Zahhar mengusul dialog bersama Kesatuan Eropah, menggesa bantuan kepada Palestin

Rabu, 12/04/2006 –
Menteri Luar kerajaan Palestin, Dr Mahmoud Al-Zahhar, menggesa negara-negara Kesatuan Eropah agar meneruskan bantuan kewangan kepada masyarakat Palestin, bukan mengambil tindakan sebaliknya.


Zahhar menggesa menteri luar Kesatuan Eropah yang dijadualkan berkumpul di Luxembourg agar menghormati pilihan demokratik rakyat Palestin, dan tidak terikat kepada pendirian Israel yang meningkatkan serangan terhadap rakyat Palestin kerana pilihan mereka itu.

Menteri Luar tersebut mengatakan bahawa tentera penjajah Israel meningkatkan keganasan ketenteraan mereka seiring dengan pendirian tegas yang diambil oleh Kesatuan Eropah terhadap kerajaan baru Palestin yang dipilih secara demokrasi, disamping menyekat bantuan kewangan terhadap rakyat Palestin.

Beliau menerangkan keputusan kerajaan Norway menggantung bantuan kepada rakyat Palestin yang diserang sebagai tidak berdasar, sambil menyuarakan harapan agar Norway akan menimbang kembali keputusan yang “tidak adil” itu.

“Kami menggesa negara-negara Kesatuan Eropah agar maju ke hadapan dan bekerjasama dengan kami dalam perbincangan yag positif tanpa sebarang pra-syarat, semoga dapat kata pemahaman umum untuk menghentikan boikot tidak berasas ini. Tanda-tanda serangan ini telah pun kelihatan sebelum kerajaan baru mengambilalih pemerintahan lagi.”

Sementara itu, Menteri Kewangan Palestin, Dr. Omar Abdul Razek, menegaskan bahawa situasi kewangan Palestin adalah sukar, tetapi isu mengenai gaji kakitangan kerajaan sedang diselesaikan kerana sebilangan negara Arab mula memenuhi janji mereka dalam memberikan bantuan kewangan, sementara yang lain akan berbuat demikian kelak.

“Di pihak kami pula, kami telah membentangkan rancangan untuk menangani masalah kewangan pada masa kini kerana kita berada dalam situasi kewangan yang sukar”, tambah beliau. Menteri itu juga mengumumkan bahawa beliau menerima kementerian yang muflis.

Dalam hal yang sama, kerajaan penjajah Israel memutuskan melupuskan hutang yang ditanggung oleh kerajaan Palestin kepada syarikat Israel dengan menggunakan kutipan cukai Palestin yang mencecah 50 juta dolar sebulan dan dipegang oleh tentera penjajah Israel. Keputusan itu diputuskan dalam kabinet Israel dipengerusikan oleh bakal perdana menteri Ehud Olmert pada hari Ahad.

Sementara itu, pegawai Palestin di pejabat perhubungan kerajaan Palestin mula mengemaskan barangan mereka kerana diarahkan oleh tentera penjajah Israel selepas Israel mengambil keputusan memutuskan sebarang hubungan dengan kerajaan baru Palestin , sumber setempat dan saksi mengesahkan.