Menolong umat Islam Palestin adalah wajib!

Selasa, 18/04/2006 –

Ulama tersohor dunia, Dr Yusuf al-Qaradawi menyeru umat Islam sedunia untuk membantu rakyat Palestin. Rakyat Palestin kini berada di dalam kesempitan kerana tindakan AS dan juga EU yang menyekat bantuan dari sampai kepada mereka. Tindakan AS dan EU itu merupakan balasan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin kerana memilih HAMAS sebagai kerajaan mereka melalui saluran demokrasi yang bersih. Tindakan tersebut juga adalah berdasarkan kepentingan rejim Zionis Israel yang berasa terancam oleh kemenangan tersebut.

Fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi itu ditegaskan oleh beliau usai mesyuarat Majlis Ulama Islam sedunia yang diadakan di Beirut pada minggu lepas (7/4/2006). Menurut al-Qaradawi lagi, bantuan yang diberikan itu nanti bukanlah bersifat sedekah ataupun hadiah, tetapi merupakan satu kewajipan demi menyeleamatkan rakyat Palestin yang majoritinya umat Islam dari terus kebuluran. Rakyat Palestin, tegas al-Qaradawi lagi, merupakan benteng pertahanan umat Islam untuk mempertahankan bumi Palestin dan masjid al-Aqsa.

Kenyataan beliau ditambah oleh pemikir Islam terkenal, Muhammad Salim al-Ewwa yang juga menghadiri mesyuarat tersebut. Menurut al-Ewaa, telah sampai masanya pihak-pihak yang berkuasa seperti OIC, Liga Arab dan juga seluruh pertubuhan-pertubuhan Islam sedunia untuk membantu rakyat Palestin. Menurut al-Ewwa, pertubuhan-pertubuhan yang terlibat menjanjikan lebih USD 170 juta setahun. Malangnya yang sampai hanya USD 50 juta sahaja.

Al-Ewwa juga menggingatkan agar pihak-pihak yang terlibat tidak menghantarkan bantuan tersebut melalui bank. Bank-bank di dunia ini menurut al-Ewwa kebanyakkan dikuasai oleh pihak Zionis. Pihak Institut al-Quds yang berpusat di Lubnan berjanji mereka bersedia untuk menjadi orang tengah untuk hal yang tersebut.

Al-Qaradawi difahamkan akan terus berkempen kepada umat Islam sedunia agar membantu umat Islam di Palestin.