbas segera tunduk kepada permintaan rejim dengan keadaan menyerah diri. Pada mulanya, mungkin kita tertanya-tanyakan, apakah yang mendorong beliau untuk begitu bernafsu menyahut titah Sharon dan juga AS untuk disegerakan ?truce? tersebut. Akhirnya bila diumumkan bantuan segera dari AS berjumlah lebih USD 350 juta, barulah teka-teki tersebut terjawab. Lagi pula penobatan Abbas di takhta kepresidenan itu juga merupakan inisiatif berterusan AS dan Zionis semenjak kematian Arafat, yang telah terbukti seorang ejen yang tidak berguna di akhir-akhir hayatnya.

Tindakan Abbas situ bukan sahaja bersikap tidak demokratik , malah bersifat ?anti klimaks? kepada perjuangan Intifadah yang telah meletus semenjak tahun 2000. Sudahlah dia tidak mewakili keseluruhan rakyat Palestin (kerana hanya memenangi undian dari 25% rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat sahaja), beliau juga membelakangkan cadangan dari HAMAS dan Jihad Islamiyy yang mewakili 65% daripada rakyat Palestin supaya rejim Zionis patuh kepada dua permintaan utama sebagai jaminan untuk kejayaan ?perdamaian? tersebut. Beliau juga tidak mempelajari sejarah yang membuktikan rejim Zionis bukanlah sekali-kali musuh yang boleh dipercayai dan boleh dibawa berbincang. Beliau juga bagaikan na?f melihat natijah Intifadah 2000 yang beliau langsung tidak pernah terlibat malah bersifat sinis terhadapnya (berbanding Arafat, yang terlibat secara tidak langsung memberikan lampu hijau kepada Briged Syuhada al-Aqsa milik gerakan Fatah untuk turut serta dengan HAMAS untuk menyemarakkan Intifadah tersebut).Lebih daripada itu, beliau langsung tidak langsung meminta pandangan empat juta rakyat Palestin yang berada di kem-kem pelarian di luar Gaza dan Tebing Barat (seperti di Jordan, Lubnan dan Syria) untuk segala keputusannya di Syarm al-Syeikh. Bukankah mereka juga rakyat Palestin???


Anti Klimaks

Jika perkara yang paling dibenci oleh sepasang manusia yang sedang melakukan hubungan biologi untuk reproduksi ialah anti klimaks, maka itulah yang sedang berlaku di Palestin. Ibarat upacara yang suci itu terganggu oleh tangisan anak, bunyi telefon, bunyi mesin penggera, bunyi jam, ataupun terkentutnya salah seorang peserta, begitu jugalah nasib Intifadah 2000. Selepas ianya berjaya menjadikan ekonomi rejim Zionis berada di tahap paling buruk semenjak tahun 1948 dan berjaya memaksa lebih 50,000 rakyat negara haram Israel untuk berhijrah ke negara asal mereka semula, intifadah 2000 juga berjaya memaksa sempadan negara (haram) Israel untuk semakin mengecut dengan terbinanya tembok pemisah. Rasanya diketahui umum juga kejayaan Intifadah 2000 menyebabkan kemusnahan yang paling teruk kepada sistem pertahanan Zionis, dan juga mutakhir sekali berjaya memaksa tentera-tentera rejim dan juga penduduk penempatan-penempatan haram mereka meninggalkan Gaza secara sukarela tanpa dipaksa oleh sesiapa dan bukan menerusi apa-apa rundingan dan perjanjian. Di kala perjuangan tersebut hamper mencapai klimaks dengan banyak lagi keputusan-keputusan rejim Zionis yang bakal terukir di dada sejarah, tiba-tiba Abbas muncul (kononnya) mewakili rakyat Palestin untuk menghentikan Intifadah yang gilang gemilang itu dan sekaligus merencatkannya.

Di atas hak apakah beliau menghentikan Intifadah?, beliau sendiri pun tidak pernah mengiktiraf Intifadah. Di atas hujah apakah pula masyarakat dunia mengiktiraf inisiatif ?pengkhianatan? beliau terhadap kebangkitan rakyat Palestin itu ?, adakah semata-mata kerana slogan ?kedamaian? dan juga keinginan melihat kedamaian tanpa pertumpahan darah di kawasan tersebut?

Jika itu yang ingin mereka lihat, seperti yang dikatakann oleh Khalid Misy’al, ketua biro politik HAMAS di Syria, sewaktu diwawancara oleh saluran TV al-Arabiyyah : ?Hentikan penjajahan ke atas tanah Palestin, kedamaian akan dapat dicapai!?.

Mengapa Intifadah?

Persoalan Intifadah bukanlah sesuatu tindakan ganas HAMAS, Briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah dan juga Jihad Islamiyy yang gilakan darah dan juga ingin melihat semua orang kafir dibunuh. Sama sekali tidak!, malah sejarah menyaksikan, bagaimana sebelum penghijrahan Yahudi secara beramai-ramai pada 1917 pasca Deklarasi Belfour kaum Yahudi hidup dengan aman damai di bumi Palestin. Lebih menarik lagi kaum Kristian yang telah mendiami tanah tersebut semenjak kemasukan Islam di bumi itu pada tahun 16 Hijrah telah hidup aman damai bersama-sama orang Islam. Jika ada gangguan pun, hanyalah gangguan dari luar, iaitu apabila tentera-tentera Salib dari Eropah menyerang mereka pada tahun 1099 Masehi. Hatta pada peristiwa hitam itu pun, rakyat Palestin beragama Kristian telah berdiri bersama-sama saff kaum muslimin menentang tentera-tentera Salib yang pada anggapan mereka bukanlah penganut Kristian yang sebenarnya, tetapi lebih merupakan alat kepada para penguasa Eropah untuk menguasai jalan perdagangan di Timur Tengah.

Intifadah merupakan reaksi tabii bagi rakyat yang menderita buat sekian lama oleh penjajahan yang tiada siapa pun tahu bilakah ia akan berakhir. Sudahlah penjajahan tersebut mendapat lessen halal dari kuasa besar dunia, mereka (penjajah) dibekalkan pula dengan 1001 senjata yang tercanggih di dunia. Lebih dari itu lagi, si penjajah bebas melakukan apa sahaja keganasan, kezaliman, pembunuhan massa, penyembelihan, dan tiada apa tindakan yang dikenakan ke atasnya. Jika ada apa-apa tindakan yang dibawa ke PBB pun, dengan segera AS akan menggunakan veto merek untuk membatalkan apa-apa sahaja tindakan yang telah diputuskan. Hanya orang yang gila sahaja tidak bereaksi terhadap keganasan dan kegilaan seumpama ini.

Semenjak peristiwa Deir Yassin, Nakba, sehinggalah kepada Sabra dan Shatilla, dan yang terakhir keganasan mereka di Khan Yunus. Tiada apa tindakan yang dikenakan ke atas rejim Zionis oleh masyarakat antarabangsa. Kenapa tiada sekatan ekonomi dikenakan ke atas mereka sepertimana yang sering digunakan ke atas negara-negara Islam seperti Iraq dan Sudan?, ke mana juga tentera-tentera bersekutu yang kononnya pro-Demokrasi yang pernah mengganyang Iraq di atas nama kedamaian?, ke mana jugakah Negara-negara OIC yang sepatutnya membela dan menjadi jaguh utama untuk memastikan kemerdekaan bumi Palestin dari penjajahan lebih 50 tahun ini?

Oleh kerana sikap berat sebelah dan tidak adil masyarakat antarabangsa inilah, rakyat Palestin meletuskan Intifadah. Namun, setiap kali rejim Zionis tertekan dengan kebangkitan rakyat Palestin, maka dengan segeralah mereka menggunakan perkataan ?damai? dan juga inisiatif ?perjanjian damai? agar nampak di mata dunia keikhlasan mereka. Lihatlah apabila mereka tertekan dengan serangan ?Mu’askar Syuyukh? pada tahun-tahun 70’an, mereka segera menginisiatifkan ?Camp David? dengan Mesir. Apabila Intifadah pertama 1987 meletus dan mereka tidak terbendungnya lagi, mereka inisiatifkan Madrid 1991 dan Oslo 1993. Apabila Intifadah 2000 ini pula hampir kepada klimaksnya, mereka segera menginisiatifkan Syarm Syeikh 2005 pula. Yang pastinya ?perdamaian? palsu ini semua hanyalah mengikat rakyat Palestin dan tidak langsung menguntungkan pihak Zionis. Lebih menarik lagi, mereka (Zionis) akan mengkambing hitamkan sesetengah golongan dari masyarakat Islam ataupun rakyat Palestin sendiri untuk menghentikannya. Agar mereka nanti akan berpeluk tubuh dan menyaksikan sahaja rakyat Palestin bercakaran sesama mereka untuk menjamin?perdamaian? dan keamanan di pihak Zionis. Senang sahaja bukan?, itulah ?damai? versi Zionis.

Syarm Syeikh 2005 yang akan gagal

Seperti yang telah dikatakan di awal-awal tadi, Perjanjian Syarm Syeikh 2005 ini tidak akan menguntungkan pihak Palestin. Kebangkitan rakyat akan dihentikan oleh rakyat Palestin sendiri, atau mungkin dengan campur tangan Mesir dan Jordan. HAMAS dan Jihad Islamiyy akan mendapat cap mohor pengganas semula, para pemimpin PA akan sekali lagi mengecap kemewahan dari bantuan-bantuan dan cukai-cukai yang akan mengalir ke dalam akauan-akaun mereka di luar negara. Para tahanan Palestin yang berjumlah kebih 8,000 akan terus terkurung dan disiksa di dalam penjara-penjara Zionis tanpa dibela. Masjid al-Aqsa semakin dalam bahaya. Israel akan mendapat pengiktirafan sebagai negara yang cintakan kedamaian oleh pihak antarabangsa, hatta oleh OIC sendiri dengan segala kejahatan mereka di masa lampau akan dilupakan. Pelarian-pelarian Palestin yang berjumlah hamper empat juta orang akan terus kekal di luar negara mereka dan hanya akan melihat hak mereka untuk pulang seperti yang termaktub dalam resolusi PBB 194 terbang bersama angin lalu. Perjanjian-perjanjian damai versi AS / Zionis ini juga hanyalah menjanjikan 1001 perkara lagi yang pastinya tidak akan menyebelahi pihak Palestin.

Mungkin ada yang terfikirkan masa depan akan berpihak kepada HAMAS jika mereka memasuki gelanggang politik dan menyertai pilihanraya legislatif untuk mengisi kerusi-kerusi PLO seperti yang telah dijanjikan Abbas. Hakikatnya ianya tidak akan berlalu mudah seperti yang dijangka. AS dan Zionis tidak akan berasa gembira untuk melihat kebangkitan HAMAS dan mereka-mereka yang pro penentangan ke atas penjajahan Zionis untuk mempunyai suara dan mempunyai dua tiga cebis kuasa di bumi Palestin. Ianya adalah ibarat kanser yang akan menjalar ke seluruh tubuh palestin dan mungkin dunia antarabangsa. Mereka akan punya suara dan juga pengaruh yang halal. Ibarat bom jangka, bila-bila masa sahaja ia akan meletup. Pastinya segala makar akan dilakukan bersama dengan pemuka-pemuka Fatah yang gila kuasa dan juga mabuk harta untuk memastikan perkara seumpama itu tidak akan berlaku.

Gelombang keempat

Masa depan Palestin masih lagi penuh dengan teka-teki. Walau bagaimanapun, jika diukur dari sifir gelombang rakyat semenjak tahun 70’an, pastinya ada cahaya kemenangan untuk rakyat Palestin di sebalik apa yang berlaku mutakhir ini. Ianya bukan kerana usaha damai, tetapi pasca reaksi kepada usaha damai. Gelombang pertamanya adalah ?Muaskar Syuyukh? selepas kekalahan tentera-tentera Arab pada tahun 1967. Gelombang keduanya adalah ?Intifadah 1987? selepas Camp David 1978, Gelombang ketiganya pula adalah ?Intifadah 2000? selepas kegagalan Oslo 1993. Maka ?perdamaian Syarm Syeikh 2005? ini juga akan gagal sepertimana Oslo 1993, dan HAMAS akan menerima ujian yang paling getir dalam tempoh pasca perdamaian ini, mungkin untuk 3-4 tahun mendatang dengan pelbagai tekanan dan juga mainan politik PA dengan Zionis serta AS. Selepas itulah baru sinar harapan baru akan menyinsing dan akan mewarnai masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Palestin melalui perjuangan rakyat yang bukan hanya dikepalai oleh HAMAS, bahkan seluruh masyarakat Islam dunia yang ingin menyaksikan kemerdekaan hakiki bumi Palestin yang pernah dibebaskan oleh Khalid al-Walid dengan pekikan ?Allah Akbar?nya di bukit Mukabbar.