Yahya Ayyash difilemkan

Beirut, Isnin , 20/06/2005 –Jika Cuba mempunyai ikon “Che Guevera” sebagai lambang perjuangan kemerdekaan mereka, maka rakyat Palestin mempunyai Yahya Ayyash sebagai ikon mereka. Pejuang muda yang pernah menggerunkan pasukan tentera rejim Zionis kerana kelicikannya dan juga kehebatan strategi peperangannya itu kini telah difilemkan oleh Basil al-Khatib, seorang produser filem yang mula menempa nama di layar perak Timur Tengah.


Anak kepada sasterawan Arab terkenal, Yusuf al-Khatib itu telah memperjudikan nasibnya dengan mengeluarkan modal yang besar untuk menghasilkan drama 12 siri yang bertajuk “Yahya Ayyash”. Sayangnya, sehingga kini, hanya stesyen TV al-Manar di Beirut sahaja yang mengambil inisiatif untuk membawa drama tersebut ke udara. Drama 12 siri itu telah membawakan kisah sebenar keperwiraan Yahya Ayyash, yang juga dikenali sebagai “The Engineer” semenjak awal penglibatan beliau dengan perjuangan kemerdekaan Palestin sehinggalah ke detik akhir nyawanya apabila beliau telah dibunuh oleh rejim Zionis dengan ledakan bom yang telah dipasang pada telefon bimbitnya melalui salah seorang agen ISrael dari kalangan rakyat Palestin.

Semua kejayaan operasi Yahya Ayyash turut digambarkan di dalam drama bersiri tersebut. Antara babak yang menarik ialah kehidupan Yahya Ayyash selama dua tahun menyamar sebagai “rabbi” Yahudi ortodoks juga turut dipaparkan. Basil, produser drama itu berasa kesal dengan sikap stesyen TV di negara-negara Arab yang tidak menunjukkan sebarang minat untuk menayangkan drama itu ke udara. Beliau, walau bagaimanapun tidak berputus asa dan akan terus menghasilkan filem-filem lain berkaitan perjuangan Palestin di masa-masa mendatang.

Agaknya apakah stesyen-stesyen TV di Malaysia akan turut menyertai al-Manar dalam menayangkan drama bersiri yang amat menarik ini?, ataupun mereka serupa sahaja seperti stesyen-stesyen TV Arab yang lain?, mari kita bersama tunggu dan lihat.