Penubuhan jawatankuasa untuk menyusuli kes pelarian Palestin di Iraq.

Sabtu , 15/04/2006 – Sebuah jawatankuasa Palestin telah ditubuhkan di Tebing Barat (Ramallah) untuk menyokong pelarian Palestin di Iraq. Ini berlaku di sebalik laporan-laporan yang timbul mengenai situasi buruk yang menyelubungi status social mahupun sekuriti pelarian Palestin di Iraq.

Dr Abdul Majeed Swailam selaku salah seorang penganjur jawatankuasa itu telah membuat kenyataan bahawa laporan-laporan dari Iraq menunjukkan bahawa rakyat Palestin di sana mengalami pelbagai keganasan dalam bentuk cemuhan mahupun ugutan daripada geng-geng bersenjata.

Sebuah institusi kajian hak asasi manusia yang bertempat di Ramallah turut menegaskan bahawa isu pelarian palestin di Iraq adalah sebuah isu kemanusiaan dan keadaan sebenar mereka di sana adalah lebih buruk daripada apa yang telah digambarkan.

Iyad Al-barghouti selaku pengarah institusi itu menekankan keperluan untuk segala bentuk sumber Palestin digunakan ke arah menyelamatkan pelarian Palestin dan membawa mereka pulang ke tanah bebas Palestin.

Kenyataan beliau turut disokong oleh segolongan aktivis hak asasi manusia yang mengecam kecuaian ?sengaja? oleh kerajaan Iraq dan kuasa penjajah Amerika Syarikat dalam usaha melindungi pelarian Palestin. MP Azzam Al Ahmed (Fatah) menyalahkan penjajah Amerika Syarikat di atas keadaan tragis rakyat Palestin di Iraq. Beliau turut menyatakan bahawa misi diplomat Palestin di Iraq adalah satu-satunya kedutaan yang telah diserang oleh kapal terbang perang milik Amerika Syarikat.

Selain itu, beliau turut menuduh bahawa sebahagian pihak di Iraq mencuba untuk mengeluarkan rakyat Palestin dari Iraq demi menjalinkan hubungan diplomasi dengan tanah jajahan Yahudi.
Sementara itu, sebuah rangkaian popular Palestin di Gaza telah menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin di Iraq dengan menyerahkan sebuah memo kepada Setiausaha Umum PBB di pejabatnya di Gaza. Memo itu meminta beliau untuk segera menangani isu keselamatan pelarian Palestin sebagaimana yang telah dimandatkan oleh PBB.