“Forum Solidariti” tegaskan kepentingan gagalkan rancangan musuh.

Selasa , 02/03/2010 – Forum Solidariti rakyat Palestin yang diadakan di Tehran, menegaskan keperluan dan kepentingan berusaha untuk menggagalkan objektif mana-mana serangan dan pencerobohan yang mungkin dilancarkan oleh pihak musuh pada masa-masa akan datang. Ia juga menegaskan ancaman dan ugutan Zionis dan Amerika terhadap Palestin, Syria, Lubnan dan Iran sebenarnya juga mensasarkan semua negara sekitar dan bertujuan untuk menjejaskan harapan dan cita-cita bangsa Arab dan Islam.

Forum tersebut yang diadakan sempena ulang tahun pertama kemenangan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, dalam kenyataannya yang diterima oleh Pusat Media Palestin pada petang Ahad (28/2), juga mengutuk operasi mengyahudi dan membina penempatan Zionis di bumi yang dijajah, khususnya di bandar al-Quds dan sekitarnya, serta pencerobohan berterusan terhadap Masjid al-Aqsa. Turut juga dikutuk polisi meruntuh dan merampas rumah serta menghalau rakyat Palestin dari bandar al-Quds dalam usaha mengosongkan bandar tersebut daripada penghuninya, serta usaha untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa.

Forum tersebut yang disertai oleh pelbagai pihak dan puak Palestin dan negara Arab lain itu juga menolak usaha Zionis yang bertujuan merubah dan mencacatkan tanda-tanda sejarah dan peradaban, serta percubaan mencuri bahan-bahan suci Islam dan Kristian, terutamanya keputusan Zionis yang menganggap kawasan sekitar masjid al-Ibrahimi di el-Khalil dan Masjid Bilal ibn Rabah di Beit Lehm sebagai sebahagian daripada khazanah Yahudi. Dalam masa yang sama, forum tersebut juga menuntut agar segala usaha sama ada pada peringkat massa dan rasmi diteruskan bagi menghadapi polisi Zionis yang merbahaya ini.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir