Asal-Usul HAMAS (Part 1)


Oleh : Maszlee Malik

HAMAS tidak muncul secara tiba-tiba. Ianya juga bukanlah muncul kerana kekecewaan sesetengah golongan terhadap Fatah seperti yang pernah didakwa. Gerakan HAMAS merujuk kepada perjuangan yang panjang.

HAMAS mendakwa ianya kembali kepada perjuangan Syeikh Izzuddin al-Qassam lewat Revousi Palestin 1936. Yang pasti, perjuangan HAMAS seperti yang telah diterangkan di dalam perlembagaan mereka, adalah berpunca dari gerakan al-Ikhwan al-Muslimin (IM). Gerakan IM telah ditubuhkan di Mesir seawal tahun 1928 lagi. Di dalam artikel ini, kita akan cuba merentasi sejarah melihat sejarah IM dan perjuangan Palestin serta bagaimanakah ia boleh bermetamorfosis kepada HAMAS.

IM dan Isu Palestin pra-1948

IM sebagai sebuah gerakan Islam begitu komited dengan isu Palestin semenjak awal terletusnya isu tersebut. Ketika berlakunya Revolusi Palestin pada tahun 1936, IM yang berpusat di Mesir telah memberikan respon yang segera. Lajnah Isnad Filistin telah ditubuhkan oleh IM di peringkat pusat sebagai keprihatinan mereka berhubung isu tersebut menurut Hassan al-Banna sendiri di dalam bukunya Mudhakarat al-Da’wa wa al-Da’iya, (hal. 240). Menurut Mahmoud Abdel Halim, pengarang buku al-Ikhwan al-Muslimun: Rukyah Min al-Daakhil (hal. 88-90), di antara tahun 1936 sehingga 1939, IM telah membekalkan bantuan kewangan dan sokongan moral kepada rakyat Palestin. Mereka juga telah melancarkan kempen 10 sen untuk Palestin di kalangan anggota IM. Di Mesir pula, IM telah memberikan tekanan politik kepada kerajaan British yang pro-British kerana polisi-polisi British yang lebih berpihak kepada Zionis. Mereka juga telah melancarkan boikot ke atas majalah-majalah terbitan syarikat Yahudi. Di peringkat kempen pula, IM telah menyebarkan risalah-risalah dan buku-buku berhubung pendirian Islam di dalam isu Palestin.

Lajnah Isnad Filistin telah ditubuhkan oleh IM di peringkat pusat sebagai keprihatinan mereka berhubung isu tersebut menurut Hassan al-Banna (gambar) sendiri di dalam bukunya Mudhakarat al-Da’wa wa al-Da’iya, (hal. 240).

Ada juga sesetengah sumber yang mengatakan bahawa terdapat di antara para pemuda IM yang telah menyertai Revolusi 1936. Revolusi yang dilancarkan oleh Syeikh Izzudin al-Qassam itu merupakan pencetus kepada kebangkitan rakyat Palestin untuk berhadapan dengan British dan juga warga Yahudi pendatang. (Lihat: Salleh, Muhsin, al-Dirasaat ). Usaha IM dari Mesir ini telah mendapat perhatian dan dihargai oleh Hajj Amin Husayni yang menjadi pemimpin spiritual rakyat Palestin, serta mufti Palestin di waktu itu (Lihat al-Banna, Mudhakara, hal. 243-244). Bermula dari sinilah, hubungan di antara IM dari Mesir dan juga rakyat Palestin mula terjalin. Dari sini jugalah bermulanya IM melebarkan dakwah mereka di Palestin. Dakwah IM berkembang dengan pesat sekali di kalangan rakyat Palestin. Kemuncak hubungan di antara IM dan rakyat Palestin ialah penyertaan sukarelawan IM di dalam jihad menentang Zionis pada tahun 1948. Sungguhpun IM dan rakyat Palestin gagal mempertahankan bumi Palestin, namun penyertaan mereka menjadikan IM begitu hampir dengan isu Palestin. Hasilnya, ketika Hajj Amin Husayni mengecam kaum muslimin dari negara-negara Arab yang diam membatu tidak membantu, beliau mengecualikan IM dari kecaman tersebut (Lihat: Hroub, Khaled, HAMAS: Fikratihi wa al-Mumarasa al-Siyasa, hal. 15).

Walau bagaimanapun, jika diteliti kepada catatan al-Banna, usaha IM untuk menjalinkan hubungan dengan rakyat Palestin telah bermula semenjak tahun 1935 lagi (sebelum Revousi). Ianya bermula dengan siri lawatan adik Hassan al-Banna, Abdul Rahman al-Banna ke Palestin, Lubnan dan Syria untuk mengembangkan dakwah IM. Di Palestin, mereka telah bertemu dengan Hajj Amin al-Husayni. Sungguhpun demikian, tiada apa-apa hubungan yang berlangsung sehingga tahun 1936 seperti yang telah diterangkan sebelum ini.

Mengenai kewujudan IM sebagai sebuah pertubuhan dan gerakan secara rasmi di Palestin pula, ianya kembali kepada tahun 1943. Ianya ditubuhkan di bawah nama “Jam’iyyah Makarem al-Aqsa” (Pertubuhan Makarem al-Aqsa). Wakil dari IM Palestin juga pernah menghadiri Muktamar kelima IM di Aleppo, Syria pada tahun 1944. Dengan kehadiran tersebut, IM Palestin secara rasminya diiktiraf oleh IM induk. Menurut veteran IM dari Gaza, sungguh pun yang demikian, IM di Palestin yang pertama ditubuhkan di atas nama al-Ikhwan al-Muslimin. Walau bagaimanapun, pada 29-30 Mac 1946, Muktamar IM Palestin telah berlangsung di Baitul Maqdis dan telah mengumpulkan semua aktivis IM Palestin dari seluruh pelusuk Palestin. Pada tahun 1948, IM telah pun mempunyai 25 cawangan di seluruh Palestin.

IM dan peperangan 1948

Peperangan 1948 telah mengundang partisipasi IM di Palestin dan juga IM dari Mesir. Sejumlah besar anggota IM telah menjadi tentera sukarelawan untuk berjihad menentang penjajahan Zionis. Jihad IM di bumi Palestin ini telah memberikan impak yang besar terhadap dakwah mereka. Ramai rakyat Palestin yang mula bersimpati terhadap usaha IM ini dan mula mendekati mereka. Semenjak tahun 1948 juga, IM telah mengisytiharkan bumi Palestin sebagai bumi jihad dan menjadi kewajipan bagi setiap anggota IM untuk memerdekakannya.

Malangnya umat Islam telah kalah di dalam peperangan tersebut. Natijahnya, negara Israel terbentuk di atas tanah Palestin yang berdaulat. Gaza telah diletakkan di bawah kekuasaan Mesir, manakala Tebing Barat pula diletakkan di bawah Jordan. Bagi IM di Gaza mereka telah berhubung secara langsung dengan IM di Kaherah. Bermula dari tarikh itu juga IM di Gaza dan Tebing Barat telah dipisahkan. Kesannya, IM di Gaza telah mengambil pendekatan penentangan bersenjata dan meneruskan usaha revolusi mereka. IM di Tebing Barat pula, sepertimana IM di Jordan, lebih menumpukan ke dalam bidang politik dan pendidikan (ibid. 19).


Sejumlah besar anggota IM telah menjadi tentera sukarelawan untuk

berjihad menentang penjajahan Zionis.

IM di Tebing Barat

IM Palestin yang berada di Tebing Barat pula, sepertimana rakyat Palestin di Tebing Barat yang lain telah diberikan kerakyatan Jordan. Fenomena ini secara idak langsung telah menghakis sikap nasionalisme rakyat Palestin dan anggota IM Palestin di sana. Kecuali di Khalil, Nablus dan juga Jaffa, IM Palestin yang berada di kawasan-kawasan lain di Tebing Barat mengambil peluang suasana di Jordan untuk mengembangkan dakwah dan kesedaran Islam. Hasil usaha dakwah dalam bidang politik dan pendidikan IM Palestin di Tebing Barat telah membawa kepada Perhimpunan “General Islamic Conference” di Baitul Maqdis pada tahun 1953 (ibid. 20).

Perhimpunan itu bertujuan untuk mengumpulkan umat Arab dan umat Islam agar bersatu dan berusaha memerdekakan Palestin. Ianya dicadangkan sebagai acara tahunan yang akan diadakan di Baitul Maqdis setiap kali acara Israk dan Mikraj disambut. Hasil dari perhimpunan tersebut, “International Islamic Company for the Developement of Jerusalem” beribu pejabat di Baitul Maqdis telah ditubuhkan.

Perhimpunan yang bersidang setiap tahun samada di baitul Maqdis ataupun di Damsyik itu dihadiri oleh delegasi dari pelbagai negara Arab dan negara-negara Islam termasuk dari Malaysia. Sayangnya, kerajaan Jordan tidak selalunya membenarkan ianya diadakan. Terdapat beberapa tahun ianya tidak dapat diadakan kerana tidak mendapat keizinan dariapda kerajaan Jordan. Lebih malang lagi, beberapa pemimpin negara Arab telah mengambil kesempatan untuk menjadikannya gelanggang politik untuk melawan musuh mereka dari negara Arab yang lain. Sebagai contoh yang paling nyata ialah sikap Raja Hussein dari Jordan yang telah menjadikan perhimpunan tersebut pada tahun 1961 sebagai medan untuk menghentam Presiden Jamal Abdul Naser dari Mesir.

Hubungan IM Palestin dengan kerajaan Jordan tidak selalunya indah. Terdapat beberapa keadaan hubungan tersebut menjadi tegang dan membawa kepada tindakan agresif dari kerajaan Jordan terhadap IM. Keadaan ini walau bagaimanapun tidak menghalang IM daripada mengumpul kekuatan untuk melawan rejim Zionis yang telah menawan sebilangan besar daripada negara mereka. Di penghujung 50’an, sebahagian daripada anggota IM Palestin di Tebing Barat telah bersatu dengan Pasukan Tentera Kebangsaan Jordan untuk mendapatkan latihan persenjataan. Perkara ini, malangnya bukanlah satu fenomena umum bagi IM di Tebing Barat. Kesimpulannya mereka masih tetap dengan perjuangan politik mereka dan juga lapangan dakwah dan pendidikan.

IM di Gaza

Tidak seperti IM di Tebing Barat, IM di Gaza masih meneruskan penentangan (jihad) bersenjata terhadap rejim Zionis. Hasil dari jihad mereka yang tidak kenal henti, IM di Gaza telah menjadi begitu dominan di lapangan politik di sana. Dominanisasi politik IM di Gaza berterusan sehingga tahun 1952. Kemunculan Jamal Abdul Naser sebagai Presiden Mesir dan juga penindasan rejim Naser terhadap IM di Mesir secara tidak langsung memebrikan kesan terhadap IM di Gaza. Mereka juga telah menerima nasib yang sama. IM telah diharamkan di Mesir, begitu juga dengan halnya Im di Gaza. Mereka telah memilih pergerakan bawah tanah demi memastikan survival dakwah IM dan sentiasa diancam oleh pihak keselamatan Mesir. Ramai juga dari kalangan pemimpin IM yang telah meninggalkan Gaza demi menyelamatkan diri dari dibunuh oleh rejim Naser.

Hasil dari jihad

mereka yang tidak kenal henti, IM di Gaza telah menjadi begitu dominan di

lapangan politik di sana.


Sewaktu rejim Zionis menawan Gaza pada tahun 1956-57, IM bersama-sama dengan kumpulan Baath serta kumpulan-kumpulan berhaluan kiri telah menentang penjajahan tersebut. Penjajahan selama empat bulan itu telah berjaya diakhiri dengan kemenangan di pihak Palestin. Tahun-tahun tersebut dan berikutnya telah menyaksikan bagaimana IM yang telah diharamkan itu telah bergerak secara senyap-senyap dan berjaya menubuhkan dua sayap ketenteraan demi meneruskan jihad menentang Zionis. “Shabab al-Thar” (Pemuda membalas dendam) dan juga “Katibat al-Haqq” (Briged Keadilan) sebagai pertubuhan rasmi IM telah memainkan peranan yang penting di dalam lapangan jihad dan juga politik Gaza. Kedua-dua pertubuhan ini kemudiannya telah menjalinkan hubungan dengan rejim Naser dan telah terpengaruh dengan ideologi Naser. Walaupun mereka telah dapat menyelamatkan diri daripada menerima nasib yang lebih teruk seperti IM di Mesir, namun mereka akhirnya larut dengan ideologi Naserisme.

Natijah daripada keadaan tersebut, para pemimpin Briged Keadilan seperti Khalil al-Wazir, Hassan Abdel Hamid, Abu Marahil dan Hamad al-‘Aidi telah menubuhkan Fatah yang beraliran sekular untuk meneruskan perjuangan mereka menentang Zionis. Kebanyakan pemimpin Shabab al-Thar juga telah mengikuti jejak langkah mereka. Di dalam satu keadaan mereka berjaya mengelakkan diri mereka dari bertembung dengan rejim Naser, dari satu segi mereka telah kehilangan identiti “perjuangan Islam dan jihad” mereka.

…. bersambung