Perang Al Hittin bebaskan Baitulmaqdis

Antara peristiwa penting yang berlaku pada Rabiulawal adalah peperangan ‘Al Hittin’ di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayyubiy menentang tentera Salib pada 583 Hijrah bersamaan Julai 1187 Masihi.

Berkenaan dengan nama peperangan itu ada juga ahli sejarah yang memanggilnya ‘Hattin’. Begitu juga dengan tarikh bermulanya peperangan ini, ada ahli sejarah yang berpendapat ia berlaku pada Rabiulakhir.

Meskipun ada percanggahan dalam penetapan tarikh ini, namun apa yang lebih penting peperangan ini membawa mesej besar kepada seluruh dunia Islam dulu, kini dan selama-lamanya.

Ini kerana, peperangan ini berjaya membuka peluang kepada umat Islam ke arah pembebasan penguasaan tentera salib ke atas Baitulmaqdis.

Di sebalik peperangan ini sebenarnya tersirat bagaimana kewibawaan dan kepahlawanan seorang pejuang Islam – Salahuddin, yang berjaya menyatukan seluruh tentera dan umat Islam bagi menghapuskan Rom selaku kuasa besar ketika itu.

Kekalahan tentera Salib di tangan Salahuddin dalam pertempuran ini adalah kemuncak kejayaan beliau dalam kempen membebaskan bumi Islam daripada pencerobohan kuasa Barat. Kemenangan Salahuddin itu turut membolehkan Baitulmaqdis bebas daripada penjajahan tentera Salib selama 88 tahun.

Menjelang peperangan itu, tentera Islam berkumpul untuk mengatur strategi serangan secara besar-besaran di pesisiran pantai berhampiran Tasik Tiberias, Palestin. Tentera Islam diketuai antara pemerintah agungnya, Salahuddin, manakala askar tentera Salib pula berkumpul di barat Tasik Tiberias. Perisik Islam berjaya menjejaki pergerakan tentera musuh, termasuk perkhemahan mereka.

Berikutan itu, tentera Islam diketuai Salahuddin mengepung askar Salib pada waktu malam hingga terbit kemunculan fajar.

Nyata, pada sebelah siangnya meletus pertempuran sengit berhampiran Hittin di sebelah Tasik Tiberias serta timur bandar Akko dan Haifa. Dalam pertempuran itu, tentera Islam berjaya menumpaskan ramai askar Salib serta menjadikan 150 orang sebagai tawanan, termasuk pembesar mereka. Jelas sekali, Perang Hittin adalah antara kemenangan Islam yang gemilang dan wajar menjadi rujukan dan renungan ummah hari ini yang berdepan pelbagai krisis termasuk ancaman daripada musuh Islam khususnya Barat.

Sebagai pejuang kental, Salahuddin pernah berkata ‘untuk menjadi umat yang berjaya, kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan tidak memadai. Benteng yang paling kental katanya adalah perpaduan dan kekuatan akidah’.
Kejayaan Salahuddin membebaskan Baitulmaqdis yang juga ditawan tentera Salib pada 1099 adalah hasil keupayaan beliau menyatupadukan umat Islam di Mesir, Palestin, Syria dan Iraq.

Salahuddin meninggal dunia pada 4 Mac 1193 ketika berusia 55 tahun. Kematiannya mengakhiri sumbangan besar pemimpin agung ini yang mula berjuang di medan perang ketika berusia 16 tahun.

Sumber : www.massej.info

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.