PBB tuntut Israel robohkan tembok keselamatan


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 21 Julai – Palestin memperoleh kemenangan diplomatik di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) semalam apabila
Kesatuan Eropah (EU) bersepakat menyokong resolusi yang menuntut Israel mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan merobohkan tembok keselamatannya di Tebing Barat.

Usul tersebut diluluskan dengan 150 anggota menyokong dan enam lagi menentangnya sementara 10 yang lain berkecuali.

EU yang menghabiskan masa berhari-hari merundingkan resolusi itu mengambil pendirian bersama untuk menyokongnya setelah meyakinkan negara-negara Arab supaya menyetujui beberapa pindaan.

Seperti yang dijangka Israel dan Amerika Syarikat (AS) menolak resolusi tersebut bersama-sama Australia, Kepulauan Marshall, Micronesia dan Palau.

Israel sudah pun menegaskan pihaknya tidak akan mempedulikan keputusan ICJ di The Hague itu dan akan meneruskan pembinaan benteng sepanjang 700
kilometer yang sebahagiannya mencerobohi kawasan Tebing Barat.

Rejim Yahudi itu mendakwa tembok tersebut telah mengurangkan serangan pengganas sebanyak 90 peratus dan hanya merupakan langkah sementara untuk mempertahankan diri.

Pihak Palestin pula menyatakan jika Israel enggan mematuhi keputusan mahkamah, mereka akan menuntut resolusi yang boleh dikuatkuasakan di Majlis Keselamatan PBB.

‘Kami percaya sudah tiba masanya untuk keputusan ini dilaksanakan dan dipatuhi. `Langkah-langkah tambahan akan diambil seterusnya terhadap Israel jika ia masih berdegil,” kata Duta Palestin ke PBB, Nasser al-Kidwa.

Resolusi UNGA tidak mempunyai kekuatan undang-undang tetapi mencerminkan pendirian masyarakat antarabangsa. – AFP

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.