Abu Al-Gheit : “Hubungan baik Arab-Israel berlaku jika aktiviti penempatan Yahudi dihentikan”.

sumber : http://www.imemc.org
penterjemah :  mujaheed929

Jumaat,  11/09/2009 – Menteri Luar Mesir, Ahmad Abu Al-Gheit membuat satu kenyataan pada Selasa, bahawa terdapat kemungkinan berlaku hubungan baik Israel dan Negara Arab tetapi bergantung juga kepada rundingan keamanan Palestin-Israel, dan pemberhentian terus segala aktiviti penempatan baru Yahudi di Wilayah Palestin. Sewaktu dalam satu sidang media bersama rakan sejawatannya di Sepanyol, Miguel Angel Martinos, Al-Gheit memberitahu bahawa hubungan baik ini bakal membantu lagi dalam menjernihkan hubungan kedua-dua belah negara yang bertelagah, Palestin-Israel.

Beliau menambah lagi, rundingan damai Israel-Palestin seharusnya berteraskan satu kehendak yang sama, dan patut dimulakan bila-bila masa sejak berlakunya Intifadha ke-2 penghujung September 2000. “Hari ini, dunia Arab tegas dengan pendirian bahawa Israel mesti memberhentikan terus semua projek penempatan haram mereka di Tebing Barat, dan Timur Baitul Maqdis,” ujar Al-Gheit, “ Israel seharusnya menerima undang-undang Peta Laluan seperti mana terkandung dalam rundingan damai, dan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka”, tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, Mesir berharap AS, Kesatuan Eropah, dan masyarakat antarabangsa mempertahankan segala persetujuan rasmi antara Israel-Palestin. Sementara itu, Moratinos menyeru semua Negara Arab meneruskan hubungan baik dengan Israel selepas kerja-kerja penempatan haram Yahudi dihentikan, dan tambahnya lagi, “Kami sudah tentu mahu melihat perkembangan positif dalam hubungan antara dunia Arab dan Israel”.

sumber : http://www.imemc.org
penterjemah : mujaheed929