Sidang media NGO Aqsa Syarif tentang pembinaan kuil Hurva di perkarangan Masjid al-Aqsa

Jumaat , 26/03/2010 – Tindakan Israel membangunkan semula kuil Hurva di perkarangan Masjid al-Aqsa dan melakukan upacara perasmian tempat penyembahan Yahudi, Haikal 15 Mac lalu bakal mencetuskan satu lagi ledakan perjuangan besar di Palestin. Upacara yang turut dihadiri Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu memuncakkan ketegangan sedia ada di Baitul Maqdis timur dan Masjid al-Aqsa.

Pada 16 Mac lalu, polis Israel bertindak ganas hingga mencederakan lebih daripada 49 orang rakyat Palestin yang cuba melindungi kesucian al-Aqsa. Suasana tegang ini kian meruncing sehingga menimbulkan keresahan masyarakat antarabangsa dan umat Islam khususnya, demikian pandangan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Aqsa Syarif dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Kenyataan media Aqsa Syarif yang diadakan buat julung-julung kalinya itu dibacakan oleh Pengerusinya, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus. Menurutnya, situasi cemas yang berlaku di Palestin kini menyebabkan Aqsa Syarif menegaskan perkara-perkara berikut:

1. Menggesa pemimpin-pemimpin negara Islam supaya bersuara dan menyatakan sikap dan pendirian terhadap provokasi Israel di tanah suci Baitul Maqdis. Negara-negara Islam wajib bersatu menggesa PBB supaya memanggil satu persidangan tergempar bagi mengambil tindakan ke atas Israel yang jelas mencabul hak rakyat Palestin dengan mengocak sentimen keagamaan.

2. Menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak Israel menghormati semua syarat perundingan damai yang telah dipersetujui dengan pihak berkuasa Palestin terutama persetujuan Israel untuk menghentikan projek pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur. Tindakan Israel meneruskan pembinaan penempatan Yahudi di sana pasti akan menggagalkan proses rundingan damai dan apa yang dikatakan sebagai penyelesaian dua negara.

3. Menggesa Amerika Syarikat supaya berhenti menyebelahi dan melindungi Israel yang telah sekian lama melanggar ketetapan PBB berkaitan hak rakyat Palestin. Pencabulan Israel ke atas hak-hak rakyat Palestin yang diperakui oleh piagam PBB dan Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 adalah berpunca daripada dasar luar Amerika yang mempertahankan semua tindakan rejim Zionis itu meskipun ia bertentangan dengan prinsip undang-undang dan hak asasi.

4. Menyeru umat Islam supaya tidak terpedaya dengan perancangan jahat rejim Zionis yang berselindung di sebalik proses rundingan damai untuk melanjutkan agenda pendudukan bumi Palestin dan Baitul Maqdis. Aqsa Syarif yakin bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang ampuh ialah dengan seluruh umat Islam berdiri teguh di belakang rakyat Palestin dan menyatakan solidariti mereka terhadap perjuangan pembebasan bumi Palestin dari pendudukan Zionis. Umat Islam juga wajib membantu baik dari segi kewangan dan moral mahupun mempertahankan hak rakyat Palestin dalam forum-forum antarabangsa.

5. Menyeru semua rakyat Malaysia, khususnya umat Islam supaya tidak melanggan produk-produk yang dikenalpasti memberi sokongan kepada ekonomi Israel. Empat barangan yang jelas menyumbang kepada ekonomi Israel ialah McDonald, Coca-Cola, L’oreal dan Nestle. Umat Islam diseru supaya mengutamakan barangan tempatan dan hanya melanggan produk asing terutama dari Amerika Syarikat yang menjadi sekutu kuat Israel apabila perlu sahaja dan sebagai pilihan terakhir. Aqsa Syarif mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya menyambut kempen BDS (Boycott, Divestment and Sanction – kempen memboikot, mengalihkan pelaburan dan sekatan) terhadap Israel yang giat diterajui oleh masyarakat madani (civil society) kumpulan hak asasi dan pertubuhan bukan kerajaan di peringkat global.

6. Menyeru umat Islam supaya membela Masjid al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga paling suci dalam Islam. Kewajipan melindungi masjid tersebut dan tanah suci Baitul Maqdis berada di atas pundak umat Islam seluruh dunia dan bukan menjadi tanggungjawab rakyat Palestin semata-mata.

7. Mengalu-alukan peranan yang dimainkan oleh pelbagai NGO yang menyokong perjuangan rakyat Palestin dan konsisten dalam menyemarakkan kempen solidariti bersama rakyat Palestin. Aqsa Syarif akan terus berganding bahu dengan semua pihak untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia agar menyumbang wang ringgit dan menghulurkan bantuan demi membela rakyat Palestin yang tertindas oleh kekejaman rejim Zionis Israel.

8. Aqsa Syarif juga tidak lupa untuk merafaqkan sembah kepada DYMM Yang Dipertuan Agung dan menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Malaysia yang tidak pernah mengiktiraf negara haram Israel sejak negara mencapai kemerdekaan dan konsisten dalam menyanggah pendudukan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin.

Aqsa Syarif yang bermaksud ‘Masjid Aqsa yang dimuliakan’ didaftarkan di Malaysia sebagai sebuah organisasi berprofil sukarela atas dasar kemanusiaan. Ia membawa empat misi iaitu dengan pelbagai pihak untuk kebaikan Palestin. Aqsa Syarif yang beribu pejabat di Kajang, Selangor boleh dihubungi menerusi nombor telefon 03-7444428, e-mel admin@aqsasyarif.com

sumber

One Comment
  1. Salam….
    pembetulan pada no utk menghubungi aqsa syarif yg tertera di bawah artikel ini…. Nombor yang betul adalah 013-7444428 bukannya 03-7444428 .. harap maklum

    – Rofa
    wakil aqsa syarif zon bandaraya johor bahru

Comments are closed.