150 cedera bertempur pertahan Masjid al-Aqsa.

Ahad, 21/03/2010 – Seramai 150 rakyat Palestin cedera setelah pertempuran berterusan berlaku semenjak waktu Subuh dengan pasukan keselamatan Zionis di beberapa kawasan di Tebing Barat dan bandar al-Quds, setelah pihak Zionis mengisytiharkan pembukaan apa yang didakwa sebagai Kuil Yahudi al-Kharab di bandar al-Quds.

Beberapa sumber perubatan seperti Palang Merah dan Persatuan Sukarelawan Arab memberitahu Pusat Media Palestin bahawa 50 kes kecederaan dilaporkan dan mereka yang tercedera dipindahkan ke beberapa buah hospital setelah mengalami kecederaan kerana terkena peluru getah pihak Zionis, di beberapa kawasan di bandar al-Quds seperti al-Isawiyyah, Ra’sul ‘Amud, Shaykh Jarrah dan lain-lain.

Sumber tersebut juga menambah bahawa bantuan perubatan juga telah diberikan kepada lebih 100 kes di tempat kejadian seperti sesak nafas kerana terhidu gas pemedih mata. Sumber itu juga memaklumkan pihak Zionis menghalang pihak perubatan daripada memasuki kawasan terbabit yang menyaksikan pertempuran sengit, bahkan pihak perbandaran juga dihalang dan peralatan mereka dirampas.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah :  muhajir