Hamas Pertahan Hubungan Dengan Iran

Isnin, 27/02/2006 –

Hamas mempertahankan hubungan mereka dengan Iran dan kerajaan akan datang akan menjalinkan hubungan rapat dan kerjasama sepenuhnya dengan negara-negara Islam.

Jurucakap Hamas di selatan Tebing Barat Nayef Rajoub berkata harapan Amerika agar Hamas akan meminta bantuan Barat dengan mengurangkan hubungan dengan dunia Islam tidak akan tercapai. Hamas memandang Iran sebagai saudara dan tidak akan merenggangkan hubungan ini hanya untuk tujuan Amerika dan Israel. Hamas dan kerajaan Palestin akan menjalinkan hubungan dengan semua negara termasuk Eropah dan US.

“Zionislah raja segala masalah, penjajah tanah kami dan penindas rakyat kami. Penentangan akan berterusan selagi mana pejajahan berterusan. Penentangan ini bukannya satu strategi tetapi cara kami untuk menamatkan penjajahan dan penindasan yang kejam. Jika masyarakat antarabangsa boleh memberi jaminan penjajahan ini akan ditamatkan, maka kami akan bertenang “, kata Rajoub yang dijangka menyandang jawatan menteri.