Kemaluan saya dipukul …

“Kali pertama saya ditangkap adalah pada tahun 1983. Algojo yang menyiksa saya telah memukul kemaluan saya menggunakan belantan getah yang telah menyebabkan saya menderita kesakitan yang teramat sangat. Kali kedua saya ditahan pula, saya telah diletakkan di dalam sebuah sel yang kecil dan amat sejuk.
Ini hanya secebis pengalaman dari bekas tahanan rakyat Palestin yang merupakan saudara kita. Mungkin kita tidak biasa mendengar bagaimana Zionis melayan tahanan Palestin. Maszlee Malik secara esklusif membawa untuk anda semua.

“Israel telah memulakan usaha damai!”, “Sharon wira keamanan”, “Israel patut diiktiraf”, “Rakyat Palestin mesti menghormati usaha damai Israel”, merupakan di antara slogan-slogan dan laungan-laungan yang tipikal pasca pengunduran tentera rejim Zionis dan juga penduduk-penduduk Zionis dari bumi Gaza. Pengunduran mereka daripada kurang 10% keluasan keseluruhan bumi Palestin yang dijajah semenjak tahun 1948 tiu telah dijadikan sesuatu “yang besar” dan begitu “hebat” untuk mengatakan bahawa rejim tersebut komited dengan usaha damai. Bagaikan fatamorgana di padang pasir, itulah hakikat usaha unilateral rejim berkenaan yang berjaya memanipulasi kelemahan mereka untuk meraih simpati dunia. Hakikatnya, mereka tidak pernah komited dengan apa yang dinamakan dengan kedamaian, hakikatnya mereka tidak pernah mengimpikan kedamaian dalam erti katanya yang sebenar.

Pengunduran tersebut hanyalah merupakan tindak balas tabi’i hasil perjuangan rakyat Palestin di Gaza yang tidak mengenal erti menyerah kalah demi memerdekakan bumi mereka secara keseluruhannya dari sungai ke laut (dari sungai Jordan sehinggalah ke laut Mediterranean).

Dunia sama sekali tidak mengetahui apakah layanan utk pejuang Palestin di penjara Zionis ?



Bukti yang menunjukkan rejim Zionis tidak pernah ikhlas untuk berdamai ialah pembinaan tembok pemisah yang tetapi diteruskan pembinaannya walaupun Mahkamah Keadilan Dunia (International Court of Justice (ICJ)) telah memutuskan keharamannya dan memerintah agar ianya dirobohkan. Bukti lain lagi ialah perluasan penempatan Ma’aleya Adonim di sebelah timur Baitul Maqdis. Bukti lain lagi mereka tidak ikhlas untuk berdamai ialah keengganan mereka untuk membenarkan rakyat Palestin yang hidup di dalam kem-kem pelarian di Jordan, Lubnan dan Syria serta yanng lain lagi di serata dunia untuk kembali ke bumi asal mereka di bumi Palestin yang dijajah walaupun ketetapan PBB 194 dengan jelas menjamin hak mereka untuk pulang.

Banyak bukti lagi yang dapat menunjukkan bahawa rejim Zionis tidak pernah ikhlas untuk berdamai. Sayangnya ini tidak difahami oleh dunia, malah oleh para pemimpin negara-negara Islam sendiri, termasuk presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Antara bukti yang paling jelas juga rejim Zionis tidak pernah komited dengan usaha damai juga ialah tahanan-tahanan Palestin yang dipenjarakan di dalam penjara-penjara Zionis yang semaki ramai dan tidak dibebaskan walaupun mereka telah ditahan tanpa melalui perbicaraan yang adil dan kebanyakannya ditahan di atas tuduhan-tuduhan palsu.

Penyiksaan

Nasib para tahanan Palestin memang dialpakan langsung oleh dunia, apatah lagi oleh OIC mahupun pihak berkuasa Palestin (PA) sendiri. Bukan hanya sekadar ditahan dan dipenjarakan tanpa melalui perbicaraan yang adil, lebih malang mereka telah disiksa dengan pelbagai jenis siksaan yang tidak dapat dibayangkan ianya berlaku di dalam sebuah negara (haram) yang mengaku mengamalkan demokrasi dan bertamadun.


Kanak2 kehilangan tempat bergantung pabila ayah mereka merengkok dan di siksa di penjara

Menurut akhbar “Washington Post” bertarikh 17/6/2004, di dalam kajian dan liputan mengenai nasib para tahanan Palestin di penjara-penjara Zionis amatlah menyediahkan. Menurut mereka: “Ada di antara para tahanan tersebut yang telah disiksa dengan begitu kejam dan dahsyat, ada di antara mereka yang dipaksa membuang air di dalam seluar, dan ada di antara mereka yang dipaksa untuk berdiri selama berhari-hari, jika tidak mereka akan disiksa dengan kejam”.

Akhbar tersebut juga menyifatkan: “Apa yang dilakukan oleh pihak penjara ini mendapat keizinan dari pihak kerajaan rejim dan rakyatnya”.

Di dalam laporannya yang panjang juga, akhbar tersebut telah menceritakan bentuk-bentuk penyiksaan yang dilakukan di dalam penjara-penjara Zionis tanpa menghiraukan keputusan Geneva Convention berhubung dengan tahanan perang, antaranya: “Para tahanan telah diikat, tubuh mereka dilenturkan pada kerusi yang tidak mempunyai penyandar dan dibiarkan begitu selama berhari-hari. Mereka dilarang daripada tidur, bilik mereka dipasangkan muzik bising yang memekakkan telinga, di samping pendedahan kepada panas yang terik pada musim panas dan kesejukan yang melampau pada musim sejuk. Mereka dipaksa untuk membuang air di dalam seluar mereka, dan ditutup muka mereka dengan pakaian yang busuk serta dipenuhi dengan najis dan juga muntah”.

Antara penjara Zionis dan Abu Ghreib

Di dalam laporan itu juga, akhbar Washington Post telah membuat perbandingan di antara penyiksaan tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas para tahanan perang Iraq di penjara Abu Ghreib berhampiran Baghdad yang mendapat liputan media antarabangsa. Menurut mereka lagi: “Apa yang dilakukan oleh tentera AS di Abu Ghreib, daripada penyiksaan yang melampau, tindakan yang menjatuhkan maruah para tahanan dengan membogelkan mereka, diambil gambar dan juga dicabul kehortmatannya juga berlaku di dalam penjara-penjara Zionis ke atas tahanan Palestin. Bezanya, tentera-tentera Zionis mempunyai kepakaran yang lebih maju dan dahsyat di dalam menyiksa dan mengazab para tahanan berbanding tentera-tentera AS.

Oh! Pemimpin Islam !! Bangun dari kerusi empukmu melihat kami di sini !!


Salah seorang daripada tahanan Palestin yang telah diwawancara oleh akhbar tersebut mengatakan: “Tentera-tentera Israel telah memukul saya dengan parah, mereka telah menghalang saya dari makan, minum dan tidur selama tiga hari. Dalam keadaan yang amat lemah dan lapar, mereka telah memaksa saya untuk memberitahu mereka segala-galanya. Tidak syak lagi apa yang berlaku di Abu Ghreib, adalah apa yang dipelajari oleh tentera AS daripada para algojo Israel!”.

Pihak berkuasa Zionis walau bagaimanapun telah menafikan mereka telah menyiksa para tahanan Palestin. Mereka mendakwa bahawa pihak rejim sentiasa beriltizam dan komited dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di barat. Jika wujud pun keadaan seperti yang dilaporkan, menurut mereka, ianya hanyalah “teknik siasatan di dalam tahanan yang diterima oleh semua!”

Menurut sumber yang sama juga, mereka mendakwa bahawa pihak Mahkamah Tinggi Israel telah mengeluarkan undang-undang yang melarang para tentera dari menyiksa para tahanan di dalam penjara. Walau bagaimanapun, menurut mereka, selepas terletusnya Intifadah 2000, pihak keselamtan Israel (Shabak) telah dibenarkan untuk melakukan penyiksaan fizikal terhadap para tahanan demi menyelamatkan “nyawa rakyat Israel”!. Mereka juga menjustifikasikan tindakan kejam itu dengan menganggapnya sebagai usaha untuk memerangi keganasan yang tidak mengenal erti belas kasihan. Maka, menurut kerajaan rejim, pihak tahanan Palestin adalah para pengganas yang layak untuk menerima penyiksaan sedemikian rupa.

Pengalaman Ziyad (bekas tahanan)

Akhbar tersebut juga telah mewawancara salah seorang aktivis politik Palestin yang telah dipenjarakan selama 14 tahun di dalam penjara Zionis, Ziyad Arafiyyah. Beliau yang telah berkali-kali ditahan mengatakan, bagaimana setiap kali beliau ditahan untuk disoal-siasat, pastinya para tentera Zionis akan menggunakan teknik-teknik yang baru dan pelbagai. Menurutnya: “Pada awalnya, di dalam sesi penyiasatan, tubuh tahanan akan menjadi sasaran pukulan, penyiksaan dan tempat untuk melepaskan geram oleh para algojo. Perkara ini dilakukan secara rutin”.

Menurutnya lagi, “Kali pertama saya ditangkap adalah pada tahun 1983. Algojo yang menyiksa saya telah memukul kemaluan saya menggunakan belantan getah yang telah menyebabkan saya menderita kesakitan yang teramat sangat. Kali kedua saya ditahan pula, saya telah diletakkan di dalam sebuah sel yang kecil dan amat sejuk. Saya akan disimbah dengan air pada setiap sejam, dan saya hanya memakai seluar dalam sahaja. Kali ketiga saya ditahan, saya telah dilarang daripada tidur selama berhari-hari, namun mereka tidak memukul saya” .

Menurut Ziyad lagi, para penyiksa tahanan merupakan mereka yang terlatih dan profesional dari kalangan anggota Shabak. Mereka semua telah dilatih untuk menggunakan tekanan fizikal dan juga mental ke atas para tahanan.

Mengapa isu ini dipandang sepi ?

Sayangnya apa yang didedahkan oleh Washington Post tidak mendapat perhatian dunia sepertimana apa yang telah berlaku kepada tahanan perang Iraq di Abu Ghreib. Pejuang-pejuang hak asasi manusia pun tidak kelihatan bernafsu untuk membawa isu ini ke dalam media arus perdana. OIC pun bagaikan menyepi terhadap isu tahanan Palestin ini, walaupun rejim Zionis dengan jelas telah mencabuli keputusan Konvensyen Geneva berkenaan tahanan perang (Prisoner of War (POW)).

Mungkin kerana apa yang dilakukan oleh para pemimpin Negara-negara Islam terhadap rakyat mereka sendiri jauh lebih dahsyat berbanding dengan apa yang dilakukan oleh rejim Zionis?, ataupun mereka tidak mendapatkan lampu hijau dari AS untuk membicarakan persoalan ini. Kesimpulannya, telah sampai waktu untuk kita rakyat Malaysia pula untuk bersikap peka terhadap isu ini, lebih-lebih lagi yang menjadi tahanan tersebut adalah para pejuang Palesti yang berjuang untuk memerdekakan Masjid al-Aqsa, al-Quds dan juga bumi Palestin yang menjadi milik seluruh umat Islam dan bukan hanya dimiliki oleh Mahmoud Abbas dan konco-konconya sahaja!

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.