Sunnukrut sahkan persetujuan Arab menambah bantuan kewangan kepada Palestin

Isnin, 03/04/2006 –

Menjelang sidang kemuncak Khartoum, Mazen Sunnukrut, Menteri Ekonomi Pihak Berkuasa Palestin dalam kerajaan yang akan dibubarkan, berpendapat menteri-menteri ekonomi, kewangan dan hubungan luar telah diyakinkan pentingnya bantuan kewangan kepada rakyat Palestin ditambah.

Negara-negara yang menyumbang kepada Pihak Berkuasa Palestin telah menegaskan kepentingan menambah peruntukan dalam tahap seterusnya, sementara negara-negara yang masih tidak memenuhi janji mereka mengesahkan merekan akan terus komited dalam usaha tersebut, menurut menteri tersebut.

Pergerakan Penentang Islamik, Hamas, menyeru sidang kemuncak Arab supaya menambah bantuan kewangan bulanan kepada rakyat Palestin dan kerajaannya daripada 50 juta dolar kepada 170 juta dolar.

Sementara itu, menteri kewangan yang dilantik dalam kerajaan baru Palestin, Dr. Omar Abdul Razek menjangkakan kaedah yang praktikal akan digunapakai dalam menyalurkan bantuan yang dijanjikan daripada sidang kemuncak Arab.

Di pihak liga Arab pula, sumber-sumber yang dipercayai berkata resolusi akan mengesahkan keputusan pilihanraya di wilayah Pihak Berkuasa Palestin Januari lepas dan memanggil masyarakat antarabangsa menghormati keputusan demokratik rakyat Palestin.

Sumber tersebut menyatakan resolusi itu akan mengesahkan sokongan penuh liga Arab terhadap Pihak Berkuasa Palestin di bawah pimpinan Mahmoud Abbas.

Kenyataan terakhir sidang kemuncak itu akan mengutuk terang-terangan pembinaan berterusan dinding pemisah oleh Israel di Tebing Barat, dan akan meminta PBB untuk mengambil tanggungjawab terhadap isu tersebut, menurut sumber tersebut.