Bank Dunia setuju memberi RM 177 juta kepada Pihak Berkuasa Palestin

Khamis, 16/02/2006 – Bank Dunia telah bersetuju untuk memberikan RM 177 juta kepada Pihak Berkuasa Palestin dari Dana Pelaburannya sebagai bayaran pertama dari RM 222 yang dijanjikan.

Setiausaha di bahagian Kementerian Kewangan pihak berkuasa Palestin, Jihad Al-Wazir, berkata bahawa persetujuan berikut adalah merupakan hasil dari “rombakan ke atas kementerian terbabit dan keberkesanannya mempengaruhi ahli jawatankuasa Dana Pelaburan Bank Dunia”.

Beliau meramalkan bahawa jumlah yang dipersetujui itu akan disalurkan sebelum hujung bulan Februari.

Dalam pada itu, Peguam Negara Palestin, Ahmed Al-Mughanni, mendedahkan bahawa lebih dari RM 2.5 bilion yang diperuntukkan kepada rakyat Palestin telah hilang akibat penyelewengan yang berlaku di institusi-institusi Pihak Berkuasa Palestin.

Ramai berpendapat bahawa jumlah yang didedahkan oleh Peguam Negara itu hanya peratusan kecil dari nilai sebenar yang telah ‘digelapkan’ oleh kakitangan tinggi kerajaan dan juga pegawai-pegawai yang tidak
bertanggungjawab.

Sementara itu, laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Pusat Palestin turut mendedahkan berkenaan ketidak-seimbangan yang berlaku di dalam proses pilihanraya di mana parti-parti politik yang kecil tidak mendapat
perhatian media sebagaimana parti-parti lain yang bertanding.

Suruhanjaya tersebut juga mendakwa pihak media telah bersikap ‘berat-sebelah’ semasa kempen pilihanraya tersebut.