Warga Tebing Barat: Pilihanraya sebelum damai lebarkan perpecahan

Khamis, 17/09/2009 – Warga Tebing Barat mempersoalkan kesungguhan pimpinan Fatah untuk mengadakan pilihanraya Majlis Perundangan pada tarikh yang telah ditetapkan, seolah-olah ia adalah tarikh suci yang tidak boleh dipinda! Pimpinan Fatah memberikan alasan bahawa “pilihanraya tersebut akan mengeluarkan rakyat kita daripada lembah perpecahan, akan membawa kebaikan dan nikmat yang banyak tidak terkira, dan mungkin boleh melenyapkan penjajahan.” Namun segala alasan yang diberikan oleh Fatah itu tidak dapat diterima oleh warga Tebing Barat yang mengalami pelbagai kesulitan dan kesukaran akibat kejadian dan peristiwa yang berlaku.

Seorang warga Tebing Barat, Faris Mahmoud (dari Ramallah) berkata: “Mesir cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan perselisihan yang berlaku di kalangan fraksi Palestin. Rancangan damai Mesir telah menyebutkan dengan jelas bahawa pilihanraya Majlis Perundangan dan pilihanraya Presiden akan dijalankan serentak pada separuh pertama tahun 2010, tetapi ditolak oleh Fatah kerana menganggap tarikh pilihanraya Majlis Perundangan yang telah ditetapkan sebelum ini adalah tarikh suci.

Saya berpendapat keengganan Fatah itu mengancam kepentingan dan keselamatan strategik negara Mesir, kerana jika pilihanraya diadakan juga sebelum perdamaian dicapai, ia akan menyebabkan pemisahan kekal antara Tebing Barat dengan Gaza. Jika ini berlaku, Mesir terpaksa menanggung sebahagian besar permasalahan Gaza yang pada masa ini pun, Mesir sudah pun mempunyai permasalahan dalaman dan luaran yang berat berhubung dengan Gaza. Yang terkini ialah kunjungan Liberman ke beberapa buah negara sekitar Sungai Nil yang bertujuan mengeringkan sumber sungai tersebut, yang mempunyai kata pemutus untuk meruntuhkan empangan al-Sadd al-‘Ali dengan mengeringkan sumbernya.”

Muhammad Sadiq (dari perkhemahan al-Jalzun, dekat Ramallah) pula berpendapat bahawa sesiapa yang berkeras mahu menjalankan pilihanraya pada ‘tarikhnya yang suci’ itu seolah-olah ia adalah penyelamat bagi rakyat kita, sebenarnya dia tidak mahu dialog dan perdamaian nasional berlangsung. Bahkan dia mahu menyediakan suasana yang sesuai untuk merampas dan mencuri perwakilan rakyat, kerana jika tarikh pilihanraya itu ditangguh sudah pasti ia membolehkan pelaksanaan persepakatan dan perdamaian nasional.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir