Forum Keamanan Palestin di Putrajaya : Sejauh mana objektif tercapai ?

Baru-baru ini berlangsung satu persidangan bersejarah di Putrajaya, Malaysia (28/3/2005 hingga 30/3/2005) yang mana isu Palestin sekali lagi di bawa ke gelanggang. Warga kerja Palestinkini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana Malaysia berani ke hadapan membawa isu yang teramat penting bagi umat Islam kini. Wartawan Palestinkini, Maszlee Malek sempat ke sana. Ikuti analisa beliau …

Syabas Malaysia

Persidangan ?Peace in Palestine? yang dianjurkan oleh AMAN Malaysia dengan kerjasama Just Malaysia pada 27 hingga 29 Mac 2005 di Putrajaya adalah sesuatu yang berhak mendapat pujian. Mengapa?, kerana ianya telah berjaya menunjukkan kepada dunia betapa prihatinnya Malaysia sebagai pengerusi NAM dan juga pengerusi OIC yang telah memainkan peranan yang pro-aktif dalam isu Palestin. Ternyata Malaysia amat prihatin terhadap nasib mereka yang tertindas di seluruh dunia, terutamanya umat Islam.

Ianya juga adalah bukti bahawa Malaysia telah memainkan peranannya bukan hanya dari sudut politik dan diplomatik, malah juga dari sudut kesedaran rakyat. Perhimpunan yang mengumpulkan pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil (civil society) dari seluruh dunia (walaupun yang hadir kebanyakannya dari Malaysia, termasuk pak-pak Arab dan warga-warga Afrika dari UIAM). Dengan apa yang telah dilakukan ini, maka Malaysia berhak mendapat pujian dari dunia sepertimana yang diharapkan, dan tidaklah dilihat nanti Malaysia adalah serupa dengan negara-negara lain yang pernah mempengerusikan kedua-dua buah pertubuhan bertaraf dunia ini.

Dr Azzam Tamimi ketika berucap


Dengan perbelanjaan yang mungkin mencapai jutaan ringgit ini, selayaknya Malaysia dilihat sebagai jaguh dan wira kepada isu palestin di kaca mata masyarakat dunia. Terbuktilah benar dan keramatnya slogan: ?Cemerlang, Gemilang dan Terbilang?.

Agenda tersembunyi

Walau bagaimanapun bagi sesiapa yang menghadiri persidangan ini, samada sebagai peserta ataupun sebagai jemputan, mereka akan dapat terhidu sesuatu jika mereka benar-benar memahami isu Palestin dan juga pokok persoalan isu ini. Adanya agenda tersembunyi yang ingin dibawa oleh pihak-pihak tertentu di sebalik persidangan ini. Bermula dengan perwakilan warga Israel yang diundang khas untuk persidangan ini, para pembentang kertas kerja, tajuk-tajuk yang diperbincangkan, ucapan-ucapan Perdana Menteri dan juga Menteri Luar, pengerusi yang dipilih untuk mengacarakan sesi-sesi forum dan juga bahan-bahan yang diberikan.

Bagi mereka yang naif, ataupun memahami isu ini dari segi permukaannya sahaja, ataupun yang datang hanya untuk makan dan mencari glamour sahaja, mereka tidak akan terhidu bau agenda tersembunyi ini. Tidak tahulah milik siapakah agenda ini, dan sejauhmana objektif yang ingin dicapainya. Itu semua hanya boleh dijawab oleh pihak penganjur sahaja. Adalah tidak elok untuk penulis untuk menjadi pak nujum dan juga tukang tilik dalam perkara seumpama ini. Walau bagaimanapun solusi ?Two States Solution? tajaan AS sering dikumandangkan oleh ramai pembentang kertas kerja di dalam persidangan tersebut kecuali segelintir sahaja seperti Dr Azzam Tamimi dari UK, Dr Walden Bello (yang menerima jolokan HAMAS Filipina) dan lain-lain peserta yang sealiran dengan mereka. Apakah ianya adalah objektif utama dari persidangan ini?, hanya pihak penga njur yang dapat menjawabnya.

Barisan ahli panel …


Two states solution of Bush

Apakah ?Two States Solution? yang hangat disuapkan dan dipromosikan lewat persidangan ini? Apakah ianya ide yang baru, ide yang terlalu dinamik dan unik sehingga tiada penyelesaian cara lain akan dapat menandinginya?, ataupun ianya merupakan penyelesaian yang akan menguntungkan kedua-dua belah pihak dan juga akan menjamin kedamaian yang kekal abadi di bumi Palestin?, ataupun ianya merupakan penyelesaian yang mithali yang wajibdiambil dan diterima oleh orang-orang Palestin kerana mereka tidak mempunyai pilhan lain?

Cadangan ?two states solution? ini merupakan ide yang telah dikemukan oleh Rumah Putih sebagaimana ide-ide terdahulu seperti perjanjian damai Madrid, Oslo, Taba dan juga Road Map. Ianya merupakan janji Bush kepada pihak berkuasa Palestin (PA) untuk memastikan kewujudan negara Palestin berdaulat yang akan berjiran dengan negara Israel. Ianya akan memastikan rakyat Palestin mempunyai negara mereka sendiri di tanah yang mewakili 22% daripada negara asal mereka yang telah dijajah. Di negara ini semua rakyat Palestin, samada yang menetap di Gaza dan Tebing Barat, ataupun yang mendiami kem-kem pelarian di Jordan, Syria dan Lubnan berhak untuk pulang dan mendiami tanah ?kurnia? yang mereka persetujui sebagai ?Negara Palestin yang Merdeka?!

Pak Lah dihadiahkan selendang Palestin


Apa yang barunya ide ini?, tiada apa yang baru. Ini jugalah ide asal dari resolusi 181 PBB pada 29 November 1947 yang menandakan bermulanya penjajahan ke atas tanah rakyat Palestin. Ide ini dengan jelas memaksa rakyat Palestin untuk melepaskan lebih 77% daripada tanah air mereka untuk dijadikan sebagai sebuah negara Israel yang berdaulat dan merdeka. Ide ini juga menafikan hak lebih empat juta rakyat Palestin untuk pulang ke rumah mereka, ke tanah mereka, ke ladang-ladang mereka yang sekarang ini telah berada di dalam sempadan negara yang bernama Israel. Ide ini juga akan memastikan bahawa rakyat Palestin haram memikirkan buat selama-lamanya persoalan untuk mendapatkan kembali tanah-tanah mereka yang telah dirampas oleh rejim Zionis Israel semenjak tahun 1948. Ide ini jugalah akan memastikan perjuangan rakyat Palestin dan jug a umat Islam yang membantu mereka akan menemui noktahnya, kerana mereka telah berijmak (jika bersetuju dengan solusi tersebut) bahawa rejim Zionis mempunyai hak ke atas 77% daripada bumi Palestin yang mereka duduki! Tidakkah ini anti klimaks namanya?

Mungkin ada suara-suara lucu yang berhujah bahawa ianya merupakan langkah pertama untuk mendapatkan kembali 77% daripada negara Palestin yang telah dijajah. Ini merupakan lawak yang paling menggelikan hati yang pernah didengari oleh manusia yang berakal. Ianya 1000 kali ganda lebih lucu daripada lawak-lawak bodoh senario di TV3. Tidakkah manusia yang bersurahkan hujah ini memikirkan, bahawa dengan tertubuhnya negara Palestin, maka dengan sendirinya negara Israel sudah menjadi entiti berdaulat yang tiada kena-mengena lagi dengan penduduk negara Palestin. Sebarang usaha untuk mendapatkan kembali walau sejengkal tanah dari negara Israel, dengan apa alasan sekalipun, ianya akan dianggap sebagai usaha pencabulan terhadap kedaulatan sebuah negara lain yang merdeka. Ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan juga konvens yen Geneva. Jika ide ?two states solution? ini diterima, maka rakyat Palestin terpaksa mengucapkan ?Sayonara? terhadap bumi datuk nenek mereka yang dijajah, hatta jika mereka dibenarkan pulang dari kem-kem pelarian di Lubnan, Syria dan Jordan berdasarkan resolusi 194 PBB (Law of return).

Sayang seribu kali sayang, agenda ?two states solution? inilah yang nampaknya cuba dipromosikan secara intensif di dalam persidangan ini. Jika tidak dengan kelantangan Dr Azzam Tamimi dan juga keberanian Ramzi Baroud dari al-Jazeera yang telah memdedahkan kelemahan dan juga kepincangan ide tersebut, nescaya majoriti peserta akan termakan jampi-jampi yang telah ditiupkan ke dalam kalbu mereka.

Peserta Israel dan juga agenda mereka

Jelas daripada pembentangan para perwakilan dari Israel dan juga Yahudi pro-Zionis dari Amerika, mereka hanya menimbulkan isu keganasan tentera sahaja tanpa melihat kepada isu sebenar, iaitu penjajahan. Lebih menyedihkan lagi, apabila Adam Keller, aktivis Gush Shalom, iaitu kumpulan yang memperjuangkan perdamaian di antara pihak Israel dan Palestin dengan angkuh mempertahankan pendirian bahawa Israel adalah sebuah negara yang berdaulat dan juga kepentingan 5 juta rakyat Israel perlu dihormati oleh dunia. Jelas sekali beliau tidak menerima langsung sensitiviti rakyat Palestin yang diusir dari tanah air dan dirampas negara mereka.

Lebih parah lagi ialah kenyataan Yitzhak Frankenthal (yang kerap muncul di TV 3 dengan kopiah kenitnya) yang memperlekehkan perbincangan para peserta seminar dengan mengatakan dia telah bosan dengan perbincangan ?politik? para peserta dan pembentang, dan dia inginkan agenda ?perdamaian? segera diberikan perhatian. Jelas, bagi seorang warga Israel, perdamaian yang mereka hendakkan ialah perdamaian menurut acuan mereka, perdamaian yang memastikan warga Palestin mengiktiraf perlupusan hak mereka terhadap bumi Palestin. Perdamaian menurut mereka juga ialah, warga Palestin memberhentikan segala slogan kemerdekaan dan juga usaha-usaha ke arah perjuangan kemerdekaan. Perdamaian bagi mereka juga bermakna keamanan bagi Israel dan pengiktirafan dunia terhadap kewujudan sebuah negara rasis bernama Israel dan penafian mutlak rakyat Pales tin terhadap hak mereka ke atas bumi yang sekarang ini dikenali sebagai Israel.

Adi Dagan, seorang aktivis Machsomwatch, sebuah NGO dianggotai 550 wanita Israel yang bertanggungjawab memastikan segala salah laku tentera Israel (IDF) segera diketahui oleh rakyat Israel dan berusaha memastikan ianya dihentikan adalah salah seorang daripada warga Israel yang dinanti-nantikan ucapannya oleh para hadirin. Ini satu usaha mulia, kita tidak menafikannya, tetapi sekali lagi, apa yang dilakukan oleh beliau hanyalah usaha merawat simptom. Akar penyakitnya ialah penjajahan, dan itu tidak termasuk di dalam agenda beliau. Itu juga tidak akan diperjuangkan oleh gadis berusia 33 tahun ini dan juga mereka yang bersama dengannya. Baginya, jika pihak tentera Israel boleh berkelakuan baik, itu sudah cukup. Adapun nasib rakyat Palestin dan hak mereka, itu tidak termasuk di dalam kamus perjuangan beliau. Apakah penting sangat usahanya sehingga beliau telah diundang dan diberikan visa khas untuk memasuki Malaysia?

Agak pelik, bagaimanakah pihak penganjur tidak teliti di dalam memastikan paksi pendirian para jemputan mereka ini. Tidakkah mengundang warga Israel, merupakan langkah pertama kepada pengiktirafan kewujudan negara Israel, sekaligus mengiktiraf penjajahan sebuah kuasa ke atas sebuah negara yang merdeka?, lebih menyanyat hati lagi, negara yang dijajah itu adalah sebuah negara Islam!

Tidakkah wujud personaliti-personaliti lain yang boleh mereka undang seperti Dr Illan Papei, seorang professor di Universiti Tel Aviv, tetapi seorang yang menentang kewujudan negara Israel. Mungkin Noam Chomsky juga merupakan antara warga Yahudi yang jelas pendiriannya berhubung isu penjajahan, Zionisme dan juga haramnya kewujudan negara Israel. Atau mungkin juga pihak penganjur ataupun pihak-pihak tertentu yang berjaya mempengaruhi penganjur mempunyai agenda mereka yang tersendiri berhubung hal ini?, wallahua?lam…

Syabas Rabbi Weiss

Di dalam usaha pihak penganjur untuk menegakkan agenda pengiktirafan terhadap negara Israel ini walau bagaimanapun telah diganggu oleh seorang Rabbi (ulama) Yahudi dari New York. Ianya diibaratkan seperti anti klimaks bagi para pajuang inisiatif pengiktirafan Israel di dalam persidangan tersebut. Rabbi Weiss yang mewakili Naturei Karta, sebuah pertubuhan Yahudi anti-Zionis dan anti Israel telah diberikan peluang untuk memberikan sepatah dua kata di hari kedua persidangan. Beliau yang telah diundang tetapi tidak diberikan ruang untuk membentangkan kertas kerja, di atas sebab-sebab tertentu yang hanya penganjur sahaja mengetahuinya, telah mengambil peluang selama 10 minit yang telah diberikan kepadanya untuk menyampaikan mesej yang begitu jelas kepada para audien yang seharian suntuk telah cuba disogokkan dengan ide pengiktirafan negara Israel.

Rabbi Weiss yang ‘menjernihkan’ keadaan


Menurut beliau, ?Israel adalah negara yang haram!, Yahudi yang sebenar tidak akan berhijrah ke Palestin dan merampasnya dari penduduk asal Palestin, iaitu orang Arab, Zionis merupakan barah bagi orang-orang Yahudi!, Zionis yang berada di Israel tidak menuruti ajaran Taurat yang sebenar dan tidak mewakili orang-orang Yahudi, Zionis adalah gerakan yang kufur dan tiada kena mengena dengan agama Yahudi, dan penyelesaian muktamad kepada isu Palestin ini ialah dengan menyerahkan semula bumi Palestin kepada penduduk asalnya dan menghapuskan negara Israel dari peta dunia!

Pelik tetapi benar. Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Rabbi dari New York yang sering muncul di siri-siri demonstrasi di barat dengan membakar bendera Israel dengan rakan-rakannya yang lain. Bagi golongan Naturei Karta yang berfahaman Hesedim Ortodks ini, penghijrahan kaum Yahudi ke bumi Palestin adalah bertentangan dengan arahan Tuhan yang melarang para Yahudi pulang ke Palestin sehinggalah apabila munculnya Messiah yang dinanti-nantikan oleh mereka. Atas dasar itulah mereka lebih selesa untuk mendiami AS dari berhijrah ke Palestin. Di seluruh dunia, mereka berusaha menyampaikan mesej yang jelas, iaitu : Israel adalah sebuah negara yang haram dan tiada kena mengena dengan agama Yahudi. Penyelesaiannya ialah dengan memadamkan Israel dari peta dunia dan menyerahkannya kembali kepada orang-orang Palestin semula.

Sayangnya, kewujudan beliau tidak digunakan sepenuhnya oleh pihak penganjur kerana sebab-sebab tertentu. Lebih menyedihkan lagi, gambar-gambarnya digunakan oleh pihak media yang telah memutar belitkan fakta berkaitan kehadiran beliau. Gambarnya bersama Dr. Azzam dan juga bersama Pak Lah digambarkan sebagai simbol perpaduan di antara orang Islam dan juga Israel dan bukannya Yahudi!, walhal beliau adalah penentang utama kewujudan negara Israel.

Lebih menyakitkan hati apabila Adam Keller secara biadap telah memperlekehkan pandangan Rabbi tersebut dengan waktu khas yang telah diberikan kepadanya untuk tujuan tersebut. Rabbi Weiss pula langsung tidak diberikan peluang sama sekali untuk membalas kritikan-kritikan Adam terhadapnya. Agak pelik juga apabila pihak media langsung tidak membuat liputan meluas tentang Rabbi Weiss ini dan juga gerakannya. Apa yang melucukan ialah para wartawan dan pemberita hanya mengekori perwakilan dari Israel seperti Keller, Dagan, Frankenthal dan lain-lain lagi yang terang-terang mewakili rakyat rejim Zionis. Samada para pemberita dan wartawan ini begitu jahil untuk memahami hakikat sebenar, ataupun mereka hanya menurut arahan pihak atasan demi menjaga periuk nasi mereka semata-mata.

Sepatutnya Rabbi Weiss ini diundang ke Seri Pentas untuk menjadi ahli panel al-Kuliyyah untuk menjelaskan kepada umat Islam di Malysia perbezaan di antara Yahudi, Zionis dan juga Israel, serta menunjukkan kepada mereka bahawa projek negara Israel tajaan Zionis ini adalah bertentangan dengan ajaran agama Yahudi. Diharapkan dengan penjelasannya, ramai umat Islam di Malysia yang terkeliru dengan istilah-istilah ini akan nampak lebih jelas dan lebih berhati-hati di dalam membuat tindakan dan keputusan berhubung isu Palestin.

Memikirkan semula

Sewajarnya dengan apa yang telah berlaku dan juga dengan terbocornya agenda tersembunyi yang cuba dibawa oleh pihak-pihak tertentu, pihak kerajaan Malaysia sepatutnya lebih peka sebelum meluluskan sesuatu perkara yang bercanggah dengan dasar-dasar luar mereka. Membenarkan warga Israel masuk ke Malaysia adalah bercanggah dengan dasar luar Malaysia yang tidak mengiktiraf kewujudan negara haram tersebut di atas bumi yang mereka jajah.

Sensitiviti majoriti rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam sepatutnya diberikan perhatian sebelum sesuatu tindakan diambil. Pihak penganjur sepatutnya berbincang dengan pelbagai pihak, termasuk parti-parti pembangkang dan badan-badan Islam yang mewakili umat Islam sebelum mengundang para perwakilan dari Israel. Apa yang telah berlaku ini dengan jelas menunjukkan pihak penganjur bersikap keras kepala dan juga samseng dengan tidak menghormati pendapat orang lain dan juga umat Islam sedunia, khususnya rakyat Palestin yang ditindas.

Yang pasti, fenomena yang paling menarik untuk disaksikan di sepanjang persidangan ini ialah kekosongan kerusi-kerusi di dewan persidangan sewaktu berlangsungnya pembentangan-pembentangan kertas kerja dan forum, tetapi meja-meja makan menjadi penuh dan sesak sewaktu sesi makan, samada makan tengahari ataupun makan malam. Lebih menarik lagi banyak muka-muka yang memenuhi meja-meja makan amat payah ditemukan di kerusi-kerusi dewan persidangan. Yang terlampau menarik lagi, ialah mereka yang memenuhi meja-meja makan itu memakai tag nama berwarna hitam dan berbaju kot rasmi yang lengkap…