Rejim Zionis Paksa Penduduk Baitulmaqdis Robohkan Kediaman Sendiri di Silwan

Jumaat, 06-08-2021 – Pihak berkuasa rejim Zionis pada hari Isnin lalu telah memberikan notis kepada seorang penduduk Baitulmaqdis dan memerintahkannya untuk merobohkan rumah tiga tingkatnya sendiri di kejiranan al-Bustan di daerah Silwan, di selatan Masjid Al-Aqsa.

Pemilik rumah berkenaan, Yaqoub Al-Rajabi, diberikan masa hingga 15 Ogos untuk merobohkan rumah tersebut untuk mengelakkan daripada membayar denda dan perbelanjaan meroboh kepada majlis perbandaran Israel.

Rejim Zionis mendakwa rumah itu, yang terdiri daripada dua pangsapuri dan tiga kedai, telah dibina tanpa lesen.

Sebilangan besar warga Baitulmaqdis harus mematuhi perintah perobohan oleh Israel untuk mengelakkan membayar denda yang melampau tingginya kepada Rejim Zionis.

Penduduk Baitulmaqdis tidak mempunyai pilihan selain membina tanpa lesen kerana tidak ada pelan struktur yang selari dengan peningkatan semula jadi dalam jumlah penduduk, maka oleh sebab itu, mereka tidak diberikan permit untuk membina rumah.

Rejim Zionis juga mengenakan sekatan pembangunan bagi penduduk tempatan Palestin di Baitulmaqdis dan menyukarkan mereka untuk mendapatkan lesen pembinaan.

Perobohan kediaman Palestin secara sistematik oleh pihak Israel di Baitulmaqdis Yang Diduduki dipercayai bertujuan untuk menyerang kaum keluarga di Baitulmaqdis secara psikologi dalam usaha untuk memaksa mereka untuk berpindah dari kota suci berkenaan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul