Tentera Israel Roboh Rumah, Usir Pengetua Sekolah

Khamis, 21-10-2021 – Tentera penjajah Israel (IOF) pada petang Isnin merobohkan sebuah rumah warga Palestin di kawasan Farsh al-Hawa di sebelah barat Kota al-Khalil dengan alasan pembinaan tanpa kebenaran.

Menurut sumber tempatan, IOF menyerbu Farsh al-Hawa dengan jentolak dan merobohkan sebuah rumah dua tingkat milik peguam Iyyad Amro.

IOF juga merobohkan dinding di sekitar rumah dan telaga air.

Dalam kejadian yang berasingan, tentera Israel mengusir pengetua Sekolah al-Malih di Lembah Jordan utara dari sekolahnya selama beberapa hari.

Pegawai tempatan Moataz Bisharat mengatakan bahawa tentera Israel memaksa Jaafar Faqha, guru besar sekolah, untuk menandatangani janji bertulis untuk tidak hadir ke sekolah selama 10 hari setelah dia dipanggil dan diinterogasi selama kira-kira lima jam.

Tentera Israel telah menyatakan niatnya untuk merobohkan sekolah itu beberapa kali pada tahun 2020 dan pada tahun semasa.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ameen