Susilo Bambang Yudhoyono akan bertemu Presiden Palestin

Selasa, 25/04/2006 –

Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), akan bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, di Amman Jordan, sempena kunjungannya ke Timur Tengah, 25 April hingga 3 Mei ini. Pertemuan ini akan membincangkan peranan
lebih besar yang boleh dimainkan oleh Indonesia dalam proses perdamaian di Timur
Tengah.

Pegawai Kedutaan Palestin, Nasser Abdul Wahab, mengatakan, SBY bersedia menerima
Abbas ketika berada di Amman pada 3 Mei. Wahab mengatakan, kesediaan SBY itu sebagai
usaha ‘suntikan tenaga’ dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Pertemuan ini adalah lanjutan daripada surat yang ditulis Abbas kepada SBY.
Jurucakap Presiden Indonesia, Dino Patti Jalal, Sabtu (22/4), mengatakan, dalam
suratnya bahawa Abbas meminta Indonesia meyakinkan negara-negara Barat agar terus
menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Menurut Dino, SBY sedia membantu dan
memberikan komitmen setakat yang mampu untuk membantu rakyat Palestin.

SBY turut menerima kunjungan wakil khas Abbas, Nabil Shaath. Dalam pertemuan itu,
Shaath yang pernah menduduki jawatan Menteri Luar Negeri dan wakil Perdana Menteri
Palestin itu menjelaskan situasi terkini di Palestin. Shaath juga mengatakan,
Indonesia adalah negara yang tepat untuk membantu rakyat Palestin.

Tidak dapat dinafikan bahawa selama ini Palestin bergantung sepenuhnya pada bantuan
negara lain. Eropah dan Amerika Syarikat (AS) merupakan penyumbang utama Palestin,
dengan jumlah bantuan keduanya mencapai satu juta dollar AS per tahun. Palestin juga
mendapat suntikan kewangan sebesar 50 juta dollar AS per bulan dari Israel sebagai
hasil pungutan cukai.

Namun, semua aliran bantuan itu kini tersekat setelah Palestin dipimpin Hamas. AS
dan Eropah mengkategorikan Hamas sebagai pertubuhan terroris dan tidak mahu bantuan
kewangan yang mereka berikan jatuh ke tangan Hamas.

Indonesia sendiri sejak lama mendukung sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin dan
menyambut baik kemenangan Hamas yang lahir dari proses demokrasi. Pemerintah juga
merancang membuka pejabat kedutaannya di wilayah Palestin dalam waktu terdekat.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia, Desra Percaya, minggu lalu mengatakan,
rancangan penubuhan pejabat kedutaan dan pelbagai kerjasama dalam bidang lain
mungkin akan menjadi agenda Menteri Luar Negeri Palestin, Mahmoud al-Zahar yang
akan berkunjung ke Indonesia pada minggu ketiga bulan depan.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.