HAMAS menolak pelawaan al-Qaeda

Isnin, 06/03/2006 – Pada 6 Mac 2006, Abu Ayman al-Zawahiri, orang nombor dua Usama Ben Laden telah membuat kenyataan yang keras berkaitan dengan HAMAS.

Antara kenyataan beliau berkaitan HAMAS ialah, HAMAS telah mengkhianati perjuangan rakyat Palestin, HAMAS juga menurutnya telah termasuk ke dalam jerat AS apabila bersetuju menyertai proses demokrasi. HAMAS juga digesa oleh Zawahiri agar tidak melakukan sebarang perdamaian dengan Israel dan meneruskan usaha jihad mereka. Beliau menegaskan bahawa apa yang telah dilakukan oleh golongan sekular (PLO) di waktu lalu adalah bertentangan dengan Islam, dan HAMAS wajib menjauhinya.

Tegas beliau lagi, umat Islam di Palestin, Iraq dan seluruh dunia wajib menjauhi permainan AS yang dinamakan sebagai “proses politik” yang bertujuan untuk memerangkap umat Islam dan meninggalkan jihad. Beliau pada akhirnya menyeru umat Islam sedunia untuk melawan kuffar. Kenyataan tersebut telah dikeudarakan oleh stesyen Televisyen al-Jazeera.

Mahmoud Zahar, jurucakap HAMAS di Gaza ketika diminta mengulas kenyataan al-Zawahiri oleh stesyen televisyen tersebut mengatakan: “HAMAS sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat Palestin di dalam segala tindakan mereka. Segala perubahan di dalam strategi HAMAS diputuskan selepas perbincangan yang teliti dan mengambil kira seluruh aspek berkaitan”. Beliau juga menempelak kenyataan al-Zawahiri bahawa HAMAS memasuki perangkap AS dengan menyertai pilihanraya dan memilih jalan demokrasi.

“Menyertai saluran demokrasi bukan bererti kita menjadi “carbon-copy” kepada mana-mana kumpulan”, ujar Zahar mengulas tentang perbandingan yang dibuat oleh Zawahiri. Kenyataan Zahar memang tepat, ini jelas dapat dilihat melalui pendirian HAMAS yang enggan mengiktiraf Israel sehingga kini walaupun menerima tekanan pelbagai pihak. Hatta sewaktu kunjungan wakil HAMAS ke Moscow pada awal Mac pun, mereka enggan menerima gesaan Moscow agar mereka mengiktiraf Israel.

Muhammad Nazzal, wakil HAMAS di Lubnan yang juga menyertai rombongan ke Moscow pula mengatakan: “Jika Israel bersedia untuk mengiktiraf hak rakyat Palestin dan mengiktiraf negara Palestin yang berdaulat maka kami akan menyatakan pendirian kami!”. Beliau menegaskan pendapat tersebut di dalam sessi wawancaranya dengan AFP.

“Jika dunia ingin memaksa HAMAS mengubah polisinya (berkaitan Israel), maka dunia juga perlu memaksa Israel mengubah polisi mereka!”.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.