855 Kanak-kanak Syahid Semasa Intifadah al-Aqsa


Rabu, 6/4/2005 –Menteri Kesihatan Palestin Dr. Dzihni Al-Wahidi merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk memberikan perlindungan kepada kanak-kanak Palestin.


Wahidi, dalam satu wawancara dengan wartawan menekankan, pentingnya perlindungan terhadap kanak-kanak Palestin dari masyarakat antarabangsa. Ini kerana mereka sekarang diancam oleh penganiayaan Zionis, hak-hak mereka sebagai rakyat Palestin dirampas, sehinggakan ada kes-kes bayi yang masih dalam kandungan ibu turut menjadi ancaman oleh Zionis-Israel.

Wahidi memperinci jumlah syuhada dari kalangan kanak-kanak ketika berlangsungnya Intifadah al-Aqsa mencapai 855 syahid dan syahidah. Sekitar 38 bayi dalam kandungan mati di blok-blok halangan tentera Zionis-Israel. Terdapat juga kes dimana pesakit-pesakit yang dibawa menggunakan ambulans tidak mendapat rawatan yang pantas akibat halangan tentera Zionis-Israel.

Wahidi menjelaskan, jumlah kanak-kanak yang mengalami kekurangan gizi di kementerian kesihatan semakin meningkat. Hal ini diakibatkan situasi ekonomi yang buruk yang dialami rakyat Palestin akibat dari penjajahan Zionis.

Dalam satu kajian, Wahidi menyatakan tahap kesihatan kanak-kanak di bawah lima tahun yang tidak mendapat gizi yang baik sekitar 10.2 % dan sekitar 21.5 % kanak-kanak berada di bawah berat normal.

Beliau meminta campurtangan dari pihak PBB, WHO, UNFPA (bantuan PBB untuk kependudukan), lembaga HAM antarabangsa, UNICEF dan semua organisasi kemanusiaan untuk ikut serta membantu melindungi rakyat Palestin khususnya kanak-kanak.