Pilihanraya yang merabunkan Fatah?

Apakah wajah sebenar Fatah tampak jelas selepas berlangsungnya pusingan kedua pilihanraya di Palestin ? Kenapa Fatah membantah keputusan sedangkan yang mengira undi adalah orang kerajaan sendiri ? Hairan bin Ajaib ?Maszlee Malik cuba menyelongkar …

Setelah berlangsungnya dua pusingan pilihanraya peringkat majlis perbandaran di bandar-bandar Tebing Barat, Gaza dan juga Baitul Maqdis, ternyata HAMAS telah menunjukkan taringnya. Jika di dalam pilihanraya pusingan pertama di awal tahun 2005, HAMAS dan juga individu-individu yang dekat dengan mereka telah membolot lebih 70% daripada kerusi yang dipertandingkan (berdasarkan statistik oleh Palestine election watch, palestine-info.com, UK), pada pusingan kedua ini pula mereka telah berjaya membolot hampir 50% undi popular (49.5% bagi HAMAS, manakala Fatah 47 %, dan selebihnya bagi calon-calon bebas, menurut laporan Palestine election watch, Palestine Today, Beirut) yang di dalam pilihanraya tersebut. Lebih menarik lagi kerusi-kerusi yang mereka menangi adalah di tempat-tempat yang di dominasi oleh Fatah sebelum itu dan juga kawasan yang padat penduduk.

Hal ini sudah tentu tidak akan menggembirakan rejim Zionis yang melihat HAMAS sebagai ancaman kepada status quo mereka. Gerakan Fatah yang merupakan gerakan yang lebih senior juga merasakan kegusaran yang nyata dari perkembangan drastik tersebut.

Oleh yang demikian, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila kita melihat bantahan-bantahan Fatah terhadap keputusan-keputusan pilihanraya pusingan kedua ini di atas kerusi-kerusi yang dimenangi HAMAS. Keputusan-keputusan mahkamah yang berpihak kepada petisyen yang dikemukan oleh Fatah jelas tidak logik tetapi telah berlaku. Pertama kali di dalam dunia, kita mendengar pihak kerajaan menuduh pihak penyelaras pilihanraya melakukan kecurangan dan berpihak kepada parti lawan. Bukankah penyelaras pilihanraya itu sendiri adalah jentera kerajaan yang berkuasa iaitu PA (Palestinian Authority) yang didominasi oleh Fath sendiri?, bagaimana mungkin mereka boleh curang kepada tuan mereka sendiri? Ternyata ianya amat melucukan.

Era Fatah pasca-Arafat tidak menunjukkan tanda positif bersatunya rakyat Palestin. Kepimpinan Abbas penuh tanda soal


Tindakan-tindakan yang lebih agresif dan amat memalukan rakyat Palestin juga telah dilakukan oleh Fatah. Kumpulan bersenjata dari kalangan pemuda-pemuda Fatah yang membakar peti-peti undi yang diketahui bahawa HAMAS adalah pemenangnya, ugutan terhadap para pengundi dan juga pengumuman kemenangan mereka sebelum keputusan rasmi diumumkan, kesemuanya amat memalukan dan menonjolkan kulit Fatah yang sebenar pasca Arafat. Jika Arafat selepas Intifadah telah mula menghulurkan tangan kepada HAMAS dan fraksi-fraksi lain untuk berkerjasama menentang rejim Zionis, Fatah kini telah mengkhianati usaha-usaha Arafat.

Pilihanraya telah merabunkan atau membutakan mata mereka. Demi untuk meneruskan kekuasaan dan melumpuhkan kemaraan HAMAS yang dilihat oleh Alistair Crooke (mantan pegawai CIA di Timur Tengah) sebagai kuasa masa hadapan Palestin , mereka (Fatah) telah melakukan 1001 makar.

Fatah berani melakukan perkara-perkara yang jika dilakukan oleh kumpulan yang berlabelkan Islam akan dikategorikan sebagai keganasan kerana mereka mempunyai sokongan yang kuat dari pihak rejim Zionis dan Amerika. Bukan lagi rahsia bagaimana pihak rejim sendiri telah menggugut Abbas tentang masa depan kerajaan pimpinannya yang tidak panjang jika HAMAS berjaya memenangi pilihanraya legislatif yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai nanti.

Tidak hairanlah Abba dengan sukarelanya menangguhkan pilihanraya tersebut demi memperkuatkan jentera Fatah yang semakin lemah dan tidak mendapat sokongan rakyat. Pemilihan majlis tertinggi gerakan tersebut pun ditangguhkan ke satu tarikh yang belum pasti lagi demi memastikan perpecahan dalaman Fatah tidak akan menjadi batu loncatan untuk HAMAS dan juga mereka-mereka yang bersimpati denga n HAMAS memenangi pilihanraya leaslatif sekaligus menerajui PLO dan juga PA itu sendiri.

Sekarang ini, Abbas telah dipaksa oleh rejim Zionis pula untuk memastikan gerakan HAMAS dan Jihad Islamiyy dilucutkan senjata mereka berdasarkan gencatan senjata yang telah dpersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Di manakah kekuatan HAMAS sehingga rakyat amat menyenanginya ?


Dr Munir Syafiq, seorang pemikir dan penulis Palestin yang terkenal telah menyuarakan bahawa beliau tidak cenderung dengan tindakan HAMAS yang bersetuju untuk melakukan gencatan senjata dengan pihak rejim. Menurut pemikir yang dilahirkan sebagai Arab Kristian, kemudiannya menjadi seorang Marxis dan kemudiannya mewaqafkan dirinya di kem para Islamis telah menyatakan keimanannya bahawa rejm Zionis Israel tidak akan menepati apa-apa gencatan senjata dan perjanjian damai.

Lihat sahaja contoh Madrid, Oslo dan lain-lain perjanjian damai lagi. Semuanya tidak diendahkan oleh rejim Zionis. Bagi mereka, berdamai bererti pihak Palestin berdiam diri terhadap apa yang rejim tersebut lakukan ke atas mereka dan juga menyerahkan semua hak mereka kepada pihak rejim tanpa menuntutnya di atas apa nama sekalipun. Bukan sekali dua, malah di setia p tulisannya, ucapannya dan juga wawancara bersamanya di mana sahaja pasca gencatan senjata yang berlaku semenjak Mac 2005, beliau menegaskan pendapatnya ini.

Ternyata analisis beliau amat tepat!, belum pun sampai lima bulan gencatan senjata itu berlangsung, lebih 80 rakyat Palestin telah ditahan tanpa bicara, dan yang terbaru, seorang budak perempuan berumur 14 tahun di Khalil. Puluhan nyawa pula terus menjadi korban, rumah-rumah rakyat Palestin terus dirobohkan, penempatan haram di Ma?leya Adonim dibesarkan tanpa menghiraukan desakan antarabangsa, tembok pemisah diteruskan pembinaannya, penempatan-penempatan haram Yahudi di Tebing Barat semakin diperluaskan dan pelbagai onar lain yang menunjukkan sikap samseng mereka. Itulah Zionis, itulah Israel, itulah pengganas nomor wahid di dunia.

Selepas tiga bulan berlakunya gencatan senjata barulah HAMAS dan Jihad Islamiyy sedar akan kebenaran analisis Dr Munir Syafiq. Pada sekitar awal Jun yang lepas, HAMAS dan juga Jihad Islamiyy sekali lagi telah melancarkan roket-roket mereka ke arah penempatan Zionis dari utara Gaza. Tanpa menghiraukan tindakan yang bakal diambil oleh Fatah yang bertugas sebagai polis rejim Zionis di Gaza sekarang ini, mereka telah melakukan serang balas bagi setiap nyawa rakyat Palestin yang diragut oleh peluru-peluru rejim Zionis pasca gencatan senjata.

Akhirnya pada 11 Jun 2005, kedua-dua gerakan HAMAS dan Jihad Islamiyy telah menegaskan bahawa mereka tidak akan menerima gencatan senjata dari sebelah pihak sahaja. Rejim Zionis wajiblah terlebih dahulu menghormati gencatan senjata tersbeut dahulu. Abbas pula diminta supaya bersikap tegas terh adap rejim Zionis dan bukannya menjadi alat mereka untuk menghancurkan rakyatnya sendiri.

Setiap kali perjanjian termetrai bermakna darah rakyat Palestin akan tumpah lagi


Setakat ini, Abbas dilihat amat berbeza sewaktu beliau mula menjadi presiden PA dan pra-gencatan senjata. Karakter beliau juga didapati amat berbeza selepas siri-siri kekalahan partinya, Fatah di dalam pilihanraya-pilihanraya perbandaran, peringkat Universiti dan juga kesatuan-kesatuan pekerja. Sikap beliau dilihat semakin berbeza terhadap HAMAS terutamanya menjelang pilihanraya legaslatif dan juga menjelang pengunduran unilateral rejim Zionis dari bumi Gaza. Dari hari ke hari beliau dan juga Fatah dilihat tidak lagi komited dengan perjuangan mengusir keluar penjajah Zionis dari muka bumi Palestin seperti yang telah dilakukan oleh Almarhum Arafat pasca Intifadah 2000.

Beliau dan pembesar-pembesar Fatah yang lain, terutamanya Ahmad Dahlan dilihat semakin intim dan semakin menjadi kuli kepada rejim Zionis di dalam mengenakan te kanan kepada HAMAS dan juga untuk memastikan HAMAS tidak akan menjawati apa-apa kuasa di dalam pentadbiran PA dan juga di dalam PLO. Sekurang-kurangnya dengan apa yang berlaku, dunia akan semakin mengenali sikap Zionis yang sebenar dan juga sikap Mahmud Abbas dan gerakan Fatah.