Israel Akan Kiamat ?


Benarkah ramalan ini ? Maszlee Malik begitu berani meramalkan masa depan Israel ? Dengan hujah apakah begitu lantang tulisannya kali ini memberi sumpahan celaka terhadap Israel ? Mari kita gali bersama …

“Orang Yahudi tidak akan menghalau orang Yahudi”, begitulah bunyi sepanduk yang diangkat oleh sekumpulan 30,000 penduduk Yahudi ekstrimis dari Majlis pendatang Yesha di dalam salah satu demonstrasi mereka menentang keputusan kabinet Sharon untuk mengundurkan tentera rejim dan lebih kurang 8,000 penduduk Yahudi dari Jalur Gaza. Boleh dikatakan hampir setiap hari, demonstrasi, mogok dan siri-siri bantahan dilakukan oleh penduduk Yahudi di Jalur Gaza dan juga di dalam tanah Palestin yang dijajah (Israel) untuk membantah keputusan yang mereka anggap menyalahi etika malah agama Yahudi. Bagi penentang usaha pengunduran mereka berhujah, bagaimana mungkin orang Yahudi sendiri yang menghalau anak-anak bangsa mereka dari tanah air yang mereka sama-sama imani sebagai “Erez Y izrael” yang dijanjikan Tuhan Yahweh untuk setiap keturunan Ya’kub!, malangnya, bagi mereka, ianya berlaku kini.

Sharon mempertaruhkan nyawanya untuk proses pengunduran kali ini. Apakah muslihatnya ?


Lebih menarik perhatian dunia lagi kini, jika dahulunya mereka sering disajikan dengan gambar-gambar usaha pemusnahan rumah-rumah warga Palestin di Gaza serta penangkapan rakyat Palestin yang menentang usaha kejam tersebut. Kini, dunia dihidangkan dengan gambar-gambar jentolak Catepillar merobohkan rumah-rumah penduduk Yahudi di Gaza sebagai salah satu usaha pengunduran rejim Zionis dari bumi Gaza. “Israel semakin mengecut!”, itulah komen pemimpin-pemimpin perjuangan Palestin, “Dan kecutan itu adalah natijah daripada perjuangan berterusan rakyat Palestin semenjak terletusnya Intifadah 2000”, seperti yang sering diucapkan oleh pemimpin-pemimpin HAMAS seperti Mahmud Zahhar, Abu Zuhri, Usama Hamdan dan lain-lain lagi.

Samada kita bersedia untuk mengiktirafnya ataupun tidak, itulah realitinya. Pengunduran unilateral rejim Zionis dari bumi Gaza bukanlah hasil apa-apa rundingan damai, baik semasa era Arafat, mahupun pasca Arafat. Keputusan kabinet Sharon untuk berundur adalah kerana tekanan yang tidak larat mereka tanggung akibat serangan para pejuang HAMAS, Jihad Islamiyy dan juga sayap ketenteraan Fath, Briged Syuhada al-Aqsa. Selepas pengunduran tentera rejim dari Selatan Lubnan tahun 2000, kemusnahan yang mereka tanggung kini adalah yang paling besar dari segi ketenteraan mahupun ekonomi.

Agak menggelikan hati apabila melihat bagaimana tentera-tentera rejim yang selama ini muncul di kaca-kaca TV dan dada-dada akhbar di seluruh dunia membantai dan mengheret warga Palestin, kini membantai dan mengheret anak-anak bangsa mereka sendiri. Bukan setakat itu sahaja, malah sesetengah “footage” berita sempat menayangkan pergaduhan di antara tentera rejim dengan warga Yahudi yang enggan berpindah dan mempertahankan rumah mereka di Gaza.

Gambar-gambar tersebut dari satu segi memberikan kemenangan moral kepada Sharon di mata dunia. Dunia akan mengatakan “Sharon ikhlas dalam tindakannya”, dunia akan melaungkan “Sharon komited dengan janji-janjinya”, dunia juga akan mendendangkan irama “kedamaian” dan “keamanan” hanya kerana pengunduran tersebut. Tidak mustahil j ika pengunduran itu benar-benar berjaya, Sharon akan dipilih oleh mana-mana majalah tersohor dunia sebagai “Man of The Year”, ataupun “Man of Peace”. Tidak mustahil juga beliau akan memenangi hadiah keamanan nobel.

Rejim Zionis mengimpikan HAMAS di batunisankan !


Walau bagaimanapun Sharon maklum, harga yang terpaksa dibayarnya adalah tinggi. Lihatlah apa yang berlaku pada Yizthak Rabin kerana usaha damainya dengan PA. Itulah harga yang mesti dibayar oleh mana-mana pemimpin Zionis yang ingin menginisiatifkan keamanan dengan pihak Palestin. Sharon akur dengan konsekuensi ini, bukan lagi rahsia beliau menerima ugutan bunuh dari para ekstrimis Yahudi, tetapi beliau mempunyai hadiah yang lebih besar untuk rakyat Yahudi rejim Zionis.

Meskipun kumpulan-kumpulan ekstrimis Yahudi menggugut nyawanya, melakukan keganasan seperti memotong bekalan eletrik dan juga melakukan aksi demonstrasi serta menggugut ingin merempuh dan menawan Masjid al-Aqsa, namun Sharon tetap konsisten dengan pendiriannya. Baginya, natijah protes kumpulan-kumpulan ekstrimis ini tidaklah seteruk beban kerugian yang terpaksa ditampungnya akibat serangan para pejuang Palestin. Persoalannya, apakah muslihat di sebalik pengunduran dari Gaza, dan mengapakan Sharon sanggup memperjudikan nyawanya?

Ternyata dalam hal ini, setiap peristiwa yang berlaku di Palestin tidak boleh dinilai secara parsial, tetapi wajib dilihat secara makro dan menyeluruh. Bukankah dengan pengunduran tersebut dan juga penyerahan kuasa pentadbiran Gaza sepenuhnya pada PA akan mencetuskan pergolakan dalaman bagi pihak Palestin jika mereka (rakyat Palestin) tidak berhati-hati. Lihatlah bagaimana Sharon memperlekehkan dan memarahi Mahmoud Abbas lewat pertemuan mereka pada pertengah Jun 2005 di Tel Aviv.

Bagi Sharon, Abbas adalah umpama kulinya yang sepatutnya bertugas untuk menghancurkan golongan pejuang kemerdekaan Palestin samada dari kumpulan HAMAS, Jihad Islamiyy, mahupun dari fraksi Fatah sendiri. Gencatan senjata oleh kumpulan-kumpulan terbabit sahaja tidak cukup buat Sharon. Dia m ahukan lebih daripada itu, dia mahukan penangkapan besar-besaran, dia mahukan HAMAS dan Jihad Islamiyy terus dilucutkan senjata mereka dan terus terkubur. Dia mahukan kesemua rakyat Palestin tunduk dan akur dengan apa sahaja keputusan rejim Zionis hatta terpkasa menggadaikan hak mereka untuk kembali berdasarkan resolusi 194 PBB.

Dia mahukan HAMAS tidak akan berjaya mendapatkan walau satu kerusi pun di dalam pilihanraya legaslatif yang akan datang (atas dasar inilah Abbas menangguhkan pilihanraya tersebut). Beliau tahu, itu semua tidak akan berlaku, kerana majoriti rakyat Palestin berada di dalam mood perjuangan dan penentangan, makanya, dia mengharapkan PA akan melakukan sesuatu yang agresif dan akan menimbulkan peperangan saudara di antara fraksi-fraksi perjuangan Palestin. Beliau juga amat arif, jika pejuang-pejuang Palestin bertelingkah, maka pihak rejim akan dapat menumpukan usaha mereka membina semula keamanan di dalam wilayah Palestin yang dijajah (Israel) dan juga dapat menu mpukan usaha mereka mendapat pengiktirafan dunia di atas inisiatif “kedamaian”nya.

Usaha pengunduran juga, jika dilihat telah dapat mengaburi mata masyarakat dunia dan juga kuasa-kuasa Eropah dari usaha jahat mereka meneruskan pembinaan “tembok pemisah” di Tebing Barat yang telah diisytiharkan oleh ICJ sebagai tidak sah dan berbau perkauman serta wajib diruntuhkan. Sehingga kini, usaha pembinaan tembok masih diteruskan, dan dunia seolah-olah lupa terhadap perkara tersebut. Begitu juga dengan usaha mereka memperluaskan penempatan Yahudi di Baitul Maqdis, contohnya di Ma’leya Adonim. Walaupun bantahan dari pihak antarabangsa terhadap usaha tersebut, namun dengan silap mata pengunduran dari Gaza, pihak rejim berjaya mengaburkan pandangan orang ramai dan meneruskan perluasan kawasan penempatan haram itu.

Isu Tembok Haram semakin dilupakan !!

Lebih menakutkan lagi, dengan pertamba han penempatan Yahudi di Baitul Maqdis, ianya akan menenggelamkan dan sekaligus menyaksikan kepupusan demografi Arab (Kristian dan Muslim) di kawasan suci tersebut. Bukankah ini lebih berbaloi daripada menyaksikan tentera-tentera mereka gugur setiap hari di Gaza?

Walau apapun yang berlaku, yang pasti tindakan Sharon ini merupakan titik tolak kepada perubahan besar yang akan berlaku di dalam senario konflik Israel-Palestin. Samada Sharon bersedia ataupun tidak, kesatuan rakyat Israel sudah mula meretak, dan hanya menantikan saat untuk terbelah. Jika mereka mengharapkan peperangan saudara yang berlaku di kalangan rakyat Palestin boleh dielakkan oleh pihak-pihak yang terlibat, beliau belum tentu lagi mampu untuk mengelakkan peperangan saudara di kalangan warga Israel berketurunan Yahudi.

Sesuatu yang diketahui umum ialah, kebanyakan golongan ortodoks dan ekstrimis Yahudi yang berhijrah ke Palestin terutamanya selepas peperangan 1967 percaya bahawa Erez Yizrael adalah bumi yang dijanjikan Tuhan untuk mereka dan ianya akan bert ambah luas berkembang selari dengan janji Tuhan kepada mereka, iaitu dari sungai Nil ke sungai Euphrates. Mereka-mereka ini tidak akan redha dengan apa-apa tindakan yang akan mencacatkan janji tersebut dengan apa alasan sekalipun.

Jika dasar Sharon ini berterusan, terutamanya menjelang bulan Ogos nanti, tidak mustahil peperangan saudara di kalangan warga Yahudi di Israel akan tercetus. Mungkin ramalan mendiang Dr. Israel Shahak di dalam bukunya “Jewish Fundamentalism in Israel” bahawa kemusnahan projek Zionis yang bernama Israel ini adalah kerana pergolakan dalaman mereka sendiri akan menjadi kenyataan!