50% rakyat rejim Zionis menyokong HAMAS!!!

Khamis , 22/12/2005 – Al-Jazeera melaporkan di dalam satu kajian ringkas yang dilakukan oleh pihak media tempatan rejim Zionis (Israel), 50% dari kalangan rakyat entiti haram tersebut bersetuju untuk kerajaan mereka melakukan rundingan damai dengan HAMAS. 47% pula menolak sebarang rundingan dengan pihak HAMAS, manakala yang selebihnya bersikap berkecuali.

Bagi mereka itu merupakan langkah yang terbaik demi mengekalkan kedamaian di rantau tersebut. Kajian yang dijalankan itu bertujuan untuk melihat prospek damai di rantau berkenaan jika HAMAS memenangi pilihanraya legaslatif Palestin yang berlangsung pada 25 Januari 2006.

Hasil kajian ini amat bertentangan dengan pendirian kerajaan rejim yang menolak sebarang rundingan dengan pihak HAMAS yang didakwa mereka sebagai pengganas. Pada minggu lepas Javier Solanar, ketua Jabatan Hubungan Luar Kesatuan Eropah (EU) telah mengancam akan menghentikan bantuan kewangan daripada EU kepada kerajaan tempatan Palestin jika HAMAS memenangi pilihanraya tersebut.

Kenyataan Solanar itu telah dibidas oleh semua pihak dari kalangan rakyat Palestin yang melihatnya sebagai campurtangan kuasa luar dan juga pencabulan hak rakyat Palestin untuk memilih pemimpin mereka berdasarkan prinsip demokrasi.

HAMAS dilihat sebagai fenomena baru yang akan mencorakkan suasana politik rakyat Palestin di masa akan datang. Ini disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah perpecahan dalaman Fatah, parti pemerintah, terutamanya di antara generasi lama dan juga generasi baru mereka.

Fatah yang telah mengemukakan calon-calon yang akan bertanding di dalam pilihanraya tersebut telah tergugat apabila sayap pemuda mereka meletakkan senarai pencalonan yang lain sebagai calon-calon bebas untuk mencabar calon-calon Fatah di dalam pilihanraya berkenaan. Sayap pemuda Fatah diketuai oleh tokoh HAMAS yang kini meringkuk di dalam penjara rejim Zionis untuk hukuman penjara seumur hidup, Marwan al-Barghouti.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.