Kemenangan HAMAS : Wawancara Eksklusif Bersama Dr Azzam Tamimi

Usai kemenangan HAMAS, wartawan palestinkini.info, saudara Maszlee Malik telah berpeluang untuk menemu ramah Dr Azzam Tamimi (gambar), Pengarah Institute of Islamic Political Thought (IIPT), UK. Beliau yang berada di Nagoya, Jepun terpaksa bergegas pulang ke London sejurus kemenangan HAMAS untuk diwawancara oleh pelbagai pihak.

Beliau juga telah dijemput untuk membuat wawancara dan ceramah oleh pihak media di UK mengenai kemenangan HAMAS, prospek, masa depan dan juga cabaran yang akan dihadapi oleh rakyat Palestin. Berikut adalah wawancara beliau bersama wartawan palestinkini.info melalui telefon mengenai persoalan-persoalan yang lazim ditanyakan berkaitan dengan kemenangan HAMAS.

MM : Maszlee Malik
AT : Azzam Tamimi

MM: Assalamualaykom, Tahniah di atas kemenangan HAMAS di Palestin!

AT: Tahniah adalah untuk rakyat Palestin dan kemenangan tersebut juga bukan hanya untuk HAMAS, tetapi kemenangan rakyat.

MM: Anda juga rakyat Palestin?

AT: Ya, tetapi saya tidak mengundi…kerana saya dan keluarga saya telah lama dihalau keluar dari Palestin oleh Zionis.

MM: Dr. Azzam, pada pendapat anda, mengapakah HAMAS memenangi pilihanraya legaslatif PA pada 25 Januari yang lalu?

AT: HAMAS memenangi pilihanraya berkenaan kerana empat faktor utama:

HAMAS juga dikenali sebagai kumpulan orang-orang yang jujur, amanah, baik dan profesional di dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut.


1.Komitmen HAMAS di dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. PLO suatu waktu dahulu juga telah mendapat sokongan rakyat Palestin kerana perkara yang sama. Sayangnya apabila mereka menukar corak perjuangan dengan mengambil sikap berkompromi dengan Zionis, mereka telah ditolak. Tindakan mereka telah dilihat sebagai menggadaikan usaha perjuangan kemerdekaan dan juga menafikan hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka. Majoriti rakyat Palestin tidak akan mengiktiraf perompak dan penyamun yang merampas tanah air mereka untuk wujud sebagai sebuah negara. Inilah juga pendirian HAMAS.

2.Usaha-usaha kebajikan HAMAS untuk masyarakat, samada di dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan. HAMAS juga dikenali sebagai kumpulan orang-orang yang jujur, amanah, baik dan profesional di dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut.


HAMAS telah melalui pelbagai percubaan untuk mewujudkan peperangan saudara di antara mereka dengan fraksi-fraksi yang lain.


3. Ini jugalah yang tidak dimiliki oleh PLO dan juga Fatah. Mereka lebih dikenali sebagai orang-orang yang tamak kuasa, korupsi dan juga perpecahan dalaman.

4.Faktor lain juga ialah imej Islam moderat HAMAS. Faktor ini memainkan peranan yang amat besar, kerana kebanyakan rakyat Palestin adalah orang yang kuat pegangan agama. Rakyat Palestin telah muak dan hilang kepercayaan kepada cara sekular dan juga nasionalis Arab yang gagal membawa umat Arab ke mana-mana.

MM: Apakah pandangan anda tentang data pandangan umum Palestin baru-baru ini selepas pilihanraya. Data tersebut menunjukkan 84% rakyat Palestin mahukan HAMAS berunding dengan rejim Zionis?

AT: Saya tidak pernah percayakan pungutan suara umum seperti ini dan yang seumpama dengannya. Sebagai bukti, sebelum pilihanraya yang lalu pelbagai kajian pungutan suara ramai telah diadakan. Kesemuanya menunjukkan HAMAS tidak akan memenangi pilihanraya dengan keputusan majoriti. Ternyata semuanya silap!, saya konsisten bahawa HAMAS telah dipilih kerana usaha bersenjata mereka dan akan komited dengan usaha tersebut jika Zionis menolak tawaran mereka untuk melakukan gencatan senjata bersama untuk tempoh yang panjang.

MM: Patutkah HAMAS menubuhkan kerajaan mereka sendiri?, atau patutkah mereka melibatkan pihak-pihak lain?

AT: Yang sebaiknya bagi rakyat Palestin ialah kerajaan yang diterajui oleh HAMAS, tetapi disertai oleh kabinet teknokrat yang dianggotai oleh menteri-menteri yang baik serta berkelayakan tanpa mengira latar belakang ideologi dan politik mereka. Rakyat Palestin harus bersatu di bawah satu kerjaan tanpa mengira fraksi ataupun parti-parti tertentu. Walau bagaimanapun, jika ianya sukar, kerana Fatah dan fraksi-fraksi lain enggan turut serta, maka HAMAS haruslah menerajui kerajaan tersebut bersendirian.

MM: Pada hemat anda, adakah kemenangan HAMAS akan membawa kepada peperangan saudara?, apa yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Fatah menunjukkan seolah-olah perang saudara bakal tercetus.

AT: HAMAS telah melalui pelbagai percubaan untuk mewujudkan peperangan saudara di antara mereka dengan fraksi-fraksi yang lain. Di dalam banyak keadaan HAMAS berjaya mengatasinya dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Saya yakin, jika HAMAS berkuasa penuh nanti, mereka akan dapat mententeramkan keadaan dengan mewujudkan mekanisme untuk menanggani perkara seumpamanya. Tidak kiralah samada dari dalam Fatah ataupun dari fraksi-fraksi lain.

MM: Adakah pimpinan HAMAS benar-benar bersedia untuk memerintah PA?

AT: Sudah tentu!

MM: Bagaimana pula dengan masa depan Fatah?

AT: Masa depan mereka bergantung kepada ahli-ahli Fatah sendiri. Jika proses perubahan dalaman parti tersebut berlaku, Fatah akan dapat memperbaiki imej mereka. Ianya penting, kerana Fatah merupakan antara elemen penting di dalam masyarakat Palestin, tetapi dengan syarat, mereka hendaklah muncul dengan bentuk yang baru. Namun, jika tiada apa-apa perubahan yang berlaku, dan perpecahan dalaman mereka semakin parah, maka Fatah akan menjadi sejarah!

MM: Adakah HAMAS akan berusaha untuk mengislamisasikan rakyat Palestin seperti yang telah didakwa oleh Hannan Ashrawi di BBC?

AT: Rakyat Palestin sudah Islamik. HAMAS akan berkhidmat untuk rakyat Palestin seperti yang mereka mahukan. Islam bukan untuk dipaksakan, Islam hanya akan menjadi dominan melalui kebebasan untuk memilih!

Hubungan dengan negara-negara Arab

MM: Apakah kesan kemenangan HAMAS kepada parti-parti Islam di negara-negara lain terutamanya di negara-negara Arab?

Kemenangan HAMAS akan memberikan nafas baru kepada gerakan-gerakan Islam yang lain untuk memilih jalan demokrasi.

AT: HAMAS berjaya mengemukakan model yang bertentangan sama sekali dengan model al-Qaedah. Kemenangan HAMAS akan memberikan nafas baru kepada gerakan-gerakan Islam yang lain untuk memilih jalan demokrasi. Mereka akan didedahkan bahawa gerakan Islam boleh naik melalui proses demokrasi dan bukannya keganasan. Namun, HAMAS juga berjaya menonjolkan bahawa jihad merupakan elemen yang wajib di kala penjajahan. Ini sesuatu yang unik yang tidak dimiliki oleh al-Qaeda yang hanya mengutamakan keganasan.

MM: Kita tahu bahawa PLO menerima sokongan daripada negara-negara Arab. Bagaimana pula dengan HAMAS?

AT: HAMAS juga menerima sokongan dari negara-negara Arab dan negara-negara Islam. Sebagai bukti, Syeikh Ahmad Yassin pernah menerima undangan ke negara-negara Arab dan negara-negara Islam di waktu hidupnya. Pembunuhannya juga telah mendapat simpati banyak negara-negara Islam.

MM: Adakah negara-negara Arab akan memberikan sokongan juga kepada PA apabila HAMAS memimpinnya nanti?

AT: Sudah entu. HAMAS dikenali oleh dunia sebagai sebuah gerakan yang bersih dari rasuah, korupsi dan salah guna kuasa. Mereka juga begitu telus dan amanah di dalam menyampaikan wang kepada rakyat dan di dalam penggunaannya untuk rakyat Palestin. Sudah tentu organisasi seperti ini lebih dipercayai untuk memerintah PA.

Hubungan Dengan Israel:

MM: Adakah HAMAS akan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan juga meninggalkan perjuangan bersenjata menentang Israel seperti yang dipaksakan ke atas mereka oleh AS, EU dan sesetengah negara lain seperti Mesir?

AT: Jawapan kepada kedua-dua persoalan tersebut ialah: HAMAS tidak akan mencapai kemenangannya pada hari ini jika mereka melakukan kedua-dua perkara yang disebutkan (mengiktiraf Israel dan meninggalkan perjuangan kemerdekaan). HAMAS tidak akan selama-lamanya mengiktiraf rejim yang menjajah negara Palestin, merampas tanah milik rakyat Palestin dan menghalau rakyatnya keluar. HAMAS hanya akan menerima gencatan senjata hanya jika rejim Zionis bersetuju untuk gencatan senjata untuk tempoh yang panjang (long-term truce), tetapi itu tidak bermakna HAMAS akan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Namun, jika Israel enggan menerima syarat HAMAS untuk tujuan tersebut, maka HAMAS juga tidak akan meletakkan senjata mereka. Bagaimana mungkin HAMAS meletakkan senjata di dalam waktu yang sama Israel tidak meletakkan senjata mereka? Itu adalah bunuh diri!

MM: Bagaimana pula dengan cadangan “Two States Solution” yang diutarakan oleh AS?, adakah ianya juga tidak memberikan apa-apa makna kepada HAMAS?

AT:“Two States Solution” hanya akan diterima HAMAS jika Israel bersetuju untuk gencatan senjata buat tempoh yang panjang (Long-term truce), tetapi HAMAS tidak akan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. HAMAS menerima perdamaian tetapi tidak akan menggadaikan tanahnya Israel dan Zionis.

MM: Adakah ini bermakna HAMAS tidak akan menjalinkan apa-apa hubungan dengan Israel, hatta perundingan sekalipun?

AT: Untuk ketika ini, HAMAS hanya akan bersedia untuk duduk di meja rundingan jika Israel bersedia untuk menerima Long-term Truce sahaja.

MM: Apakah pula reaksi HAMAS jika Israel menutup saluran bayaran cukai dari pergi ke PA seperti yang mereka katakan?

AT: HAMAS hanya akan berunding dengan Israel jika mereka menerima Long-term truce. HAMAS menolak segala bentuk perjanjian damai sebelum ini, samada Oslo ataupun Road Map kerana kedua-dua perjanjian damai tersebut tidak menyebelahi rakyat Palestin. Rakyat Palestin berada di pihak yang rugi, dan kedua-duanya berat sebelah kepada maslahat Israel. Di dalam tawaran HAMAS kepada Israel untuk berunding ialah, ianya akan menyebelahi rakyat Palestin dan bukanlah perjanjian yang memberikan penghinaan kepada mereka seperti perjanjian-perjanjian sebelum ini.

MM: Adakah anda berfikir bahawa Israel akan menerima cadangan HAMAS untuk Long-term truce?

AT: Israel tidak mempunyai pilihan lain. Keutamaan di dalam negara Zionis ialah keselamatan dan keamanan. Kedua-dua perkara tersebut tidak akan mereka capai kecuali melalui gencatan senjata bersama untuk tempoh yang panjang (long-term truce). Ini bermakna, perdamaian cara HAMAS adalah perjanjian damai dalam erti kata yang sebenar.

Hubungan dengan AS dan EU

MM: Bagaimanakah pula HAMAS akan menghadapi AS dan EU yang memaksa HAMAS agar mengiktiraf Israel?


“Two States Solution” hanya akan diterima HAMAS jika Israel bersetuju untuk gencatan senjata buat tempoh yang panjang.

AT: HAMAS akan terus berhubung dengan mereka, menerangkan kepada mereka bahawa mereka perlu merubah cara mereka melihat isu Palestin. Mereka (AS dan EU) sepatutnya menggunakan pandangan mereka sendiri dan bukannya pandangan Israel untuk menilai dan menyikapi isu Palestin. Usaha menghentikan bantuan kepada rakyat Palestin hanya untuk maslahat Israel hanya akan merugikan EU dan AS sendiri dalam tempoh yang panjang. HAMAS akan dan mampu untuk mencari alternatif untuk rakyat Palestin.

MM: Adakah konfrontasi di antara HAMAS dengan AS dan EU nanti hanya akan menjejaskan hubungan di antara HAMAS dengan negara-negara Arab dan Islam yang lain sahaja?

AT: Palestin adalah satu-satunya isu yang negara-negara Islam dan negara-negara Arab boleh bersatu. Maksud saya di sini ialah rakyat negara-negara tersebut. Keengganan negara-negara berkaitan untuk mengiktiraf HAMAS dan juga kengganan mereka untuk menghulurkan bantuan hanya akan menjadikan mereka berada di dalam tekanan oleh rakyat mereka sendiri.

MM: Apakah caranya ?menurut pandangan anda- untuk AS dan EU menyelesaikan masalah mereka dengan HAMAS selain daripada tindakan mereka memaksa HAMAS?

AT: Itu masalah mereka, dan mereka sepatutnya memikirkan penyelesaiannya.

MM: Adakah UK, negara yang anda diami, mempunyai peranan yang penting boleh dimainkan di dalam isu HAMAS ini?

AT: UK amatlah tidak boleh diharapkan. UK telah menjadi duta Israel di EU. Hubungan mereka dengan AS amatlah memalukan UK sendiri sebagai sebuah negara yang sepatutnya mempunyai pendirian dan peranan di dalam isu-isu antarabangsa, terutamanya di dalam isu Palestin. UK telah menjadi alat AS untuk mempropagandakan bahawa HAMAS adalah sebuah pertubuhan pengganas di dalam EU, ini tidak sepatutnya berlaku. Selagi tiada perubahan pada kerajaan yang memerintah UK, saya tidak merasakan UK mampu untuk melakukan apa-apa yang baik untuk isu Palestin samada pra-HAMAS mahupun pasca-HAMAS.

MM: Apakah pula pandangan anda mengenai Malaysia, apakah langkah yang patut diambil oleh Malaysia berhubung isu ini?

AT: Malaysia sebagai pengerusi OIC mempunyai peranan yang amat penting. Namun, perkara pokok yang perlu diambil oleh Malaysia ialah tidak mengambil ide-ide AS dan negara-negara lain berhubung isu ini. Malaysia harus mempunyai pendirian mereka yang tersendiri yang meletakkan prinsip keadilan dan juga kebenaran sebagai neraca pertimbangannya.

MM: Sekian sahaja buat kali ini, terima kasih di atas kesudian anda untuk memberikan pandangan di dalam sessi ini.

AT: Sama-sama, anda dan mana-mana pihak di Malaysia juga boleh mengundang saya ke Malaysia untuk sesi penerangan berkaitan HAMAS berbanding perbualan telefon ini.