Robohkan Masjid Aqsa !

Mungkin telinga kita saban hari mendengar berita Masjid Aqsa ingin dirobohkan dan yang hairannya masjid tersebut masih lagi teguh berdiri. Lalu kita akan membuat konklusi bahawa Yahudi hanya mengertak sahaja atau sengaja ingin publisiti murahan seperti kebanyakan artis? Malaysia agar nama terus segar dan harum. Tapi adakah Yahudi main2 atau benar tersemat di hati mereka masjid Aqsa wajid di robohkan ??? Maszlee Malik membongkar ….

Ancaman yang dihadapi oleh Masjid al-Aqsa bukanlah sesuatu yang rahsia lagi. Samada ianya diumumkan secara rasmi, ataupun ianya terjasad di dalam artikel-artikel, kajian-kajian, tesis-tesis dan juga kenyataan-kenyataan akhbar. Usaha kumpulan-kumpulan pengganas (yang sering digelar oleh media sebagai ekstrimis Yahudi) untuk merobohkan masjid al-Aqsa dan menggantikannya dengan Haykal yang ingin mereka bina demi menyambut kedatangan Messiah (penyelamat) juga bukanlah sesuatu yang rahsia lagi. Keputusan kabinet Sharon berkaitan pengunduran dari Gaza sendiri telah menyebabkan kumpulan-kumpulan tersebut bertambah agresif dan bertambah berani. Tahun 2005 (dari Januari sehingga September) sahaja telah menyaksikan enam ancaman yang diumumkan secara rasmi dengan liputan media antarabangsa bahawa mereka akan melancarkan serangan ke atas masjid al-Aqsa.


Yahudi berfahaman Zionis benar2 ingin melihat binaan Masjid Aqsa menyembah bumi


Siapakah kumpulan-kumpulan pengganas Yahudi tersebut? Di dalam artikel ini, para pembaca akan diperkenalkan dengan kumpulan-kumpulan utama dan yang paling berpengaruh di dalam usaha untuk merobohkan masjid al-Aqsa dan membina kembali Haykal yang mereka idam-idamkan tersebut. Sesuatu yang menarik mengenai kumpulan-kumpulan ini, mereka semuanya bergerak secara rasmi dan secara halal dan dilindungi oleh undang-undang negara rejim Zionis. Setiap kumpulan tersebut juga mempunyai tugas masing-masing yang khusus berkaitan dengan keperluan dan tuntutan pembinaan Haykal yang ingin dibina itu. Ada di antara kumpulan-kumpulan tersebut dikhususkan untuk mengumpulkan dana, ada yang bertugas untuk menyampaikan kesedaran kepada warga Yahudi di seluruh dunia mengenai kepentingan Haykal yang ingin dibina, ada yang bertugas untuk mempraktikkan upacara-upcara ibadat yang akan dijalankan di dalam Haykal dan diajarkan secara turun temurun kepada puak-puak Yahudi tertentu yang ditugaskan untuk menjadi penjaga Haykal secara warisan, ada yang berperanan untuk melobi media, ada yang berperanan menjalankan kajian-kajian ilmiah untuk tujuan tersebut, ada yang berperanan untuk melakukan kerja-kerja arkeologi untuk mencari kesan-kesan Haykal dan pelbagai lagi. Kesimpulannya kumpulan-kumpulan pengganas ini bertugas siang dan malam untuk mencapai cita-cita mereka.

Antara kumpulan-kumpulan pengganas tersebut ialah:
1) Temple Mount Rabbinical Court

Ianya merupakan sebuah pertubuhan pengganas Yahudi yang bermotifkan agama. Mereka bergerak di kalangan rabbi-rabbi Yahudi yang beriman dengan kewajipan menegakkan Haykal sebelum kedatangan Messiah dan bukan selepas kemunculannya. Mereka mempunyai pengaruh yang amat signifikan ke atas golongan terpelajar agama Yahudi. Ianya dianggotai oleh para rabbi yang begitu obses untuk mendirikan semula Haykal, seperti Dov Lior, Nahman Kahane dan Israel Ariel. Pada bulan Ogos 2000, pertubuhan in telah mengeluarkan fatwa mereka kepada orang-orang Yahudi untuk merempuh masuk ke dalam kawasan di dalam masjid al-Aqsa yang mereka dakwa sebagai tapak Haykal yang dijanjikan Tuhan Yahweh untuk bangsa Yahudi.

2) Ateret Cohanim

Merupakan sebuah “non-profit” NGO (Amutot) yang bertugas untuk membeli tanh-tanah dan segala hartanah di al-Quds dan juga kawasan sekitar “Mount of Temple” (masjid al-Aqsa). Mereka berpusat di al-Quds dan aktif membeli hartanah dari kalangan warga Arab yang materialistik.

Ditubuhkan oleh anggota kumpulan Yeshivat HaGolan pada tahun 1978 sebagai Yeshiva (pusat pengajian agama Yahudi) untuk mempelajari hukum-hakam berkaitan dengan kohanim dan upacara penyembelihan. Dua kali dalam setahun, iaitu ketika perayaan “Passover” dan juga perayaan “Sukkoth”, pertubuhan ini dan juga kementerian agama milik rejim akan bersama mempelajari dan mengulangkaji semula hukum-hakam berkaitan dengan Haykal dan upacara ritual di dalamnya. Rabbi Shlomo Aviner, iaitu rabbi di dalam pertubuhan ini mengatakan bahawa pengajian mengenai Haykal adalah untuk menjadikan Haykal itu sentiasa bersama dengan orang-orang Yahudi di dalam jiwa, spiritual dan intelektual mereka sebelum ianya dibina.

3) Shofar Benim

Sebuah kumpulan pengganas radikal yang mempunyai persenjataan dan mengambil pendekatan yang radikal untuk membina semula Haykal. Kumpulan ini mempunyai rangkaian kerjasamanya dengan kumpulan-kumpulan radikal sepertinya, antaranya ialah kumpulan YESHA (singkatan dari perkataan Yehuda, Samaria dan Gaza), kumpulan Zo Artzenu, Mateh MAAMATZ dan juga beberapa kumpulan-kumpulan lain yang dianggotai oleh individu-individu dan juga para hakham Yahudi.

4) Shocharey HaMikdash (Temple Lovers Group)

Ianya merupakan sebuah pertubuhan yang menghimpunkan di bawah organisasinya beberapa pertubuhan Yahudi lain yang mempunyai aspirasi untuk membina kembali Haykal. Ianya juga dianggap sebagai pertubuhan yang paling berpengaruh di kalangan kumpulan-kumpulan radikal dan pengganas Yahudi yang bergerak di dalam negara haram Israel. Pertubuhan ini diketuai oleh Profesor Hillel Weiss. Menurut kata Yehuda Etzion, seorang aktivis radikal Yahudi, cita-cita pertubuhan ini adalah untuk menghimpunkan semua kumpulan pengganas Yahudi yang bercita-cita untuk membina Haykal di bawah satu payung front yang besar agar semua usaha mereka dapat diselaraskan. Antara individu yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam organisasi ini ialah Hakham Baruch Kahane, anak kepada Hakham Meir Kahane, pengasas kumpulan radikal dan pengganas yang paling agresif di dalam negara rejim Zionis, iaitu kumpulan “Kach”. Ketika perhimpunan agungnya pada tahun 1999, kumpulan ini telah dibiayai oleh Kementerian Agama di dalam kerjaan rejim Zionis. Pada asal penubuhannya pertubuhan ini kurang mendapat sambutan, sehinggalah lima tahun kebelakangan ini, keahliannya meningkat secara mendadak dan mendapat sokongan dari ramai rakyat rejim.

5) The Temple Establishment Movement

Di awal penubuhannya ia diketuai oleh David Elbaum. Kini ianya diketuai oleh Raabi Yosef Elbaum. Aktivisnya yang paling menonjol ialah Yoel Lerner. Pertubuhan ini ditugaskan khas untuk menjaga dan mengajarkan kepada para penjaga Haykal tatacara ibadat di dalam Haykal. Para penjaga Haykal dipilih berdasarkan keturunan mereka. Mereka juga pada asal penubuhannya telah mengkaji dan menyusun semula tatacara ibadat-ibadat yang sepatutnya dilakukan di dalam Haykal. Ini adalah sesuatu yang rumit, kerana orang Yahudi telah kehilangan apa yang mereka dakwa sebagai “Haykal” (kedua) semenjak hampir 2000 tahun yang lalu. Mereka juga pada waktu ini sedang mempersiapkan pakaian para kohanem (paderi) dan rabbi yang akan berkhidmat di dalam Haykal, menyiapkan segala perhiasan-perhiasan di dalam Haykal, dan juga menyusun jadual kerja para Kohanem.

6) Machon HaMikdash (Temple Institute)

Ditubuhkan pada tahun 1983 oleh Rabbi Israel Ariel, Moshe Neiman dan Michael Ben Horin di kawasan penempatan Yahudi di dalam kota Baitul Maqdis. Pada tahun 70’an, Rabbi Ariel merupakan orang nombor dua di dalam gerakan Kach, tetapi di dalam tahun 1980 beliau telah dikeluarkan dari pertubuhan tersebut kerana telah muncul dengan ide yang radikal berkenaan pembinaan semula Haykal. Di dalam konfrens Haykal yang diadakan pada tahun 1998 di International Conference Center di Baitul Maqdis, beliau telah menyeru agar para peserta menyertai konfrens itu pada tahun berikutnya. Pada tahun berikutnya, beliau telah datang dengan memakai baju pekerja buruh binaan dengan katanya “saya bersedia untuk membinanya sekarang!”. Tindakan beliau ini didorong oleh idenya bahawa Haykal mestilah dibina sekarang dan bukannya dibina oleh Messiah. Neiman dan Ben Horin juga mempunyai aspirasi yang sama dengan Ariel dan juga mantan ahli pertubuhan Kach yang aktif. Pertubuhan ini telah membina pasu (balang) untuk mengisi kitab suci (200 cemmendments) mereka yang hanya boleh digunakan apabila terbinanya Haykal sahaja. Pertubuhan ini mendapatkan dana mereka dari kementerian pelajaran dan juga kementerian pendidikan rejim Zionis. Kumpulan ini menerima bantuan tenaga dan dana juga daripada pertubuhan Sherut Leumi, iaitu pertubuhan wanita-wanita bergama Yahudi. Mereka juga menerima bantuan daripada pertubuhan-pertubuhan Kristian Protestan yang bercita-cita menubuhkan Haykal dari Amerika dan juga Eropah.

7) Hai Ve Kayam (Enduring)

Ditubuhkan pada tahun 1990 oleh sekumpulan aktivis radikal dan pengganas Yahudi bawah tanah , antara mereka ialah Yehuda Etzion dan juga Sekumpulan ekstrimis dari kawasan penempatan Yahudi di Bat Ayin di Gush Etzion. Kumpulan ini mendakwa bahawa mereka adalah kumpulan yang telah ditugaskan oleh Tuhan untuk membina semula kegemilangan “Negara Israel” dan mereka juga mendakwa bahawa kehidupan mereka adalah berdasarkan adat istiadat “Haykal ketiga”. Antara aktivis mereka yang terkenal juga ialah Yoav Lerner, orang yang bertanggungjawab menubuhkan gerakan radikal bawah tanah Yahudi ekstrimis yang bernama Gal. Kumpulan Gal ini mempunyai matlamat menubuhkan sebuah negara “agama” Yahudi berdasarkan ajaran Halachah dan juga bercita-cita untuk meletupkan masjid al-Aqsa yang didakwa sebagai sebuah bangunan “haram” yang didirikan di atas tanah Haykal. Beliau telah ditangkap sebanyak tiga kali oleh pihak rejim kerana percubaan meletupkan masjid al-Aqsa dari tahun-tahun 70’an sehingga tahun -tahun 90’an. Antara anggota lain kumpulan Hai Ve Kayam yang terkenal juga adalah tokoh-tokoh radikal dan pengganas Yahudi seperti Kapten Moti Karpel, Noam Livnat (saudara Limor Livnat) yang merupakan seorang penuntut di sebuah institut pengajian agama Yahudi radikal yang terkenal yang bernama “Joseph’s Tomb Yeshiva” di Hebron.


Luaskan rongga pemikiran kita melihat isu Palestin ini !


8) El Har Hamor (To Mount Hamor)

Sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh ahli akademik dari kawasan penempatan Yahudi di Yitzhar. Di antara anggota mereka ialah Rabbi Yizthak Shapira, Rabbi Dudi Dudakvich, Shay Dawim dan juga Rabbi Yossi Plai (anak Menachem Felix)

9) The Temple Women

Sebuah pertubuhan yang diketuai oleh Michal Aviezer, seorang suri rumah dan juga salah seorang petugas di mahkamah rabbinik (agama Yahudi) dan juga salah seorang penduduk Kiryat Shmuel berdekatan dengan Haifa. Kumpulan ini bertanggungjawab mengumpulkan emas-emas dan juga batu permata sebagai persiapan untuk pembinaan Haykal. Emas dan batu permata yang dikumpulkan itu disimpan di tempat simpanan milik Machon HaMikdash.

10) Lechatchila (At The Beginning)

Sebuah pertubuhan yang diketuai oleh Rabbi Moshe Feiglin. Mereka berusaha mengumpulkan warga Yahudi untuk bermastautin di sekitar kawasan “Bukit Haykal” (Temple Mount) iaitu sekitar kawasan masjid al-Aqsa. Ini selaras dengan prinsip mereka bahawa Haykal hanya akan dibina oleh usaha kaum Yahudi di waktu ini dan bukannya setelah kedatangan Messiah.

11) Mishnarot HaMikdash (The Temple Work Shifts)

Satu lagi pertubuhan yang ditubuhkan oleh Yehuda Etzion. Beliau menubuhkannya bersama dengan Moshe Feiglin. Penubuhannya diilhamkan melalui pertemuan keduanya di jalan Misgav Ladach, berdekatan dengan “Temple Institute” di Baitul Maqdis. Tujuan penubuhan kumpulan ini adalah untuk menyediakan pengawal-pengawal pintu masuk ke Haykal yang berjanggut dan berbaju kemeja putih berdasarkan periwayat dari Talmud berkaitan pakaian pengawal Haykal di zaman silam. Mereka telah memulakan tugasnya sedari awal penubuhannya sehingga kini. Ianya adalah bertujuan untuk meneruskan tradisi tersebut sehinggalah robohnya masjid al-Aqsa dan terbinanya Haykal yang mereka impikan itu. Kumpulan ini juga bertindak sebagai pengawal kepada para pengunjung berbangsa Yahudi ke dalam kawasan al-Haram al-Sharif (masjid al-Aqsa) ke jarak yang mereka dibenarkan masuk. Tugas itu menurut mereka, adalah selari dengan ajaran Talmud dan juga sebagai penghormatan untuk berkhidmat kepada Haykal.

12) Mishmarot HaKohanim (The Kohanim’s Preserves)

Pertubuhan ini ditubuhkan oleh ahli keluarga Cohen yang mendakwa bahawa mereka adalah daripada keturunan Lawi (Levi dalam bahasa Ibrani, iaitu salah seorang daripada abang Nabi Yusuf) yang bertanggungjawab menjadi paderi-paderi (Kohanim) di dalam Haykal dan paling layak menjalankan upacara-upacara ibadat kaum Yahudi di dalamnya. Mereka telah melatih para kohanim semenjak mereka kecil lagi dan berterusan melatih generasi berikutnya walaupun sehingga kini Haykal masih belum lagi wujud. Untuk melatih kohanim-kohanim yang dipilih, setiap anggota masyarakat yang terlibat dengan usaha pembinaan Haykal akan bertanggungjawab menjaga kohanim dari keturunan Cohen yang ada bersama dengan mereka. Setiap Kohanim pula sentiasa bersedia melakukan semua upacara yang sepatutnya dilakukan di dalam Haykal selaras dengan motto mereka: “At The Time The Command Is Given”.

Antara latihan upacara ritual yang diberikan latihan kepada para kohanim ialah upacara penyembelihan, cara membina Haykal, cara menyucikan dan membersihkan Haykal, cara mempersembahkan sembelihan, cara bermain muzik dengan laat-alat muzik yang diperlukan sewaktu upacara ibadat mereka dan laijn-lain lagi urusan dalam Haykal. Di dalam usaha berlatih menyembelih haiwan-haiwan korban yang akan dilakukan di dalam Haykal, mereka telah dibekalkan dengan patung-patung haiwan dari plastik oleh seorang Yahudi Amerika di Texas yang memiliki kilang plastik melalui penduduk Mitzpeh Yericho. Di Mitzpeh Yericho juga mereka telah membina sebuah bangunan model Haykal yang mempunyai keluasan (187 meter X 187 meter) dan rekaan seperti Haykal yang ingin dibina. Buat sementara ini pembinaan dan usaha melengkapkan model tersebut dihentikan buat sementara waktu kerana keputusan dana dan juga protes dari golongan Rabbi yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

Walau bagaimanapun, Mitzpeh Yericho telah menjadi “kolel” (tempat pengajian agama bagi Yahudi lelaki yang telah berkahwin) yang dikhususkan untuk pengajian mengenai Haykal. Mereka semua dibimbing oleh ketua rabbi di sana, iaitu Rabbi Yehuda Kreuzer. Projek pembinaan model Haykal di sana pula diusahakan sepenuhnya oleh Moshe Neiman, termasuklah mencari dana untuk tujuan tersebut. Rabbi Kreuzer tidak banyak mendedahkan perancangannya dan amat berhati-hati dengan para wartawan dan kurang bercampur dengan orang kebanyakan. Apabila diwawancara oleh ramai orang, dia hanya menjawab: “To Be Ready When The Command Is Given”.

13) Ne’emaney Har HaBayit (Temple Mount Faithful)

Sebuah pertubuhan radikal dan pengganas yang diasaskan oleh Gershon Solomon. Kumpulan ini bergerak secara sendirian dan tidak bersama dengan pertubuhan-pertubuhan radikal yang lain dalam usaha membina Haykal. Solomon sendiri telah mendapatkan sebilangan besar dana pertubuhan ini daripada komuniti Kristian di AS dan Eropah yang beriman bahawa peperangan dengan Gog and Magog (Yakjuj dan Makjuj) sedang berlangsung kini dan sudah sampai masanya Haykal dibina semula demi menyambut kedatangan kedua Jesus. Ketika diwawancara, Solomon mendakwa bahawa lebih kurang 10,000 Kristian dari serata dunia termasuk dari negara-negara umat Islam telah menyertai pertubuhan ini. Di dalam “negara Israel” pula, menurut dakwaan Solomon lagi, seramai 10,000 yang lain telah mendaftarkan diri sebagai ahli pertubuhannya.

14) Amutot (NGO) for settling Jerusalem (Jerusalem Forum)

Jerusalem Forum adalah sebuah pertubuhan yang berusaha membina penempatan yahudi di sekitar kota Baitul Maqdis. Antara kawasan yang telah mereka usahakan dan ditukarkan menjadi kawasan penempatan Yahudi ialah kawasan Beit Orot, Elad, Ateret Cohanim, Ateret L’yoshna dan lain-lain lagi. Kebanyakan daripada mereka yang mendiami kawasan-kawasan yang diusahakan oleh Amutot adalah merupakan para aktivis organisasi Temple Mount.

15) Beit Orot

Diasaskan oleh Hanan Porat dan Benny Alon, yang sekarang ini menjadi ahli parlimen di dalam knesset rejim Zionis. Mereka mewakili golongan sayap kanan radikal di dalam knesset tersebut dan sering menjadi jurucakap golongan radikal. Rabbi bagi pertubuhan ini ialah Elhanan Ben Nun, saudara kepada Yoel Ben Nun, pemimpin golongan nasionalis-radikal yang moderat dan jurucakap mereka.

16) Amutat Elad

Mereka beroperasi di Ir David yang terletak di luar tembok masjid al-Aqsa sekarang ini. Ianya diketuai oleh David Barry dan memisahkan diri mereka dari para rabbi serta bersikap liberal. Mereka tidak mahu terikat dengan kawalan para rabbi walaupun mereka berusaha untuk mendirikan Haykal.

17) Ateret Leyoshna

Sebuah organisasi amutot (NGO) yang tidak berapa aktif berbanding dengan pertubuhan-pertubuhan radikal yang lain. Ianya menjadi terkenal kerana penasihat spritualnya, iaitu Rabbi Avigdor Nevatsal, mantan rabbi di penempatan Yahudi di dalam kota lama Baitul Maqdis.

18) Shuvu Banim

Mereka adalah kumpulan pengganas radikal Yahudi yang mendiami kawasan penempatan muslim di dalam kota Baitul Maqdis. Kebanyakan anggota kumpulan ini adalah mantan banduan dan penjenayah, tentera-tentera veteran, belia bermasalah dan juga para samseng yang tidak takutkan sesiapa tetapi didoktrinkan untuk membina semula Haykal. Ianya dikategorikan oleh banyak pihak sebagai pertubuhan radikal, pengganas ekstrimis yang paling berbahaya. Anggota kumpulan ini banyak dipengaruhi oleh pemimpin berkarisma mereka, Rabbi eliezer Berland. Mereka didoktrinkan dengan ideologi fahaman melampau, faham nasionalis radikal, latar belakang jenayah, pemikiran massionic, kebencian yang melampau dan lain-lain unsur yang cukup untuk mendorong mereka melakukan apa sahaja jika terdesak tanpa mengira risiko. Mereka juga mempunyai kebencian yang mendalam terhadap bangsa selain Yahudi, terutamanya terhadap umat Islam.


Hanya batu sahaja perisai demi mempertahankan masjid Aqsa yang diberkati Allah

19) Hara’ayon Hayehudi (The Jewish Idea)

Ia merupakan cabang daripada kumpulan Kach. Ia masih bergerak aktif walaupun setelah diisytiharkan haram oleh pihak rejim kerana ideologi rasikal melampaunya. Mereka mempunyai Yeshiva mereka sendiri di Shmuel Hanavi di dalam bandar Baitul Maqdis. Mereka mempunyai organisasi luaran berdaftar yang dinamakan Hazit Hara’ayon (the ideologocal front), yangmana salah seorang daripada aktivis mereka adalah Itamar Ben Gvir, salah seorang aktivis radikal Yahudi yang bersuara lantang. Mereka mempunyai majalah mereka sendiri yang dinamakan “The Youth of Jewish Sovereignity”. Kollel mereka diketuai oleh Rabbi Nahman Kahane, saudara kepada Rabbi Meir Kahane. Ia juga pernah diketuai oleh Binyamin Kahane, anak Meir Kahane. Anggota mereka memainkan banyak peranan penting di dalam “Temple Organization”. Sewaktu perhimpunan “The Feast of the Temple” pada tahun 1997 di baitul Maqdis, anggota kumpulan ini telah menyebarkan risalah mereka kepada anggota perhimpunan yang bertajuk “To remove and eliminate…It is enough, we are fed up. The time has come to do what should have been done a long time ago. Government of Israel, remove the Gentiles and the Arabs from the Temple Mount” (Untuk mengalihkan dan memusnahkan…sudah cukup, kami sudah bosan. Masanya telah tiba untuk kita melakukan apa yang sepatutnya dilakukan semenjak dahulu lagi. Kerajaan Israel, pindahkan para Gentiles (bangsa selain Yahudi) dan Arab dari bukit Haykal).

YEHUDA ETZION, Aktivis radikal Yahudi: Saya tidak dapat memikirkan bila dan bagaimana masjid (al-Aqsa akan dirobohkan). Ini sesuatu yang saya tidak dapat bicarakan sekarang ini, namun prinsipnya jelas, saya adalah seorang Yahudi. Kami pasti kembali dan membina kembali ??.di bukit Haykal, dan kemudiannya, Tuhan akan menerima kami semua.

Rujukan:

Shahak, Israel et. al.(1999), Jewish Fundamentalism in Israel, London: Pluto Press., hal. 44-78.

‘Awwad, Mahmud (2004), Iqamat al-Haykal al-Maz’um, I’laan al-Harb al-Diniyyah, Amman: Mansyurat al-Lajnah al-Malakiyyah Li Syuun al-Quds, hal. 89-96.

Dr Abd Wahab el-Masiri, Ahzab wa Jamaat Yahudiyah li bina al-Haykal, di www.palestine-info.com.

Laporan Targeting The Temple Mount, oleh Keshev (The Centre For Protection of Democracy in Israel), Januari 2001.