Al-Misri: Cadangan Mesir langkah sebenar capai perdamaian.

Rabu,  09/09/2009 – Seorang pimpinan HAMAS dan ahli parlimen dalam Majlis Perundangan Palestin, Mushir al-Misri menegaskan bahawa cadangan Mesir adalah pandangan seimbang yang boleh menjadi titik tolak kepada perdamaian dan penamatan sebarang konflik Palestin.

Dalam satu kenyataan khas kepada Ikhwan Online yang disiarkan pada hari Isnin (7/9), beliau menegaskan keperluan untuk mewujudkan suasana yang sesuai bagi menjayakan perdamaian, memberhentikan penahanan politik di Tebing Barat dan berpegang kepada perjanjian-perjanjian lalu, dengan meninggalkan sebarang pandangan sempit, atau tunduk kepada syarat-syarat yang diberikan oleh kuartet antarabangsa.

Beliau menambah: “Kami tegas berpegang dengan hak-hak rakyat kami. Sesiapa yang menyangka bahawa dia boleh melampaui hakikat ini kerana menuruti agenda pihak luar yang tidak mahu memberhentikan perpecahan dan mewujudkan kesatuan terhadap mana-mana kepentingan akan datang, maka dia telah melakukan kesilapan.”

Adalah dijangkakan bahawa Kaherah akan mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan semua isu yang tergantung dalam tempoh beberapa hari akan datang. HAMAS menunjukkan kesediaannya untuk memberikan respon positif terhadap cadangan tersebut.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir